Rabu, 7 Jun 2017

ZIARAH: KRAF NARATIF DAN KEPENGARAHAN YANG JITU





TAHUN : 2017
PENGARAH: B.W Purba Negara
LAKON LAYAR: B.W Purba Negara
PARA PELAKON:  Ponco Sutiyem, Rukman Rosadi, Ledjar Subroto
Vera Prifatamasari
NEGARA: Indonesia


Dimulai dengan muzik dan nyanyian gerun tentang kematian, Ziarah turut dimulakan dengan low angle shot dari dalam liang lahad; sekumpulan manusia sedang menimbus tanah. Ia mengambus penonton. Ia cuba menakutkan kita bahawa kematian memang suatu kegelapan dan kesepian. Apatah lagi bingkai seterusnya adalah bulan mengambang di langit yang kelabu kebiru-biruan, dan dialognya dimulakan misterius tetapi agak puitis oleh Mbah Sri (Mbah Ponco Sutiyem):

"Ada suara dari langit. Orang yang kutunggu kini di tempat suci. Ikhlaskan..."

Dan, masuklah sosok Mbah Sri dan cucu lelakinya yang sudah dewasa (Rukman Rosadi). Ia suatu perbualan yang membawa kepada pencarian makam Pawiro Sahid yang sebelumnya berpunca daripada Mbah Rejo, seorang askar veteran yang menyatakan bahawa suami Mbah Sri itu punya makam yang bernisan dan bernama. Mbah Sri mencari makam suaminya dari satu kampung ke satu kampung. Kerangka romantisisme yang dibawa sudut pandang berbeza.

Seperti suatu pensejajaran untuk low angle shot dari dalam liang lahad, dari high angle shot, sepasang kekasih sedang mengukur tanah untuk dibangunkan rumah. Dan si perempuan merungut tentang ukuran kamar tidur mereka yang sempit. Seperti B.W mahu menyatakan, ya, nanti di kubur juga sempit. Kamu tak akan boleh merungut kepada Tuhan atau si tukang gali kubur bahawa kamu mahu liang lahad yang lebih luas. Pembinaan rumah ini dan penimbusan tanah kubur seperti waktu yang berpapasan di suatu ruang masa. Yang ini dibantu dengan jelas oleh shot. Yang lainnya dibina cantik sepanjang filem ini berlangsung termasuk bantuan naratif, dan tajam kepekaan terhadap ironi hidup. Seperti perempuan yang belum berkahwin pun sudah merungut itu ini dengan Mbah Sri yang kehilangan dan mencari cintanya sesudah kematian. Juga antara hal menarik adalah isteri yang mati gantung diri dan Mbah Sri yang pengsan setelah menemukan makam yang dicari-cari.

Ziarah ditulis oleh sutradara muda berkesedaran bahawa dia harus menuliskan sejarah, tetapi tak semestinya harus dibikin sebagai sebuah dokumentari. Atau filem sejarah asli atau seringnya dibikin versi pop. Malah watak yang diangkat dalam filem ini bukan tokoh penting untuk disebut; tidak seperti dalam filem Soekarno, Rudy Habibi, Cokroaminoto dan sebagainya. Saya cuba melakukan sedikit research tentang Pawiro Sahid, Nyatanya tidak ada. Apapun, hal yang jelas, filem ini menyentuh sejarah penyerangan Belanda terhadap Yogyakarta sekitar tahun 1948, setelah Indonesia melaungkan proklamasi kemerdekaannya pada tahun 1945. Beberapa fakta digabung jadi fiksyen. Terlihat di sini bahawa hal penting bukan fakta sejarahnya yang benar-benar kemas tetapi esensi semangat nasional yang harus kita dapatkan daripada sejarah itu sendiri. Sebab tak mungkinlah kita sewenang-wenangnya bersedih untuk keluarga pahlawan kerana kematiannya apatah lagi ia sudah berlaku berpuluh tahun lalu. Tak mungkinlah orang biasa boleh ingat semua tarikh dalam sejarah. Apatah lagi sebagai penonton yang datang dari negara seberang ini, tidak akan ingat juga tarikh penting negara orang. 

