Rabu, 30 November 2016

HANYUT - KOLONIAL YANG TAK PERNAH PULANG





TAHUN : 2012/2016
PENGARAH: U-Wei Haji Saari
LAKON LAYAR: U-Wei Haji Saari
PARA PELAKON:  Diana Danielle, Sofea Jane, Peter O'Brien, Adi Putra, 
Bront Palarae, Khalid Salleh, Alex Komang
NEGARA: Malaysia


Sebuah peta muncul. Ia Malaya pada tahun 1830. Dan Hanyut bermula dengan tenaga yang kuat dan menggoncangkan. Mem (Sofea Jane) membawakan tenaga itu sekali gus meletuskan makna yang besar tentang filem ini. Ia bukan sekadar seorang ibu yang hilang akal atas sebab anaknya, Nina (Diana Danielle) diambil belayar ke Singapura untuk hidup sebagai orang Inggeris. Atau perempuan gila tak semena. Ya, pada awalnya kita menyangkanya begitu. Jangan fikirkan Sofea Jane yang dirias cantik. Ia tidak akan membawa maksud watak dan filem ini kalau difikirkan begitu.

Kemudian, sejajar kelahiran baru seorang bayi yang dibidankan Mem, dan entah anak siapa dalam kisah ini, tetapi dengan mata kasar kita tahu anak tempatan, dari lengkok sungai yang sama, Nina pulang. Dengan ini. kita sebenarnya diberitahu, ia bukan kepulangan yang biasa. Ia akan membawa kepada suatu 'kelahiran' yang baru. Kita akan melihatkan ini pada diri Nina. Dan kau harus boleh berkata "Ini generasi aku yang telah pulang." Lihat peralihan pakaian Nina, dari mula dia berpakaian lengkap gadis Inggeris, bersikap dingin melihat ayahnya, kemudian memeluk hangat ibunya, dan Mem menolak topi Inggeris Nina dengan jelik. Seterusnya, Nina berpakaian separuh Melayu (Kain batik) dan separuh Inggeris (Blouse Inggeris), dan akhirnya Nina, sewaktu ingin pergi bersama-sama Dain Maroola (Adi Putra), lengkap berpakaian tradisi Melayu berwarna putih. Inilah kelahiran baharu. Dia sudah benar pulang meski dengan satu lagi kepergian. Dia memilih Dain, seorang Melayu. Kerana kedua-duanya generasi baru untuk bergantung harap agar tradisi, budaya, dan jiwa Melayu kekal melalui penyatuan mereka. Ia bukan kisah cinta biasa atau kahwin lari yang klise. Ia membawa perjuangan bersama-samanya.

Nina yang cantik, menyunting rasa lelaki-lelaki yang memandangnya. Suatu yang amat memberi kesan tentang ini adalah, jenis-jenis lelaki itu. Pada awalnya, Rashid (Bront Palarae), seorang Arab, datang bersama-sama bapa saudaranya (Alex Komang), membawa pinangan. Dengar perbincangan meminang ini, ia tak lebih menunjukkan sifat golongan yang kononnya beragama tinggi tetapi kalah dengan hal ehwal serakah. Tasbih yang sentiasa di tangan tidak dapat meleraikan muslihat niaga dan iri hati. Orang-orang Inggeris, tak usah cakaplah. Dengan gentleman menarik kerusi untuk Nina, panahan matanya tak lebih juga daripada nafsu serakah. Dain Maroola, anak raja Melayu, dari sebuah kepulauan, datang atas urusan tanggungjawabnya untuk membanteras lanun juga cuba menghalang penjajah daripada bermaharajalela. Lihat, Dain datang dengan tanggungjawab. Saling jatuh cinta dengan Nina adalah takdir yang bukan sengaja. Ia juga merupakan tanggungjawab bukan hanya tentang cinta, tetapi tentang bangsanya. Dan kita boleh melihat pembahagian: Islam Arab, Islam Melayu dan tentunya, Bukan Islam. Dengar apa yang Mem katakan "Babi pun depa suruh aku makan. Tak kafir pun aku." Dan Islam itu di mana sebenarnya?

Almayer (Peter O'Brien) membina rumah (Folly) di tengah hutan. Untuk apa? Bukankah dia sangat ingin pulang ke tanah airnya, yang tak pernah dia jejak, kerana dia lahir di Singapura. dan hanya mendengar kisah negaranya melalui ibunya? Kembalikan pertanyaan itu kepada diri kita. Kenapa penjajah membina bangunan, membina rumah, membina landasan kereta api sedangkan pasti ada antara mereka yang sangat ingin pulang ke tanah air?

Kolonialisasi. Bangunan bercirikan seni bina Eropah di tengah-tengah hutan, malah tinggi, lebih tinggi daripada rumah rakyat asal. Ini suatu lambang kolonialisasi. Mereka tak melepaskan tapak kolonialisasi meskipun di tengah hutan.  Kalau tidak, masakan Cameron Highland, utopia musim Inggeris kita masih terpacak sampai hari ini? Ia kononnya dibuka oleh seorang lelaki Inggeris yang kemudiannya hilang di dalam hutan tanpa dapat dikesan. Dengar juga dialog Almayer kepada Nina tentang Dain, bahawasanya, meski Dain dilihat budiman, Almayer tidak ambil peduli tentang darah diraja Dain. Malah dengan Rajah Ibrahim juga, hanya urusniaga. Kolonialisasi tidak mengiktiraf martabat diraja Melayu walau sebudiman apapun kita. Apatah lagi, kalau kita tidak budiman.

