Selasa, 15 November 2016

EDITOR VS. PENULIS: PELAJARAN DARIPADA FILEM GENIUS I


Saya tidak akan menuliskan ruangan ini melalui perspektif seperti apa filem harus dibicarakan. Tidak akan seperti biasanya. Jadi, ia tidak ada pada label filem di blog ini. Kerana menonton Genius tidak membuatkan saya punyai pengalaman dari perspektif itu tetapi cukup memberi kesan terhadap pengalaman sendiri, bekerja sebagai seorang penulis, penilai manuskrip di Legasi Oakheart dan Kuras Buku, sesekali membuat suntingan (kerja yang saya benci sebenarnya atas beberapa sebab), juga melihat kesengsaraan suami sendiri dan rakan-rakan editor apabila menghadapi segelintir penulis. Filem ini seperti suatu imbasan untuk dipersetujui berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Saya menuliskan ini, untuk sama-sama kita lihat sejauh mana sudah kita bertanggungjawab terhadap sesebuah buku. Dan ini antara bahagian yang asas:

1. DOUBLE SPACING. A JOKE BUT NOT A JOKE.

Pada awal filem ini, kita akan mendengar Max (Colin Firth) seperti berjenaka tentang 'double spacing'. Ia seperti jenaka tetapi ketahuilah bahawa ia adalah sindiran. 'Double spacing' atau langkau dua baris, itu format yang sangat harus dipatuhi oleh setiap penulis yang menghantar manuskrip ke mana-mana rumah penerbitan. Jangan buang masa editor untuk betulkan kesilapan besar anda ini. Ia menunjukkan kelemahan awal kalian.

Jika ada sebarang format lain mengikut rumah penerbitan (kebiasaannya memang ada), penulis harus ambil tahu dan selidiklah segala tuntutan rumah penerbitan tersebut terhadap sesebuah manuskrip. Sekarang, zaman canggih memungkin calon penulis mendapat maklumat dengan mudah. Sesetengah rumah penerbitan sedia mewara-warakan kriteria manuskrip yang dikehendaki di laman media sosial. Setiap rumah penerbitan memiliki gaya penerbitan berbeza. Anda tidak boleh pukul rata. Jangan malas baca poster, atau perkongsian yang telah mereka buat. Kalau baca poster pun malas, tak usah mimpi jadi penulis.

2. ASAS KERJASAMA EDITOR-PENULIS.

MAX PERKINS
I like to do some work with you. Books belong to you. My only job is to put good books
in the hand of readers.

Kalau difikir, manuskrip boleh dilepaskan begitu sahaja ke tangan editor, itu silap besar. Sesebuah buku memerlukan kerjasama antara penulis dan editor. Ia bukan hanya tentang bikin buku sahaja. Kerjasama ini adalah kerja menyantuni buku. Bagaimana? Tergantung pada calon penulis dan editor. Selama saya bekerja dalam industri perbukuan, bilangan penulis yang tahu menyantuni buku sangat sedikit. Tidak kurang juga bilangan editor.

Sepanjang kerja menyunting dilakukan, penulis dan editor harus bekerjasama. Kedua-duanya harus selalu berbincang dalam pekerjaan ini. Kedua-duanya tidak boleh bersikap lepas tangan terhadap manuskrip sepanjang penyuntingan dilakukan. Kalau begitu, apakah relevan pekerjaan seorang editor, jika penulis sendiri boleh menyunting karyanya? Ya. Soalan yang menjemukan sebenarnya. Tetapi akan dijawab juga pada sambungan entri ini.

3. BERSEDIA UNTUK MELEPASKAN.

THOMAS WOLFE
How much you figure we have to cut? My heart bleeds to see any of it go.

Masalah biasa. Tetapi tidak boleh dipandang remeh. Kebanyakan hal ini berlaku terhadap penulis baru (dan lama). Mereka rasa mereka telah memberikan sepenuh hati, perasaan dan kudrat terhadap manuskrip mereka dan sekarang ada orang mahu mencantasnya? 

Saya fikir setiap penulis, pada awal kedatangan mereka dalam dunia penulisan memiliki perasaan ini. Saya pernah melalui berbelas tahun yang lalu. Memang terasa berat. Tetapi, setiap calon penulis juga harus tahu, mereka harus sentiasa bersedia untuk melepaskan kata-kata yang mungkin akan mencacatkan tulisan mereka. Atau lebih daripada itu, ia menjadi hodoh kerana sikap tak sedia melepaskan. 

Fikir, nilai sendiri, dan bincanglah dengan editor sejauh mana kepentingan suatu kata dalam manuskrip. Jika ia tidak menggerakkan tulisan kalian, gugurkan dengan rendah hati. Selalu ingat, kerja penulisan adalah kerja sepanjang hayat. Kata-kata yang digugurkan itu mungkin akan berguna dalam penulisan yang lain. Melainkan kalian hanya menjadi penulis atas dasar 'trend', kita tidak perlu bimbang kerana kerjaya penulis sejenis ini akan mati pada bila-bila masa.

bersambung...



- Sayidah Mu'izzah -

0 ulasan:

Catat Ulasan