B.W juga cuba menyatakan bahawa sejarah harus punya dokumentasi. Ini berlaku ketika cucu Mbah Sri cuba mencari neneknya yang tidak pulang selama 4 hari. Dia mencari Mbah Rejo yang meninggal selang beberapa hari bertemu Mbah Sri. Dan hanya lukisan juga cerita lisan Mbah Rejo kepada cucu perempuannya menjadi petunjuk dan dokumen sejarah. Malah B.W juga cuba memberitahu bahawa fakta sejarah juga boleh berpapasan dan berlaga bahu lalu menghasilkan salah faham kerana tidak jelas. Jadi fakta sejarah apa yang benar? Seperti sejarah hanya milik orang yang menang (B.W turut menyentuh soal pahlawan jadi-jadian). Kalau tidak ada kesedaran diri cuba mencari susur asli sejarah, ia hanya tinggal seperti batu nisan yang kaku. Jadi, inilah yang dilihat telah dilakukan oleh B.W Purba Negara; esensi sejarah dan selebihnya kebolehan bercerita dengan baik. Dan untuk menjadikannya kelihatan seperti suatu filem sejarah yang boleh dipercayai penonton (seharusnya filem boleh bikin penonton percaya), elemen penggambaran dokumentari turut disisip sebagai contoh, kutipan temu bual dan teknik cinema verite yang diguna pakai.

Hal yang bijak juga telah dilakukan oleh pengarah apabila seorang cucu harus menyusuli neneknya. Dia mencari neneknya kerana mahukan geran tanah untuk dijual dan membeli tanah lain bagi mendirikan rumah sesudah nikah. Hal yang berlaku, secara tidak langsung dia menyusuri jalan sejarah negaranya sendiri, keluarganya dan pengorbanan datuknya dalam mempertahankan tanah airBumi Indonesia, jasad tentara mengharumkan tanahnya sendiri. Sebab untuk setiap destinasi Mbah Sri, cucunya ini harus berhenti juga di destinasi tersebut, bertanya tentang neneknya dan mendapat banyak maklumat (cerita) tentang sejarah itu sendiri. Dan dia mulai mendapat kesedaran. Ia suatu penyataan bahawa sebagai anak muda, kita tak harus berkecuali daripada berpengetahuan tentang sejarah kerana kita terlahir daripada sejarah.

Terdapat juga unsur mysticism yang diselit iaitu sepasang senjata ikonik nusantara yakni keris, yang terpisah dan mempunyai semangat bahkan menjadi kompas untuk mencari pasangannya; kompas Mbah Sri mencari makam Pawiro Sahid.

Apakah filem ini bosan kerana ia tentang seorang nenek tua yang mencari kubur dan berkisah pula seputar sejarah? Tidak. B.W punya sense of humor tersendiri bikin penonton tertawa. Kita akan diberikan regangan-regangan pada titik-titik tertentu; bukan hanya regangan humor tetapi serpihan fakta yang memukau juga.

Mbah Ponco sendiri bukan seorang pelakon terkenal malah tidak pandai membaca. Ini fakta yang saya dapat ketika sempat berada dalam diskusi ringkas bersama-sama B.W di Empire XXI, usai menonton filem ini di Yogyakarta. Mereka harus membacakan dialog dan berlakon terlebih dahulu agar Mbah Ponco tahu dialognya dan apa yang harus dilakukannya sebagai Mbah Sri. Ia suatu usaha yang memakan masa.

Awalnya kematian disifatkan sebagai suatu kesunyian dan kegelapan. Pengakhiran filem ini tidak berakhir sunyi dan gelap. Para penonton diberikan imej ukuran dua makam yang digaris di padang rumput yang luas, di hari yang cerah setelah semua hal tentang makam Pawiro Sahid selesai. Seperti Mbah Sri sudah mengikhlaskan semuanya mesti hakikat kematian suaminya sedikit menggoncangkan jiwa; suaminya berkahwin lain kerana fikir dia telah meninggal ditembak Belanda sama seperti Mbah Sri fikir suaminya mati ditembak Belanda. Mereka mangsa perpisahan kerana perang.

Ziarah hadir ke layar perak dengan hasil yang jelas menunjukkan bahawa sutradaranya tahu bikin filem dan punya jati diri yang kuat (suatu hal penting yang membina kraf pengarah). Bukan hanya teknikal tetapi juga kebolehan dari segi naratif (suatu kebolehan yang amat penting dan aula). Ia disusun kemas meski ada hal yang berpapasan, ia disejajarkan dengan molek. Ini filem wajib tonton.