Mem, bukan wanita biasa atau sekadar seorang ibu. Inilah ibunda kita tanah air yang sasau, hilang akal, atas paksaan budaya asing terhadapnya. Tidak cukup dengan itu, ibunda kita terpaksa melihat generasinya menanggung paksaan yang sama. Mem bukan perempuan gila harta yang menuntut hak materi. Mem menjerit " Aku ini isteri kau yang sah di mata agama dan undang-undang kau." Dia membebel lagi "Aku mahukan bahagian aku."

Undang-undang kita, adalah English Common Law yang diperturunkan menjadi amalan sehingga hari ini. Dan tentu sekali ada pindaan dan penambahan. Tetapi dasarnya masih di situ. Kes-kes rujukan kita masih rujukan undang-undang yang diperturunkan ini. Undang-undang agama kita, menjadi pinggiran. Sehingga hari ini, kita dapat melihat kesan, terdapat pertindanan antara undang-undang yang diperturunkan Inggeris dengan undang-undang syariah. Undang-undang Adat apatah lagi. Kalau kita mengkaji betapa kacaunya urusan perundangan kita suatu masa dahulu, sehingga melibatkan urusan perkahwinan, malah urusan kematian, kita akan menyedari hal ini. Tidakkah kita belajar apa-apa daripada insiden Natrah yang sangat terkenal itu? Tanah air kita sah di sisi agama dan undang-undang, tetapi di manakah bahagian hak kita?

Mem bukan hanya menuntut emas iaitu hasil bumi tanah air kita. Mem menuntut bahagiannya. Ibunda menuntut bahagiannya. Bukan hanya materi tetapi, lebih besar daripada itu, hak kuasa kita sendiri. Kerana itu juga, Almayer mendengarkan kisah tanah air melalui ibunya. Bukan bapanya. Seperti Nina yang mempunyai Mem, tanah ibundanya, tentu sekali Almayer memiliki tanah air sendiri.

Siapakah pula yang membantu Mem dalam menuntut haknya? Tentu sekali bukan orang asing, sementara orang sendiri yang hidup di punggungnya juga tidak mahu ambil kisah. Daripada suami sendiri, si Belanda Almayer, orang Arab, orang Inggeris, sampailah ke gadis penjual kuih yang katanya jauh datang ke tanah ibunda, masing-masing mementingkan diri sendiri. Orang Kaya Tinggi (Khalid Salleh) juga tidak peduli dan hanya tahu menjilat bontot Rajah Ibrahim yang tidurnya pun didodoi kotak muzik orang putih. Harapan Mem hanya dua manusia, generasinya, Nina dan Dain. Orang asing tidak akan mengingatkan kita tentang hak kita. Sebagaimana ada manusia yang tidak tidak senang dengan hak manusia lain, meskipun saudaranya sendiri.

Mem, panggilannya. Dan berapa kali tanah air kita ini berubah nama? Dipanggil 'keinggeris-inggerisan'?

Oh ya, beza juga kita lihat, bagaimana Nina, si gadis kacuk, mendayung sampan pulang ke rumah Mem, Dain, hanya berlari menempuh hutan. Beza, antara yang punya darah 'hanyut' datang ke tanah ibunda, dengan orang yang memang inilah tanah airnya. Berbeza sungguh. Alangkan salam tangan Dain berlainan benar dengan jabat tangan Almayer. Dan betapa Mem, ibunda yang dihormati meski dalam sasau menuntut haknya, riak wajah Dain berubah sungguh memberi hormat.

Harta benda yang diberikan Dain, dikatakan sendiri tidak cukup oleh Mem. Nampak seperti perempuan gila, tetapi menyerahkan Nina kepada Dain, tidak akan cukup dibayar dengan segala harta Dain seperti yang dikatakannya. Ia dirasionalkan oleh tegas pesan Mem kepada Nina, sebelum Mem meraung dan teresak sambil menghanyutkan sampan Nina menuju Dain.

Almayer tidak pulang. Setelah babak tearjerking antara dia dan Nina, kesakitan melepaskan visinya, dan dengan keras hati menyatakan dia akan melupakan Nina keesokan hari, membakar bangunan kolonialnya, dia tidak pulang. Terbaring. Kecanduan visinya sendiri, yang tidak akan dia lupa. Api pun tak dapat meruntuhkan kolonialisasi meski Almayer membakarnya dengan tangan sendiri. Dan memang, kolonialisasi tidak pernah pulang. Lihatlah di sekeliling kita pada hari ini. Kolonialisasi tidak pernah pulang.

Kita seharusnya boleh bersyukur dengan dialog mudah meski berkias dalam filem ini. Kita juga masih boleh menikmati budi bicara orang Melayu meski dipermudahkan begitu.

Sudah sebulan lebih saya tidak menuliskan apa-apa ulasan filem. Sebulan lebih buat saya mati kutu. Senang cerita, saya pemilih. Saya sudah memutuskan, hanya filem yang memberikan sesuatu sahaja yang layak ada sebagai entri. Tidak kira daripada genre apapun. Kalaupun jenaka, ia harus witty humour. Tak sempurna, tidak mengapa. Tak ada hal yang sempurna di dunia ini. Dan Hanyut, datang menamatkan kebingungan saya sepanjang waktu ini, meski dengan mata kasar, saya masih tidak sukakan patung mayatnya kerana nampak tidak nyata dan ejaan bahasa Melayunya yang silap sini-sana. 

Hanyut. Ia masih sebuah filem yang berjiwa besar, biarpun tak sempurna, biar apapun kata orang tentangnya. Saya mengagumi 30 orang penonton yang berada bersama-sama saya di dalam panggung, dan ada antara mereka menunggu sehingga end credit terpapar. 

Saya pasti, menonton ulang Hanyut, pasti akan memberikan sesuatu yang baru lagi daripadanya. Inilah filem. Cerdik. Bukan sampah.



-Sayidah Mu'izzah-

0 ulasan:

Catat Ulasan