Khamis, 15 Februari 2018

DO[S]A: SINEMATIK DI KACA TIVI






TAHUN : 2017
PENGARAH: Ifa Isfansyah
LAKON LAYAR: Saniboey Mohd Ismail & Salman Aristo
PARA PELAKON:  Dato' M. Nasir, Remy Ishak, Ashraf Sinclair,
Daniella Sya, Roy Marten, Maudy Koesnadi, Hannah al-Rashid
Reuben Elishama, Shenty Felliziana, Tegar Satrya, Hisham Hamid
NEGARA: Malaysia, Indonesia, Singapura




DOSA bergerak dengan detik yang laju daripada satu kausaliti kepada kausaliti yang lain. Ia tidak melengahkan penonton. Malah membawa pertanyaan-pertanyaan seusai menonton setiap satu episod. Dan tulisan ini berdasarkan dua episod yang dipertontonkan pada Malam Gala.

Azan Subuh berkumandang pada permulaan siri mini memang sangat molek sebagai latar waktu. Ia menggambarkan permulaan itu sendiri, pagi sebagai permulaan hari, sebagai permulaan kisah. Suatu bingkai yang cantik kemudiannya apabila kita diperlihatkan air di tempat berwuduk, mengalir bercampur merah darah. Ya, DOSA meskipun sebuah siri mini, ia memberikan kesan sinematik selayaknya sebuah filem. Kesan ini dapat dinikmati dalam lima minit pertama, tanpa menunggu lama apabila kekecohan bermula melalui bingkai yang amat simbolik; air wuduk yang sepatutnya menggugurkan dosa, mengalir dan dicemari darah seorang pendosa oleh pendosa (pembunuh) yang lainnya.

Episod pertama dijuduli oleh puisi Wiji Thukul, seorang penyair Indonesia yang sangat terkenal, yang hilang tiba-tiba tanpa kubur, tanpa mayat. Mahu atau tidak, filem juga sangat terkait sebagai sebuah bentuk sastera. Mengangkat tekstual sastera ke ruang visual memang 'forte' Indonesia, sementelah pengarahnya merupakan seorang pembikin filem yang hebat di Indonesia, yakni Ifa Isfansyah dan skripnya juga mendapat sentuhan Salman Aristo (saya masih terkesan dengan kehebatan filem Athirah) selain Saniboey Ismail yang amat kita hormati.



Tidurlah kata-kata
kita bangkit nanti
menghimpun tuntutan-tuntutan
yang miskin papa dan dihancurkan


Puisi ini dilontarkan dari bibir seorang penjahat, Marco (Roy Marten) yang ingin merampas tampuk kuasa Gerbang Utara, perdagangan yang didalangi oleh mafia. Puisi ini dilihat terlontar begitu sejajar dengan kecepatan detak kausaliti kisah ini; kerana kemudiannya Marco pantas bertindak menimbulkan kacau-bilau yang turut memberi tempias kepada Malaysia. Kata-kata harus segera tidur, dan tindakan harus segera bangkit. Maka, di sinilah latar belakang keluarga Latiff (Dato' M. Nasir) diperkuatkan oleh sejarah Gerbang Utara.

Perincian Marco (setakat dua episod) akan bikin kita mengingati susuk karakter ini. Seorang penjahat yang gila kuasa tetapi sepertinya sangat banyak membaca; dalam episod kedua Marco memetik disiplin Peperangan Tsun Zu. Juga, jangan lupa untuk melihat Marco sewaktu makan, dia memakai bip seperti bayi! Perincian ini menarik kerana meski Marco dilihat ditakuti oleh para pengikutnya, dia sebenarnya memang seperti seorang kanak-kanak yang baru melihat gula-gula. Seorang yang ingin menjadi pemimpin mafia, sebenarnya hidup dalam ketakutan dan bimbang 'gula-gula'nya direbut dan dirampas; kerana itu dia membunuh tanpa henti.

Hal yang amat menarik yang digarap dalam DOSA juga ialah kehadiran watak-watak perempuan dengan perwatakan yang tak kalah dengan watak dan perwatakan lelaki. Farah Latiff (Shenty Felliziana), Zaza (Hannah al- Rashid), Inspektor Michelle (Daniella Sya) dan Ibu Ani (Maudy Koesnadi) masing-masing dibentuk sebagai karakter yang setara dari segi gender. Penonton tidak akan melihat tipikal 'the second sex' yang selalu ditekap ke wajah perempuan. Dalam DOSA, lelaki atau wanita, sebagai manusia, tak ada timbangan dosa paling berat untuk dibebankan kepada salah satunya. Kedua-dua, lelaki dan perempuan, beban pendosa adalah sama. Malah karakter-karakter lelaki dan perempuan saling mencabar antara satu sama lain, baik dari segi hak mahupun kekuatan. Hal ini seperti turut saling dihormati dan diterima seadanya.

DOSA juga memiliki sisi-sisi satira. Ia sinis dan halus mengupas soal politik dan agama tanpa menyentuh sensitiviti kerana sisi-sisi satira ini memantul kembali ke wajah kita. Paling jelas apabila susuk seorang lelaki berkopiah dan berbaju putih, berbincang soal urusan korupsi dengan Marco. Watak ini memperlihatkan kealiman tetapi hal yang dilakukan adalah cebisan dosa dalam hidupnya. Dan, ya, tiada seorang manusia pun yang suci di dunia ini. Penampilan dan tutur bahasa yang baik tidak dapat menjamin kesucian seseorang manusia. Pokoknya, dunia ini tetap memerlukan orang yang baik meski kita semua adalah orang-orang yang berdosa.

Oleh sebab DOSA ialah kerjasama nusantara, maka tidak dapat tidak, hal serumpun tetap menjadi suatu penghubung. Antaranya silat, yang ramai sedia maklum merupakan seni mempertahankan diri nusantara. Aksi-aksi silat dalam DOSA (koreografi oleh Cecep Arif Rahman) sangat menggambarkan wajah nusantara, dan inilah antara kekuatan siri mini ini jika mahu dijual kepada negara luar. Budaya adalah suatu elemen yang sangat teguh jika mahu karya dipersembahkan secara glokal kerana ia adalah identiti, selain memberi suatu pengalaman tonton yang berbeza ke bahagian dunia selain dunia nusantara sendiri.

Secara keseluruhan, berdasarkan dua episod, siri mini ini dilihat sebagai salah satu dimensi baru kepada industri seni kita. Selain ia merupakan sebuah kerjasama nusantara yang kebelakangan ini kembali digiatkan, menerusi kotak televisyen, kita sudah punya pilihan yang lebih menyengat. Kita memang amat memerlukan kepintaran seni yang bukan hanya menjadi 'bread and circus' tetapi turut memberi suatu kebijakan daya tonton.


DOSA sudah boleh ditonton Astro First Saluran 480 bermula hari ini, 14 Februari 2018. Naskhah Nusantara pertama di bawah slot 'An Astro Original Series' ini mempunyai 8 episod, dengan bayaran RM19.10 (termasuk GST) selama 10 hari dari waktu pembelian. 

Bayarlah untuk seni hidup lebih panjang. 





Sayidah Mu'izzah