Kembali kepada tanah - kenapa ke tanah? Kenapa tidak air? - Mbah Sri.



Sayidah Mu'izzah



Isnin, 5 Jun 2017

DARI TIMUR: 3 CERPEN MENYERLAH



JUDUL : Dari Timur
PENGARANG: Ama Achmad, Cicilia Oday, Deasy Tirayoh, Dicky Senda,
Emil Amir, Erni Aladjai, Faisal Oddang, Ibe S. Palogai, Irma Agryanti
Jamil Massa, Mario F. Lawi
GENRE: Cerpen & Puisi
RUMAH PENERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
TAHUN CETAKAN: 2017
HALAMAN: 112
NEGARA: Indonesia




Dari Timur merupakan sebuah antologi puisi dan cerpen karya penulis-penulis terpilih di Makassar International Writers Festival. Buku bersampul cantik ini tidak punya isi kandungan. Jadi saya mengira jumlah cerpen dan jumlah puisinya secara manual berdasarkan judul. Enam buah cerpen daripada enam penulis. Kita fokus pada cerpen terlebih dahulu. Tetapi seperti biasanya, bukanamigobiasa.com memilih tiga buah cerpen yang difikir benar-benar menyerlah dan memberi kesan lebih awal.


PURNAMA DI ATAS RUMAH - Deasy Tirayoh

Tetapi tetangga belum surut bertanya dengan kalimat-kalimat lumrah: "Kenapa selalu ada purnama di atas atap rumahmu?" - bahawa sebenarnya kami tak akan pernah sedia menjawab, sebab malam telah jatuh dan purnama tersangkut di sana.

Begini visual yang diberikan kepada pembaca oleh Deasy. Dan dengan keseluruhan kisahnya dalam cerpen ini, pembaca segera ingat tentang puisi pendek yang sangat terkenal oleh Sitor Situmorang iaitu Malam Lebaran: 

Bulan di atas kuburan


Di dalam rumah ada sebuah kamar rahsia. Di dalam kamar rahsia itu ada kubur tak bertanda. Dan purnama selalu ada di atas atap rumah. Secara tidak langsung, ia berada di atas kuburan. Ini antara kesan yang diberikan oleh keseluruhan cerpen ini. Suatu kesan bebas, tentunya.

Dari segi naratif, Deasy bijak memilih sosok tokoh untuk membawa pemikirannya. Sosok yang terlalu dekat dengan setiap orang, bahkan setiap pembaca kerana semua orang terlahir punya ibu. (Ya, melainkan Nabi Adam dan Hawa) Deasy mengambil sosok seorang ibu dan anak perempuannya dalam menyatakan hal kebebasan perempuan yang sering dilabel sebagai 'second sex'. Dengan label inilah keganasan dihalalkan. Dan ini kisah 'domestic violence' yang dilukis misterius dan indah. Kejam tetapi harus. Salah tapi benar. Dengan sosok ibu, pengarang dilihat sedar bahawa tak perlu pergi kepada watak yang jauh jika mahu berbahas tentang soal perempuan dan hak. 

Tetapi sebagai seorang anak, di sini anak perempuan, jika terlahir dengan ibu pasti juga punya ayah. Deasy dilihat cuba bersikap adil dengan memilih kesamarataan melalui perasaan ibu dan anak perempuan ini; ketika ibu bersedih dan menyembunyikan kesedihan dan anak cuba memberi hormat kepada ayah tetapi ditegah, meski mereka tahu apapun yang terjadi dan cuba mereka lupakan, yang telah terjadi tetap akan terjadi demi memerdekakan mereka. Dan pertanyaan masyarakat cerpen ini tentang purnama di atas atap rumah mereka lama-lama menghilang, seperti ia suatu jenayah yang setimpal untuk para pengganas yang bergender lelaki.

Kekuatan cerpen ini, meski dengan tema dan cerita yang biasa, adalah aturan bahasanya yang sastera. Ia jelas, punya makna, beritma tetapi tidak ada rasa keterpaksaan. Ia lancar di hati dan fikiran.



SILARIANG - Emil Amir

La Saddang, namamu masih tersimpan di hati, bersarang dan tak mau pergi, ucap saya dalam batin.

