Rabu, 3 Januari 2018

THE GREATEST SHOWMAN: MELIHAT SARKAS DI DALAM DIRI




TAHUN : 2017
PENGARAH: Michael Gracey
LAKON LAYAR: Jenny Bicks & Bill Condon
PARA PELAKON:  Hugh Jackman, Michelle William, Zac Efron
Keala Settle, Paul Sparks
NEGARA: Amerika Syarikat




Minit paling awal dengan derapan kaki penonton adalah waktu jantung berdegup kencang. Bingkai ini terlihat jelas cuba membawa penonton merasai keghairahan persembahan yang akan disaksikan. Ia semacam satu jarum yang menyuntik 'excitement fluid'. Dan seperti judulnya, The Greatest Showman, pengenalan terhadap P.T Barnum (Hugh Jackman) dalam imej silhouette sememangnya memenuhi keghairahan derap kaki dan degup jantung. Tetapi kemudiannya, hal ini cuba dimatikan oleh suatu ruang yang sunyi dan gelap.

Melihat wajah Barnum yang memandang ke ruang sunyi, gelap dengan jantung kita masih tidak puas berdegup dan 'excitement fluid' yang belum tahu melesat ke mana di dalam tubuh, bingkai ini bikin kita menganggap bahawa premis filem ini, adalah sebuah kisah seorang pengusaha sarkas yang menghadapi hari-hari rudumnya. Apatah lagi, judul filem ini saja telah meletakkan Barnum sebagai 'showman' di pentas sarkas.

Ya. Agakan kalian tidak salah. Sememangya Barnum mengalami kegemilangan dan kemalangan selepasnya. Dan kemudian dibangunkan semula sarkas tersebut di dalam sebuah khemah setelah rakan kongsinya Philip (Zac Efron) sudi membantu. Tetapi percayalah, ia tidak hanya sekadar permukaan kisah jatuh bangun seorang peniaga atau jika kalian mahu menonton sarkas secara literal,  maka ini bukanlah filemnya.

This is about the greatest showman itself. Ia termasuklah Barnum dan semua watak dalam filem ini, juga diri kita sendiri sebagai penonton. Jika sebuah filem yang baik akan cuba berhubungan baik dengan penonton sama ada, penonton itu hanya mahu merasai segala emosi padanya atau mendapatkan lebih daripada itu, maka, The Greatest Showman adalah sebuah filem yang baik.

Sejak awal berhubungan baik dengan penonton, tidak kurang juga kenakalan filem ini yang cuba menipu kita. Barnum yang masuk ke ruang sunyi dan gelap, yang kemudian membawa kepada imejnya berkaca pada cermin yang 'mengurung' sepasang baju (termasuk kot dan topi) adalah satu imejan yang kuat kerana ini adalah waktu-waktu muhasabah dirinya. Bercermin adalah imej yang kuat untuk menggambarkan muhasabah. Ia bukan sekadar gambaran keruduman perniagaan seorang usahawan seni, atau melihat cita-cita dan masa depan. Ruang sunyi dan gelap adalah ruang muhasabah dirinya. Dan hal ini dihubungkan dengan sangat jelas pada minit akhir filem ini.

Kita menyedari bentuk diri kita apabila kita berkaca, bukan?
Jadi, di sinilah sebenarnya filem ini memberitahu bahawa jangan menjangka sarkas di pentas untuk kalian nikmati tetapi kita sedang melihat sarkas di alam realiti. Dengan ini, sarkas di pentas adalah kulit, dan sarkas di dunia realiti adalah isinya. Ia secara terang, halus dan tajam, apabila Bennet (Paul Sparks) menyatakan bahawa sarkas bukanlah sejenis seni tetapi ia adalah kemanusiaan yang langsung tidak terbatas pada berbezaan setiap manusia secara fizikal mahupun akal. Tetapi realiti yang kejam, membeza-bezakan darjat, harta dan rupa. Ia masih berlangsung pada hari ini. Setiap manusia menghadapi penghakiman dan hukuman manusia lain. Sedang dalam sarkas, dengan pandangan orang yang melihat mereka begitu jelik, di situlah kasih-sayang menjadi cukup sempurna. Here, the show that never be acknowledge as an art can be more humanize then the reality itself.

Dan Bennet meski tidak pernah menyukai pertunjukan sarkas Barnum dan sering menuliskan hal buruk tentang sarkas itu, masih boleh duduk berkongsi minuman dengan usahawan ini setelah kemalangan yang menimpa - satu watak yang muncul sekejap-sekejap tetapi unik dan tak terlalu kalah kepada keburukan realiti. Kita akan mengingati watak Bennet ini meski ia hanya sampingan tetapi cukup berfungsi.

