Sabtu, 4 Ogos 2018

PULANG: BERSAUH DI PELABUHAN HAKIKAT







TAHUN : 2018
PENGARAH: Kabir Bhatia
LAKON LAYAR: Mira Mustaffa & Ahmad Izham Omar
PARA PELAKON:  Remy Ishak, Puteri Aishah Sulaiman, Alvin Wong, Sherry Al Jeffry,
Azrel Ismail, Erwin Dawson, Juliana Evans, Jalaluddin Hassan
Aida Khalida, Syazuwan Hassan
NEGARA: Malaysia




Pulang bermula dengan imejan bawah sedar Cik Thom yang sudah tua (Sherry Al Jeffry). Ia adalah memori dan masa hadapan yang tak boleh disentuh oleh tangan manusia. Sebab memori adalah waktu lalu dan masa hadapan pula tak pernah diketahui. Malah, kita dapat melihat dua dunia yang tak dapat bersatu tetapi cuba bersatu.

Imejan bawah sedar ini yang membawa wasiat Cik Thom kepada Ahmad (Erwin Dawson). Ahmad harus mencari atuknya, Othman (Remy Ishak) yang dikatakan tidak pernah pulang sejak mula bekerja sebagai kelasi. Dan persoalan utama dalam filem ini ialah 'Mengapa Othman tak pernah pulang?'

Malam sebelum Othman pergi memenuhi impiannya di tengah lautan, dia dan Cik Thom (Puteri Aishah Sulaiman) menari perlahan di atas sebuah dek kapal yang telah pecah. Othman berjanji bahawa dia akan pulang dan impiannya hanya ingin memberikan kemewahan kepada isteri dan anaknya, Omar. Malam terang yang indah, esakan Cik Thom, dan kapal pecah, adalah petanda bahawa cinta mereka kuat tetapi keluarga ini tidak akan bersatu lagi. Sebuah keluarga (kapal) melepaskan nakhodanya ke laut lepas. Sebenarnya imejan kapal pecah ini telah ditunjukkan awal lagi sewaktu sepasang kekasih ini mula belajar mencintai dan ia menjadi petanda yang kuat memberitahu bahawa mereka tak akan bersatu lagi di dunia.

Beberapa petanda lagi bahawa Cik Thom dan Othman tak akan kembali bersama turut diberikan oleh bingkai lain dalam filem ini. Antaranya, ketika Othman sudah mula ingin berlayar, sewaktu Cik Thom menghulurkan tangan ingin bersalam dengan suaminya, tangan Omar telah mendahului tangan Cik Thom. Memang kemudiannya Omar mendahului Cik Thom menghubungi ayahnya dan menyimpan rahsia paling besar dalam kisah ini. Malah ketika Othman sudah duduk dalam bot juga, komposisi keluarga ini turut menunjukkan bahawa Othman hanya berada di antara Cik Thom dan Omar, sementara tangan isteri dan anaknya erat bergenggaman.

Sepanjang pemergian Othman, Cik Thom dan Omar sentiasa menerima perkhabaran nakhoda mereka melalui poskad. Sehingga pada suatu hari, tiada lagi khabar berita yang diterima oleh mereka berdua. Beberapa keping poskad masih di tangan Othman, tak sempat sampai ke tangan isterinya dan begitulah juga surat Cik Thom tak sampai juga ke tangan Othman. Cik Thom sudah mahu melupakan Othman dan ingin meneruskan kehidupannya. Apatah lagi Cikgu Hassan (Syazuwan Hassan) sudah berkali-kali menunjukkan minat terhadap Cik Thom. Cik Thom akhirnya memutuskan untuk menerima Cikgu Hassan. Hal ini dipaparkan jelas dalam bingkai sewaktu Cik Thom melangkau haluan kapal, tempat dia dan Othman menari di bawah langit malam. 

Penonton kemudian diberikan garis masa pelayaran Othman. Kita dapat membaca riak sunyi dan kecewa pada wajahnya. Kita sudah menjadi Cik Thom, tertanya-tanya mengapa Othman tak pulang? Mungkinkah dia tahu bahawa Cik Thom telah menukar haluan hidupnya? Tetapi daripada siapa dia mendapat khabar berita itu? Dan apakah Othman sejenis lelaki yang mudah mempercayai kata-kata orang? Tak mungkin juga dia kecewa hanya disebabkan wangnya tenggelam di dasar laut sewaktu kapal P&O ditewaskan taufan? Dan kembali menjadi penonton, apakah benar Cik Thom tekad menerima Cikgu Hassan? Inilah persoalan yang menyebabkan penonton ingin duduk di kerusi. Kerana mereka mahukan jawapan. Dan jawapan kepada persoalan ini adalah suatu kejutan. Dua kali menonton Pulang, dua kali juga saya mendengar penonton memberi reaksi terkejut apabila mereka mengetahui hakikat kehidupan yang amat misteri ini. 