Ya, jelas. Ia sebuah cerita cinta. Malah bersegi-segi, penuh skandal, dan penuh karma. Masih suatu tema biasa. Tetapi yang membuatkan ceritanya luar biasa adalah garapan adat dan budaya Bugis. Ini ilmu yang telah dijalin kemas dan teratur sepanjang kisah ini bercerita. Hal ini mungkin dekat dengan penulis sendiri.

Suatu kebijaksanaan, meski ada orang akan mempertikaikannya sebagai 'play safe', hal yang dekat dan dipilih kerana sifat sejagatnya mudah diikut oleh pembaca. Pengarang memilih acara perkahwinan, suatu acara yang tak pernah tidak ada dalam sesuatu bangsa (sepanjang pengetahuan saya), meski berbeza ritualnya. Ia merentas batas kaum malah agama. Dan pengarang cuba menyampaikan kritikan tentang pemilihan pasangan dalam perkahwinan sehingga watak utamanya, Andi Saeba menjadi anak dara tua lantaran ayah dan ibu yang terlalu mengikut adat sampai menepis terus soal hati dan perasaan, masa depan dan kebahagiaan.

Sepertinya, kita terus tercermin pada Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan HAMKA yang mengkritik adat Minang sampai Hayati dan Zainuddin terpisah dan tak bahagia. Dan pengarang cerpen ini berceritakan tentang hal yang sama dari bahagian dunia yang berbeza iaitu Dari Timur. Bahkan ia punya titik-titik tragisnya dalam menerima kenyataan hidup watak sehingga akhir cerita.

Yang menjadikan cerpen ini lebih menyerlah adalah adat budaya Bugis itu tadi. Dan terima kasih kerana mengekalkan bahasa Bugis dan menyediakan glosari bagi pembaca menambah ilmu dan pemahaman. Kisah ini bukan suatu tragedi silariang (kahwin lari - Bugis Makassar) yang biasa. Kalau mungkin ia biasa bagi seorang Bugis, titik-titik tragis masih mampu menyelamatkan cerpen ini.



ORANG-ORANG DARI SELATAN HARUS MATI MALAM ITU - Faisal Oddang

"...lebih baik ditembaki tentara daripada dibunuh orang-orang kampung ini. Lebih baik menodai aturan perintah daripada menodai agama orang lain, paham?"

Isuri dan ayahnya, tokoh dalam cerpen ini, dipaksa menganut agama yang akan tertera pada kad pengenalan (KTP) setiap orang. Sedangkan mereka berdua menganut Tolotang, kepercayaan tradisional di Sulawesi Selatan, memuja Dewata Sewwae. Dan pengarang bijak meletakkan hal penting di hujung ayat akhir cerpen ini, iaitu suatu tarikh. Melalui pembawaan cerita ini kita tahu ia kisah seputar politik, agama dan sejarah. Tiga tema yang selalu malar segar dan penting.

3 Februari 1965, merupakan tanggal kematian Abdul Kahar Muzakkar, seorang perajurit Tentara Nasional Indonesia yang menubuhkan Tentara Islam Indonesia di Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tenggara kerana tidak menyetujui pimpinan Soekarno.

Tetapi kalau diabaikan hal itu, masih kita dapat melihat cerpen ini secara 'universal'; sebuah cerpen kritis yang membahaskan soal anutan agama yang seharusnya tidak boleh dipaksa-paksa. Tidak ada sesiapapun yang harus memaksa sesiapa menganut agamanya, dan tidak pula dia boleh dipaksa menganut agama sesiapa. Ia juga mengusulkan bahawa dengan Tuhan apapun mengikut kepercayaan masing-masing, tak harus setengah-setengah sampai mencacatkan nama baik sesuatu agama.

Apapun, kenyataannya, cerpen ini suatu pengabadian tanggal sejarah nasional dan kekacauan politik dan agama bagi rakyat Indonesia yang digarap molek. Suatu penceritaan dan pembacaan yang tidak sia-sia.




********

Tiga buah cerpen lain agak lambat memberi kesan terhadap pembacaan. Ada yang dilihat cuba bereksperimen tetapi tidak stabil, dan ada yang mendatar kesannya di bahagian penamat. Juga sedikit kesan tidak cermat. Buku ini juga mengandungi puisi yang berselang-seli antara cerpen yang masih dalam proses membaca.