Rabu, 30 November 2016

HANYUT - KOLONIAL YANG TAK PERNAH PULANG





TAHUN : 2012/2016
PENGARAH: U-Wei Haji Saari
LAKON LAYAR: U-Wei Haji Saari
PARA PELAKON:  Diana Danielle, Sofea Jane, Peter O'Brien, Adi Putra, 
Bront Palarae, Khalid Salleh, Alex Komang
NEGARA: Malaysia


Sebuah peta muncul. Ia Malaya pada tahun 1830. Dan Hanyut bermula dengan tenaga yang kuat dan menggoncangkan. Mem (Sofea Jane) membawakan tenaga itu sekali gus meletuskan makna yang besar tentang filem ini. Ia bukan sekadar seorang ibu yang hilang akal atas sebab anaknya, Nina (Diana Danielle) diambil belayar ke Singapura untuk hidup sebagai orang Inggeris. Atau perempuan gila tak semena. Ya, pada awalnya kita menyangkanya begitu. Jangan fikirkan Sofea Jane yang dirias cantik. Ia tidak akan membawa maksud watak dan filem ini kalau difikirkan begitu.

Kemudian, sejajar kelahiran baru seorang bayi yang dibidankan Mem, dan entah anak siapa dalam kisah ini, tetapi dengan mata kasar kita tahu anak tempatan, dari lengkok sungai yang sama, Nina pulang. Dengan ini. kita sebenarnya diberitahu, ia bukan kepulangan yang biasa. Ia akan membawa kepada suatu 'kelahiran' yang baru. Kita akan melihatkan ini pada diri Nina. Dan kau harus boleh berkata "Ini generasi aku yang telah pulang." Lihat peralihan pakaian Nina, dari mula dia berpakaian lengkap gadis Inggeris, bersikap dingin melihat ayahnya, kemudian memeluk hangat ibunya, dan Mem menolak topi Inggeris Nina dengan jelik. Seterusnya, Nina berpakaian separuh Melayu (Kain batik) dan separuh Inggeris (Blouse Inggeris), dan akhirnya Nina, sewaktu ingin pergi bersama-sama Dain Maroola (Adi Putra), lengkap berpakaian tradisi Melayu berwarna putih. Inilah kelahiran baharu. Dia sudah benar pulang meski dengan satu lagi kepergian. Dia memilih Dain, seorang Melayu. Kerana kedua-duanya generasi baru untuk bergantung harap agar tradisi, budaya, dan jiwa Melayu kekal melalui penyatuan mereka. Ia bukan kisah cinta biasa atau kahwin lari yang klise. Ia membawa perjuangan bersama-samanya.

Nina yang cantik, menyunting rasa lelaki-lelaki yang memandangnya. Suatu yang amat memberi kesan tentang ini adalah, jenis-jenis lelaki itu. Pada awalnya, Rashid (Bront Palarae), seorang Arab, datang bersama-sama bapa saudaranya (Alex Komang), membawa pinangan. Dengar perbincangan meminang ini, ia tak lebih menunjukkan sifat golongan yang kononnya beragama tinggi tetapi kalah dengan hal ehwal serakah. Tasbih yang sentiasa di tangan tidak dapat meleraikan muslihat niaga dan iri hati. Orang-orang Inggeris, tak usah cakaplah. Dengan gentleman menarik kerusi untuk Nina, panahan matanya tak lebih juga daripada nafsu serakah. Dain Maroola, anak raja Melayu, dari sebuah kepulauan, datang atas urusan tanggungjawabnya untuk membanteras lanun juga cuba menghalang penjajah daripada bermaharajalela. Lihat, Dain datang dengan tanggungjawab. Saling jatuh cinta dengan Nina adalah takdir yang bukan sengaja. Ia juga merupakan tanggungjawab bukan hanya tentang cinta, tetapi tentang bangsanya. Dan kita boleh melihat pembahagian: Islam Arab, Islam Melayu dan tentunya, Bukan Islam. Dengar apa yang Mem katakan "Babi pun depa suruh aku makan. Tak kafir pun aku." Dan Islam itu di mana sebenarnya?

Almayer (Peter O'Brien) membina rumah (Folly) di tengah hutan. Untuk apa? Bukankah dia sangat ingin pulang ke tanah airnya, yang tak pernah dia jejak, kerana dia lahir di Singapura. dan hanya mendengar kisah negaranya melalui ibunya? Kembalikan pertanyaan itu kepada diri kita. Kenapa penjajah membina bangunan, membina rumah, membina landasan kereta api sedangkan pasti ada antara mereka yang sangat ingin pulang ke tanah air?

