Khamis, 22 Disember 2016

DESOLASI: INTI, KULIT DAN BUMBU



TAHUN : 2016
PENGARAH: Syafiq Yusof
LAKON LAYAR: Syafiq Yusof
PARA PELAKON:  Syamsul Yusof, Dato' Jalaluddin Hassan, 
Bella Daily, Pekin Ibrahim
NEGARA: Malaysia


Al-Quran yang sedang dibaca, dan 'God's eyes' memberitahu ini filem agama dan manusia ini bakal sengsara. Intinya begitu, kulitnya apa? Dalam kerangka filem ini, ia dijawab apabila Aiman (Syamsul Yusof) masuk ke alam mindanya dan diperkukuhkan dengan segala lambakan fakta dan tentu sekali sebuah mesin yang diaplikasi oleh doktor yang menyambung kajian bapanya. 

Separuh perjalanan filem ini, buat saya gelisah. Serasa mahu keluar panggung, tapi saya tidak pernah lakukan hal ini kepada mana-mana filem yang sedang ditonton, walau sekuat manapun perasaan itu mendesak. Dan saya fikir, ini kerja Syafiq, yang berjaya mengagumkan kita dengan filem S.A.M. (2012). Saya harap saya akan menemukan sesuatu di penghujungnya. Saya tak mahu bercakap soal lakonan, tetapi dialog yang dibina dalam filem ini seperti dialog drama televisyen. Kalau ada waktu kita berkurung dalam sebuah bilik tanpa menonton filem ini pun kita akan tahu apa yang sedang berlaku. 

Hampir semua perkara diberitahu melalui dialog, monolog dan narator. Sebagai contoh "Mana semua orang?" dan ditempikkan berkali-kali. Dan hal ini sebenarnya saya kesan awal lagi ketika menonton trailer, dan ia telah membunuh selera saya. Tapi tidak adil juga kalau saya hanya menyandarkan selera pada trailer semata-mata. Jelas lagi nyata, terang tak perlu bersuluh, tiada manusia di bandar tersebut. Kenapa tidak biarkan saja penonton menikmati kesan CGI yang mampu kosongkan Kuala Lumpur itu dengan dialog yang wajar sahaja? Hal ini merosakkan hubung tayang antara penonton dengan filem. Seharusnya, biarkan juga penonton mencari sebagai mana Aiman mencari-cari. 

Saya fikir, filem ini terinspirasi oleh antologi The Twilight Zone musim 'pilot' (1959). Seorang pemuda terperangkap dalam dunia sunyi, mencari-cari manusia lain di sebuah bandar. Ada adegan bertempik, tetapi tidak terlalu bingit. Lebih banyak mainan visual yang mewujudkan hubungan cerita dengan penonton. Dan, tiba-tiba ada rokok yang berasap, ditinggalkan seseorang, dan memang dia sebenarnya menjadi bahan eksperimen dengan peralatan di kepala. Saya fikir, Syafiq boleh lakukan lebih baik supaya tidak seperti menampal terus episod The Twilight Zone dalam filem ini. 

Gubahan dalam kerja seni memang perkara biasa tetapi harus juga menjadi suatu gubahan yang tampak asli. Dan harus seimbang bermain dengan bahasa filem. Tidak sampai babak bingkai gambar kahwin dan beranak juga perlu ada sang narator yang menyuap fakta yang boleh dilihat sendiri oleh penonton. Biarkan cerita berhubung terus dengan penonton sebagaimana babak-babak yang menjalinkan kembali perlakuan gila Aiman di tengah-tengah kota Kuala Lumpur dengan penerangan doktor yang merawatnya. Fakta doktornya tentang penyakit, tetapi tidak memberitahu penonton apa yang sedang dilakukan Aiman. 

Saya pernah menuliskan dalam artikel saya di Dewan Budaya, Filem Islami: Masih Adakah Degupnya (2014), setelah Syukur 21 (2000) yang berkulitkan fiksyen sains, berinti agama, dan berbumbu cinta, kebanyakan filem Islami di Malaysia hanya berkulitkan agama, berintikan cinta orang kopiah dan tudung labuh atau sebaliknya. Tidak ada inti selain inti cinta manusia yang hanya memabukkan penonton. Walaupun saya fikir, yang boleh saya puji dalam filem ini ialah CGI secara teknikalnya dan beberapa babak 'parallel world' antara Aiman dan ayahnya (Dato' Jalaluddin Hassan) juga beberapa lapis makna yang sangat mudah difahami penonton, masih saya fikirkan Desolasi antara gubahan naratif yang perlu diberi peluang. 

Setelah hampir 17 tahun kita menelan muntah filem berkulit agama, yang memabukkan dan bermusim semacam iman manusia, kali ini kita diberikan filem yang agak seimbang kulit fiksyen sainsnya, berbumbu sedikit cinta (sebenarnya digarap baik walaupun tipis) dan berinti agama. 

Meski penyampaian kebaikan agamanya kering dan kita masih kalah dengan Barat yang lebih halus 'berdakwah'. Tidak perlu pergi terlalu jauh, The Matrix (1999), yang saya kira telah ditonton kebanyakan orang dan ia sangat popular, sudah cukup kuat elemen 'dakwahnya'. Kalau kita mahu mengisi 'desolasi' kita sendiri, usaha tetap harus diteruskan dan Desolasi datang kepada kita penghujung tahun ini. Ya, tidak mudah membina sebuah filem agama, kerana kebaikan beragama adalah teladan. Bukan khutbah yang panjang. Seperti 'agama' filem ialah bahasa visualnya, tidak nampak sebagai huruf, dibaca sedari cahaya. 


-Sayidah Mu'izzah-

0 ulasan:

Catat Ulasan