Selasa, 28 Februari 2017

LION: BERPULANG KEPADA SHERU



TAHUN : 2016
PENGARAH: Garth Davis
LAKON LAYAR: Luke Davies
PARA PELAKON:  Dev Patel, Sunny Pawar, Nicole Kidman,
Rooney Mara, David Wenham
NEGARA: Australia dan United Kingdom


Saya pernah membaca artikel tentang kisah Saroo Brierley sebelum filem ini diterbitkan. Umum tahu bahawa ini ialah filem autobiografi. Dan ketika saya tiba di hujung artikel, dan mengetahui hal yang berlaku kepada Guddu, memang saya terkesima sebentar. Begitu kita tidak pernah tahu takdir kita atau takdir orang dalam satu malam, apatah lagi untuk takdir berpuluh tahun lagi.

Disebabkan filem ini merupakan sebuah autobiografi, maka, ia disusun dengan garis masa yang rapi pada awalnya. Kita boleh mengikutnya dengan mudah tetapi hal yang bagus adalah, ada masanya kita tidak disuapkan dahulu dengan tarikh, tetapi bingkai yang jelas sangat membantu kita. Sebagai contoh, peralihan watak Saroo kecil (Sunny Pawar) kepada Dev Patel, hanya ditunjukkan sewaktu Patel muncul ke permukaan air di pesisiran pantai. Kemudian baru kita mendapat tarikhnya. Cuma menghampiri hujung kisah, garis masanya ada yang tidak ditunjukkan langsung. Kita boleh mengaitkannya dengan keadaan Saroo yang sudah kucar-kacir dan tidak terurus. Tarikh dan waktu bukan lagi hal yang signifikan. Hal yang penting adalah menemui jalan pulang. Dan setelah dia menemukan tanahnya, kita kembali diurus oleh tarikh, tempat dan fakta.

Sebab itu juga, bingkai-bingkai awal filem ini adalah sudut pandang helang, merentas bukit, rimba dan lautan. Kerana ia adalah 'A Long Way Home' seperti judul buku Saroo sendiri. Perjalanan yang jauh tidak akan pernah mudah.

Tiada percubaan yang terlalu banyak untuk bermain dengan semiotik yang mencabar, pun begitu Garth Davis masih meletakkan mise-en-scene yang relevan tetapi mudah untuk dicerna penonton kerana objektif filem ini sendiri ialah tanggungjawab sosial. Ia tentang kesedaran mengenai masalah kanak-kanak hilang (malah ada suguhan fakta di hujung cerita). Filem yang memiliki objektif ini haruslah filem yang mudah disampaikan kepada masyarakat penonton. Sebagai contoh, kita sendiri boleh mengagak nasib Guddu kerana bayangannya yang 'mengekor' Saroo sepanjang pencarian jalan pulang. Ia bukan sekadar memori. Ini hal yang mudah difahami penonton. 

Selain itu, imejan dua ekor burung di tembok bangunan penempatan kanak-kanak hilang, sewaktu Saroo menunjukkan gambar Sue (Nicole Kidman) dan John (David Wenham) kepada Amita juga agak indah. Salah seekor burung itu terbang keluar dari kawasan bangunan dan seekor lagi terbang rendah ke dalam bangunan. Kita diberikan isyarat bahawa ia masa untuk Saroo terbang jauh dari tempat itu, malah jauh dari negara kelahirannya. Tetapi tidak untuk gadis kecil Amita. 

Juga pada awal Saroo muncul, dengan gerombolan rama-rama yang berterbangan di sekelilingnya, menandakan bahawa dia akan tetap pulang. Jawapan kepulangan ini telah diberitahu sejak awal filem berlangsung. Rama-rama adalah serangga yang sering digunakan sebagai imejan jalan pulang. Paling mudah untuk kita merujuk fungsi ini ialah filem Alice in the Wonderland (2010) oleh Tim Burton. Sebuah filem yang sangat mudah dicapai oleh majoriti penonton.

Pemilihan judul filem, Lion, bukan hanya merujuk kepada keberanian Saroo yang merentas jalanan dan benua sewaktu kecilnya. Saroo adalah sebutan yang salah untuk nama Sheru. Dia hanya tahu akan hal ini setelah dia berjaya menjejaki ibunya di Ganesh Talai. Jadi selama di Ganesh Talai, sewaktu kecil dia adalah Saroo, sehingga dia hilang, dan kembali ke tanah asal barulah dia tahu bahawa dirinya yang sebenar adalah Sheru. Sheru bermaksud singa. Dia telah berpulang kepada dirinya yang sebenar. And it's a long way to Sheru!

Keseluruhan filem ini, ia mudah kerana objektifnya. Tanggungjawab sosial itu tadi. Kita tidak perlu harus berfikir banyak. Ikut sahaja jalan cerita kepulangan singa yang kesesatan ini. Dan kita masih boleh menikmati keindahan sinematiknya dengan penuh kesederhanaan.


- Sayidah Mu'izzah -


0 ulasan:

Catat Ulasan