Kolonialisasi. Bangunan bercirikan seni bina Eropah di tengah-tengah hutan, malah tinggi, lebih tinggi daripada rumah rakyat asal. Ini suatu lambang kolonialisasi. Mereka tak melepaskan tapak kolonialisasi meskipun di tengah hutan.  Kalau tidak, masakan Cameron Highland, utopia musim Inggeris kita masih terpacak sampai hari ini? Ia kononnya dibuka oleh seorang lelaki Inggeris yang kemudiannya hilang di dalam hutan tanpa dapat dikesan. Dengar juga dialog Almayer kepada Nina tentang Dain, bahawasanya, meski Dain dilihat budiman, Almayer tidak ambil peduli tentang darah diraja Dain. Malah dengan Rajah Ibrahim juga, hanya urusniaga. Kolonialisasi tidak mengiktiraf martabat diraja Melayu walau sebudiman apapun kita. Apatah lagi, kalau kita tidak budiman.

Mem, bukan wanita biasa atau sekadar seorang ibu. Inilah ibunda kita tanah air yang sasau, hilang akal, atas paksaan budaya asing terhadapnya. Tidak cukup dengan itu, ibunda kita terpaksa melihat generasinya menanggung paksaan yang sama. Mem bukan perempuan gila harta yang menuntut hak materi. Mem menjerit " Aku ini isteri kau yang sah di mata agama dan undang-undang kau." Dia membebel lagi "Aku mahukan bahagian aku."

Undang-undang kita, adalah English Common Law yang diperturunkan menjadi amalan sehingga hari ini. Dan tentu sekali ada pindaan dan penambahan. Tetapi dasarnya masih di situ. Kes-kes rujukan kita masih rujukan undang-undang yang diperturunkan ini. Undang-undang agama kita, menjadi pinggiran. Sehingga hari ini, kita dapat melihat kesan, terdapat pertindanan antara undang-undang yang diperturunkan Inggeris dengan undang-undang syariah. Undang-undang Adat apatah lagi. Kalau kita mengkaji betapa kacaunya urusan perundangan kita suatu masa dahulu, sehingga melibatkan urusan perkahwinan, malah urusan kematian, kita akan menyedari hal ini. Tidakkah kita belajar apa-apa daripada insiden Natrah yang sangat terkenal itu? Tanah air kita sah di sisi agama dan undang-undang, tetapi di manakah bahagian hak kita?

Mem bukan hanya menuntut emas iaitu hasil bumi tanah air kita. Mem menuntut bahagiannya. Ibunda menuntut bahagiannya. Bukan hanya materi tetapi, lebih besar daripada itu, hak kuasa kita sendiri. Kerana itu juga, Almayer mendengarkan kisah tanah air melalui ibunya. Bukan bapanya. Seperti Nina yang mempunyai Mem, tanah ibundanya, tentu sekali Almayer memiliki tanah air sendiri.

Siapakah pula yang membantu Mem dalam menuntut haknya? Tentu sekali bukan orang asing, sementara orang sendiri yang hidup di punggungnya juga tidak mahu ambil kisah. Daripada suami sendiri, si Belanda Almayer, orang Arab, orang Inggeris, sampailah ke gadis penjual kuih yang katanya jauh datang ke tanah ibunda, masing-masing mementingkan diri sendiri. Orang Kaya Tinggi (Khalid Salleh) juga tidak peduli dan hanya tahu menjilat bontot Rajah Ibrahim yang tidurnya pun didodoi kotak muzik orang putih. Harapan Mem hanya dua manusia, generasinya, Nina dan Dain. Orang asing tidak akan mengingatkan kita tentang hak kita. Sebagaimana ada manusia yang tidak tidak senang dengan hak manusia lain, meskipun saudaranya sendiri.

Mem, panggilannya. Dan berapa kali tanah air kita ini berubah nama? Dipanggil 'keinggeris-inggerisan'?

Oh ya, beza juga kita lihat, bagaimana Nina, si gadis kacuk, mendayung sampan pulang ke rumah Mem, Dain, hanya berlari menempuh hutan. Beza, antara yang punya darah 'hanyut' datang ke tanah ibunda, dengan orang yang memang inilah tanah airnya. Berbeza sungguh. Alangkan salam tangan Dain berlainan benar dengan jabat tangan Almayer. Dan betapa Mem, ibunda yang dihormati meski dalam sasau menuntut haknya, riak wajah Dain berubah sungguh memberi hormat.