Kita melihat kekayaan, kedudukan yang tinggi dan darjat yang besar adalah definisi 'the greatest'. Kita tidak mahu meraikan diri kita seadanya setelah berusaha kuat untuk mendapatkan hidup yang bahagia. Kita selalu mahu menjadi sama seperti orang lain, sedangkan kita tidak pernah tahu apakah senyumannya benar atau palsu atau apakah itu yang kita perlu. Masih, sarkas tetap menang kerana mereka telah menerima diri mereka sendiri dan ini jelas dinyanyikan penuh penghayatan oleh Lette Lutz (Keala Settle) menerusi lagu This is Me.

Watak Barnum juga, pada pengakhirannya, tidak kisah sejauh mana mulianya dia dijelmakan pada mata masyarakatnya atau pada mata penonton sendiri kerana dia tidak memerlukan penghormatan begitu.  Dan orang yang menghormati dirinya akan menghormati orang lain. Hal ini dapat kita lihat betapa tidak hormatnya Barnum kepada bapa mentuanya kerana pada ketika itu dia sedang berada dalam awang-awangan kejayaannya sebagai 'showman on the stage'. Pada waktu itu dia sedang mengemis penghormatan orang dan tidak fikir untuk menghormati diri sendiri. Dia tidak sedar bahawa orang tetap akan melihatnya sebagai anak tukang jahit. Sebab penghormatan tidak boleh diminta atau dipaksakan ke atas sesiapa.

Suatu hal yang 'stylish' juga untuk menggambarkan ketidakpedulian Barnum terhadap penghormatan orang adalah penutup kepada filem ini. Barnum duduk bersama-sama Charity, menonton persembahan ballet anak-anak perempuannya. It is like he's saying this to his society and us as the audience "Chill, man! Chill! I just want to enjoy the show." - Yang dikatakan olehnya sebagai menikmati hal yang berada di hadapannya kini.

Maka, The Greatest Showman tidak hanya akan membawa penonton kepada The Greatest Showman on a stage tetapi The Greatest Showman in your own reality. Kehebatan seorang manusia tetaplah berhubung kait dengan siapa dirinya di belakang tabir. Malah derapan kaki pada minit awal tadi adalah suatu hal yang 'menarik' seseorang yang di awang-awangan untuk kembali berpijak pada bumi yang nyata. Barnum sedar hal yang lebih penting adalah menghormati diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengemis hormat daripada orang lain yakni, yang pertama, bersyukur terlebih dahulu dengan kebahagiaan yang ada di depan mata. Dia telah melepaskan dirinya daripada kurungan cermin baju, kot dan topi yang pernah dianggap prestij. 

Apakah relevan pula lagunya yang kedengaran lebih kekinian dengan masa sebenar kisah ini berikutan ia merupakan sebuah filem period? Saya melihat begini. Teknik masa yang dibawa dalam filem ini sendiri telah menidakkan masa yang relatifnya ditentukan manusia. Ini boleh dilihat melalui kepantasan waktu yang digerakkan, dari waktu berkaca diri di kedai kain, kepada mengenali Charity Hallet (Michelle Williams), dan tanpa sebarang pertelingkahan panjang dengan ibu bapa Charity mereka berjaya hidup bersama dan paling jelas ditonjolkan pada pertukaran bingkai daripada tarian mereka kepada usapan perut Charity yang sedang mengandung.

Maka soal masa dan lagunya bukan satu hal yang besar. The element of sensational is still there in their song. Dan tidak menidakkan bahawa ini adalah filem muzikal yang baik. Malah meskipun mise-en-scene mereka begitu klasik, masih, tidak ada apa-apa tahun dipampangkan di layar putih. Maka, saya membebaskan The Greatest Showman untuk hal ini kerana teknik naratifnya mendukung bingkai masa yang berada antara ada dan tiada. Juga, tidak ada satu lagu pun yang tidak penting dalam filem ini.

Detak kausaliti filem ini juga pantas dan tepat. Jika buat begini, maka akan jadi begitu, jika berlaku ini akan jadi itu. Ia seperti ketepatan masa dalam mengatur langkah tari. Tidak janggal, tidak melompat-lompat kerana ia 'compress' dan 'compact'. Kita tidak akan berasa terlalu lama di dalam panggung. Ia sangat lancar dan menyenangkan.

Jika The Greatest Showman menjadi sebuah filem sarkas yang benar-benar bermain sarkas dalam bingkai, maka tiada apa lagi 'the greatest' yang akan ada padanya. Ia sebuah filem yang memiliki falsafah yang tersendiri. Bukan untuk kalian merasakan keseronokan melompat ke sana sini, menari berpusing semata-mata tetapi ia membawa kalian berkaca melihat sarkas dalam diri dan ini, merupakan suatu hubungan yang dibina dengan baik antara penonton dan filem sepanjang perkisahan.

Inilah The Greatest Showman yang nakal 'membohongi' kalian dengan judulnya sedangkan ia semacam 'iceberg' di laut Artik. Judulnya di permukaan, falsafahnya di dalam, halus dan tajam.



You don't need the whole world to love you. Just a few good people. - Charity Barnum



Sayidah Mu'izzah