Oleh sebab kisah ini merupakan sebuah biografi, maka penonton harus memberi perhatian terhadap garis masanya. Ia penting supaya kita tidak pening dengan plot yang cuba dihubungkan dalam filem ini. Hal ini menuntut kepekaan penonton kerana terdapat dua 'plotting' yang berhubung dengan garis masa yang jauh meski pada tahun yang sama, yakni pada tahun 1953. Kedua-duanya dihubungkan dalam bingkai-bingkai yang mempunyai sela bingkai yang banyak di antaranya. Penonton mungkin akan mengalami sedikit kehilangan di situ.

Kisah ini juga kelihatan sedikit disekat dengan pertanyaan 'mengapa Othman tidak pulang' dan usaha untuk menyembunyikan jawapan di penghujung cerita akhirnya memberi kesan terhadap 'plotting' itu tadi. Menyembunyikan jawapan memang sangat penting kerana ia akan memberikan elemen kejutan tetapi ia juga suatu hal yang bahaya untuk sesebuah naskhah. Sekatan ini jelas ditonjolkan melalui dialog watak Alia (Juliana Evans) yang bertanya kepada Ahmad "mengapa atuk awak tidak pulang?" pada waktu mereka dan penonton hampir mendapat jawapan. Persoalan ini, jika tidak diulang tanya, sudah pun dikukuhkan sebagai premis filem ini sedari minit-minit awalnya.

Mungkin pengarah ingin membawa penonton kembali kepada persoalan awal ini tetapi sebenarnya persoalan ini sentiasa berlegar-legar dalam fikiran penonton sehingga mendapat jawapannya. Membiarkan persoalan tersebut menjadi 'essence' dalam filem ini  akan lebih mencabar pertanyaan dalam diri penonton. Dan 'essence' ini sebenarnya sudah dikukuhkan oleh garis masa dan watak Othman sendiri, dengan kekosongan diri dan raut wajah kecewanya tetapi memilih Liverpool dan bukannya Serkam sebagai pelabuhan terakhir. 

Filem ini turut menonjolkan sisi diri seorang Muslim yang kukuh apabila Othman, meskipun terpaksa berlapar dan jatuh sakit, tetap tidak menyentuh hal-hal yang haram ke atasnya. Apatah lagi seorang Muslim diajar untuk sentiasa berbuat baik, dan seorang Melayu sudah dipasakkan dalam fikiran untuk 'buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali', Othman tidak menyakiti malah membantu orang yang pernah menyakitinya. Pulang juga menunjukkan bahawa agama, bangsa dan bahasa adalah tiga perkara berbeza. Sebab ini juga, Othman meskipun seorang Melayu dan Muslim, berusaha juga belajar bertutur dalam bahasa Cina, memahami bahawa yang haram ke atasnya tak semestinya haram untuk bangsa lain. Menggenggam jiwa Melayu dan Muslimnya kemas-kemas, tidak menjadi lesen kepada Othman untuk menafikan bangsa dan kepercayaan lain.



Terdapat beberapa hal lagi yang saya ingin sentuh di sini, seperti gred warna, CGI, beberapa hal semiotik lain, sedikit tentang anterograde amnesia mengikut kefahaman saya, juga jawapan 'mengapa Othman tak pulang'. Tetapi telah saya panjangkan hal-hal ini dalam artikel untuk ruangan filem dalam majalah Dewan Budaya yang secara tentatif, diterbitkan bagi isu September nanti.

Apapun, kita masih boleh berbangga dengan Pulang kerana ia jelas dilihat sebagai suatu kerja keras sehingga dipersembahkan di layar perak. Ini adalah salah satu usaha pendokumentasian kisah pelayar Melayu yang tabah bukan hanya menahan badai di laut atau ribut di darat tetapi taufan dalam dirinya juga. Meski filem ini diangkat secara melodramatik, ia bukanlah suatu kecacatan kerana setiap kisah memiliki pelbagai sudut pandang untuk diraikan. Malah sudut pandang dalam Pulang adalah sisi yang amat peribadi. 



Kerinduan pada isteri dan anak, juga tanah air, padat dan ringkas ditonjolkan pada piring hitam lagu Melayu. Dan saat lelaki Melayu ini melepaskan roh dari jasad, muzik itu terhenti juga. Seorang Othman meninggal dunia di bumi Inggeris, tetapi dia tetap Melayu. Ini semiotik yang amat kukuh walau hanya dengan 'sepiring' lagu Melayu. Adegan ini dibikin molek dan tidak kelihatan 'terdesak'. Melayunya tak pernah hilang. Hidupnya  pula berhenti dengan tenang kerana jiwanya sudah mendapat jawapan. Hanya dia pula perlu menunggu Cik Thom, menunggu dua dunia yang cuba bersatu dalam bingkai awal tadi, untuk pulang dalam hakikat. Sebab mati adalah pulang yang paling nyata.





Sayidah Mu'izzah



0 ulasan:

Catat Ulasan