Jumaat, 13 Januari 2017

LA LA LAND: SEBUAH HOMAJ AUTENTIK





TAHUN : 2016
PENGARAH: Damien Chazelle
LAKON LAYAR: Damien Chazelle
PARA PELAKON:  Ryan Gosling, Emma Stone, John Legend, 
Rosemary Dewitt, J.K Simmons
NEGARA: Amerika Syarikat




Sewaktu menonton La La Land yang 'classy', fikiran saya juga hinggap pada sebuah filem muzikal komedi hebat Singing in the Rain (1952) arahan Gene Kelly dan Stanley Donen. Saya mengesan kerangkanya pada filem arahan Damien Chazelle ini. Bermula dengan pertemuan kerana kereta, dua orang seni, percakapan seni mereka, penggambaran studio, musim, dan tentunya perbezaan pendapat mereka tentang keghairahan seni masing-masing juga bagaimana pengakhiran mereka.

Seperti yang pernah saya nyatakan dalam entri sebelum ini, gubahan dalam seni adalah perkara yang biasa tetapi harus tampak asli. Maka La La Land (LLL) di tangan Chazelle tampak asli meski terlihat kerangka Singing in the Rain (SITR) di sana-sini, kerana gubahan ini jelas lebih kompleks. 

Pertemuan Sebastian (Gosling) dan Mia (Stone) berlaku di lebuh raya, dalam kesesakan lalu lintas. Pertemuan Don Lockwood (Gene Kelly) dan Kathy Selden (Debbie Reynolds) berlaku di jalan raya, kerana tayar kereta pancit. Di sini, pada asasnya, kita sudah dapat melihat bahawa Chezelle meletakkan kompleksnya pada LLL. Seperti Chazelle menyatakan bahawa, ini muzikal dengan julat yang lebih besar.

Kemudian kita dibawa mengenali siapa Seb dan Mia. Berbanding SITR, Don merupakan artis yang sangat terkenal, tetapi Kathy hanya penari latar. Chazelle seolah-olah bertanyakan sesuatu, apakah semudah ini kehidupan anak seni, dengan pasangan artis terkenal dan berbakat, maka kita juga akan terkenal dan berjaya? Chazelle mematahkan hal ini dalam LLL; Seb dan Mia tidak melalui kesenangan seperti yang dilalui oleh Don dan Kathy. Ya, kita tahu SITR sebuah komedi, tetapi ia tetap tentang cinta dan seni yang masih punya sindiran. LLL lebih realistik. Chazelle menyatakan hidup ini bukan sebuah komedi dalam SITR. Dan seperti semua orang tahu, LLL ialah kisah tentang mimpi dan harapan. Tak ada yang mudah jika kita berkata-kata tentang kedua-dua hal ini. Bermimpi memang tidak perlukan bayaran, tetapi untuk mencapainya, bukan setakat bayaran yang diperlukan tetapi pengorbanan. Suatu hal yang lebih besar. Malah ia lebih menyakitkan. Dan untuk LLL, rasa sakitnya masih berbekas.

Tentu sekali, studio dan set penggambaran tidak akan terlepaskan dalam kedua-dua filem ini. Juga, percakapan mereka tentang cabang seni tentulah sekali mengujakan. Percakapan ini sahaja tentunya lebih kompleks dan mengikut acuan Chazelle sendiri. LLL bergerak dari musim ke musim; empat musim, tetapi SITR cuma ada cuaca; pastinya hujan. Oh ya, 'tap dance' tetap ada sebagai elemen broadway. Tetapi kali ini Chazelle mengecilkannya sebagai suatu babak manakala hampir keseluruhan SITR memilikinya.

Segala yang di atas telah dipatah-patahkan oleh Chazelle tetapi masih ia hal-hal yang kecil. Chazelle memerlukan hal yang lebih besar untuk menjadikan gubahannya sebagai suatu yang lebih autentik. Here come the scenes with the music without singing, telling the audience about the dreams, hopes and the feeling. This is the most powerful element in LLL. Keping-keping bingkainya 'berkerja lebih' dan suatu hal yang penuh magis adalah keindahahan runut bunyi Sebastian and Mia's Theme. Dan magis adalah suatu hal yang payah ditemukan. Dan kembali kepada SITR, yang mengulang lagu Singing in the Rain sewaktu jatuh cinta dan pengakhirannya, begitulah LLL mengulang muzik magisnya tetapi dengan lebih realis, mengejutkan dan meluluhkan pada pengakhirannya. Ia tidak 'menyanyi' langsung; tetapi berlagu dalam diri para penonton. 

Perbandingan tentang bakat dan komersial, tradisional dan revolusioner, ia suatu hal yang biasa dalam dunia seni dan selalu juga berlawanan. As much I and my husband can relate this point to our life, working for arts and literature. Berjuang untuk duit salah, tak berjuang untuk duit juga salah. Untuk ikut kesukaan orang itu sama pentingnya untuk tidak mengikut kesukaan orang; yang selalu tak memberi wang kalau tidak ikut tetapi berperang juga untuk menjaga maruah seni dan impian itu sendiri. Dan Chazelle menyatakan prinsipnya, laksanakanlah seni itu dari cabang apapun asal engkau berjaya. Lihatlah pada Seb dan Mia. Kedua-duanya berlawanan arah sejak mula berkawan baik meski dengan 'lighthouse' yang sama. Tetapi pada akhirnya, mereka berdua berjaya dan saling menghormati perjalanan masing-masing.

Saya melihat La La Land seperti sebuah homaj untuk Singing in the Rain. Chazelle mematahkannya dengan halus dan penuh penghormatan. Malah menjadi diri sendiri; seorang pengarah muda (31 tahun masih muda, bagi saya) yang realis dan optimis berbicara soal seni dalam filemnya. La La Land is one of the mesmerizing films that I want to remember.


-Sayidah Mu'izzah-

0 ulasan:

Catat Ulasan