Ahad, 15 Oktober 2017

MOTHER!: TUHAN YANG MENGORBANKAN PRIVASI-NYA





TAHUN : 2017
PENGARAH: Darren Aronofsky
LAKON LAYAR: Darren Aronofsky
PARA PELAKON:  Jennifer Lawrence, Javier Bardem,
Ed Harris, Michelle Pfeiffer
NEGARA: Amerika Syarikat



Apakah Tuhan benar-benar adil? Benarkah Dia Maha Segala Kebenaran? Atau Dia tak lebih sekadar seorang suami yang dayus? Penyair yang 'pathetic'? Tuhan yang akan mengkhianati manusia apabila manusia benar-benar mencintai-Nya dengan memberikan bermacam-macam ujian sebagai bukti keteguhan iman?

Melalui bentuk yang hebat dari segi teknik dan kraf sekali lagi kita sebagai umat yang beragama terutamanya Islam kalah benar dengan sudut-sudut biblical di layar perak. Kita sebagai orang Islam (sesetengahnya) telah memasakkan dalam kepala bahawa filem adalah salah satu unsur haram di dunia lalu membenarkan tugasan dakwah diambil oleh orang lain. Malah untuk menulis tentang filem sekalipun, ia adalah sesuatu yang taboo. Nah, sekali lagi kita kalah kerana hal-hal sebegini. Dan kalau kita di Malaysia ini membikin filem berunsur dakwah, ia dipenuhi khutbah, hukuman dan cinta tudung-kopiah.  Kali ini, Aronofsky telah membawakan sesuatu kepada kita.

Aronofsky menyusun segala-galanya dengan cermat. Teknik kameranya kemas meski harus berputar sekitar bahagian dalam sebuah rumah dan mengejar Mother (Jennifer Lawrence). Melalui konsep 'from ashes to ashes' Aronofsky juga berjaya 'mengepung' ceritanya agar tidak berkeliaran tanpa arah.

Dialog pertama yang terbit dari bibir Mother dilihat sebagai salah satu teknik penceritaan yang begitu 'subtle'. "Baby?" Satu kata awal yang bisa memimpin penonton juga membohongi penonton kerana bentuk surrealisme yang membawa kita ke penghujung kisah.

Ada beberapa idea tentang perwatakan Mother. Pertama, kerana hidup manusia bermula daripada seorang ibu, maka dunia ini bermula daripada seorang ibu. Ini paling ringkas. Kedua, Mother ialah Mother Earth. Kita boleh juga merujuk poster yang sangat cantik di atas, juga pakaian-pakaian Jennifer Lawrence. Ketiga, Mother mungkin The Virgin Mary berikutan konsep trinity; Tuhan, Ibu Tuhan dan Anak Tuhan. Ini boleh dijelaskan juga ketika adegan bayi dijulang, mati, dan menjadi bahan mamahan. Semua manusia yang terlibat adalah pembunuh.

Watak Javier Bardem diwujudkan dalam sosok seorang penulis. Seorang penyair yang menuliskan keindahan sehingga ramai sekali membeli karyanya. Bahkan menjadikan ayat-ayat itu sebagai kultus dan tunggangan. Karyanya terlalu laris tanpa ada garis masa selain siang dan malam. Bukankah kitab Tuhan yang tak pernah habis cetak ulang dan jualannya sepanjang zaman? Tidak ada penulis yang boleh memecahkan rekod sepanjang zaman ini. Ya, kita tidak dapat melihat garis masa yang spesifik dalam karya Aronofsky ini selain hanya ada siang dan malam. Dan, waktu di dunia ini memang suatu ruang yang relatif. Waktu berdasarkan jam adalah ruang yang diwujudkan oleh manusia.

Dunia yang ditulis penyair pujaan ramai ini punya awalan dan pengakhiran. Dan pengulangan, tentunya. Di dunia ini juga, Aronofsky seperti memikirkan begini "Tuhan sedang belajar tentang mencipta sesuatu yang lebih baik berikutan kegagalan-kegagalan yang lepas." Dan Tuhan adalah gila. Ini dialog yang dilontarkan oleh Mother ketika rumah mereka diceroboh oleh pelbagai orang. Rumah yang kecil bermula dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar perkara. Dan perkara yang besar bermula dengan pembunuhan pertama oleh 'the son of Adam and Eve' membawa kepada lebih ramai orang ke dalam rumah tersebut. Membawa kepada kebuluran, kemiskinan, peperangan hanya di dalam sebuah rumah. 

Benarkah Tuhan sudah gila? Ayat-ayat-Nya tak pernah dapat menghilangkan segala kucar-kacir dunia. Tak mengenyangkan kelaparan. Tak memewahkan kemiskinan. Tak mengamankan peperangan. Ketika Mother meminta agar Dia menyuruh semua orang pergi, jawapan-Nya "Aku tidak mahu." Dan segala kucar-kacir tak pernah berhenti malah semakin parah.

Begini. Aronofsky bukanlah seorang yang hanya tahu memburuk-burukkan Tuhan. Bahkan Aronofsky sangat percaya bahawa Tuhan telah mengajarkan bahawa dalam diri kita ini, ada kebaikan iaitu kemanusiaan. Ini dijelaskan dalam babak majlis takziah untuk kematian yang pertama di dalam rumah. Tuhan mengajarkan manusia mendengarkan kemanusiaan. Malah Tuhan cukup altruistik, sehingga mengorbankan privasi-Nya, mengorbankan cinta-Nya sendiri. Dia memberikan sebuah rumah untuk dikongsi oleh semua orang yang datang dengan apa-apa niat sekalipun, hatta ada manusia datang dengan niat merompak hak Tuhan. Dia meyakini kemanusiaan yang diletakkan dalam diri manusia, tetapi ternyata manusia selalu gagal mendengarkan kemanusiannya sendiri. Perang, kemiskinan, kelaparan dan segala macam kegawatan di dunia ini bukan salah Tuhan sementelah Dia memberikan semuanya dari bahagian diri-Nya. Dia tidak dayus. Salahnya adalah manusia dan kemanusiaan yang tak pernah mahu didengari.

"Apakah kau masih mencintai-Ku?" Tanya Dia. Mother menjawab "Masih". Dan konsep 'from ashes to ashes' sebagai suatu kerangka naratif tidak terhenti begitu sahaja. Karya ini bikin kita masih terfikir-fikir setelah keluar dari panggung, apakah rumah tersebut akan melihat suatu pengulangan yang sama dari setiap abu yang lalu? Apakah kita adalah pengulangan? Kita berada pada waktu Mother yang mana? Dan banyak lagi persoalan kritis timbul menunjukkan bahawa filem ini bukan sekadar filem.

Aronofsky membawa kraf yang sangat jitu ke layar perak, baik dari segi naratif, mise-en-scene apatah lagi semiotiknya dalam menanggapi persoalan Tuhan dan dunia. Beliau tidak memerlukan khutbah untuk mengadun persoalan ini. Dan jika orang mahu melihat kerja Aronofsky ini sebagai suatu dakyah menyalahkan Tuhan, atau merosakkan akidah, saya memilihnya dengan sudut pandang seorang Islam. Bahawa Tuhan sangat baik. Yang merosakkan semuanya adalah kita yang tak mendengarkan kemanusiaan dalam diri dan menjadikan agama sebagai punca perbalahan. Ya, apa yang dunia ini lebih perlukan adalah orang-orang yang baik, yang mendengarkan kemanusiaan dalam diri sendiri.



Sayidah Mu'izzah








0 ulasan:

Catat Ulasan