Harta benda yang diberikan Dain, dikatakan sendiri tidak cukup oleh Mem. Nampak seperti perempuan gila, tetapi menyerahkan Nina kepada Dain, tidak akan cukup dibayar dengan segala harta Dain seperti yang dikatakannya. Ia dirasionalkan oleh tegas pesan Mem kepada Nina, sebelum Mem meraung dan teresak sambil menghanyutkan sampan Nina menuju Dain.

Almayer tidak pulang. Setelah babak tearjerking antara dia dan Nina, kesakitan melepaskan visinya, dan dengan keras hati menyatakan dia akan melupakan Nina keesokan hari, membakar bangunan kolonialnya, dia tidak pulang. Terbaring. Kecanduan visinya sendiri, yang tidak akan dia lupa. Api pun tak dapat meruntuhkan kolonialisasi meski Almayer membakarnya dengan tangan sendiri. Dan memang, kolonialisasi tidak pernah pulang. Lihatlah di sekeliling kita pada hari ini. Kolonialisasi tidak pernah pulang.

Kita seharusnya boleh bersyukur dengan dialog mudah meski berkias dalam filem ini. Kita juga masih boleh menikmati budi bicara orang Melayu meski dipermudahkan begitu.

Sudah sebulan lebih saya tidak menuliskan apa-apa ulasan filem. Sebulan lebih buat saya mati kutu. Senang cerita, saya pemilih. Saya sudah memutuskan, hanya filem yang memberikan sesuatu sahaja yang layak ada sebagai entri. Tidak kira daripada genre apapun. Kalaupun jenaka, ia harus witty humour. Tak sempurna, tidak mengapa. Tak ada hal yang sempurna di dunia ini. Dan Hanyut, datang menamatkan kebingungan saya sepanjang waktu ini, meski dengan mata kasar, saya masih tidak sukakan patung mayatnya kerana nampak tidak nyata dan ejaan bahasa Melayunya yang silap sini-sana. 

Hanyut. Ia masih sebuah filem yang berjiwa besar, biarpun tak sempurna, biar apapun kata orang tentangnya. Saya mengagumi 30 orang penonton yang berada bersama-sama saya di dalam panggung, dan ada antara mereka menunggu sehingga end credit terpapar. 

Saya pasti, menonton ulang Hanyut, pasti akan memberikan sesuatu yang baru lagi daripadanya. Inilah filem. Cerdik. Bukan sampah.



-Sayidah Mu'izzah-

Jumaat, 18 November 2016

EDITOR BUKAN 'GHOSTWRITER' : PELAJARAN DARIPADA FILEM GENIUS II





Kebanyakan calon penulis, atau penulis, yang tidak pernah faham kerja menyunting, atau tak mahu faham tentang pekerjaan ini, mereka fikir kelegaan mereka adalah sebaik sahaja manuskrip diluluskan. A big NO. Inilah masanya kalian mula bekerja dengan lebih dahsyat. Editor bukan 'ghostwriter' sama ada dibayar secara persendirian, atau dibayar oleh syarikat tempat dia bekerja. Saya cuba ringkaskan dalam tulisan ini.

1. TANGGUNGJAWAB PENULIS

Apa? Tak suka dengar tentang tanggungjawab? Ini bagaimana Thomas Wolfe (Jude Law) dalam filem Genius menghasilkan buku yang bukan hanya mendapat sambutan pembaca tetapi punya kualiti.

MAX PERKINS
What was it like the first time you fell in love, Tom?
Was it cornstalk yellow and pompous chesterfields?

THOMAS WOLFE
It was a lightning bolt.

MAX PERKINS
And that's what it should be. A lightning bolt. Save all the thunder.

THOMAS WOLFE
(Berfikir sejenak) I got you. I got you. Cut that. Cut that. Cut.

Tanggungjawab menyunting, yang pertama jatuh pada penulis. Bukan editor. Tugas editor yang pertama, dalam proses penerbitan adalah pembaca alpha, yang akan berbincang dan bakal bertekak dengan penulis bagi mencantikkan kandungan sesebuah manuskrip. Penulis lebih tahu perasaannya terhadap watak dan kisahnya. Dialah yang meletakkan emosi, dan memahami tragedinya. Dialah yang membina kritikan dan sindiran dalam penulisan sendiri. Dia lebih tahu dari mana bakatnya dalam menumpahkan kata-kata. Dia sepatutnya lebih dahulu memeriksa fakta, tarikh, nama, alamat dan bermacam lagi dalam manuskripnya. Dan kalau dia dan editor jatuh cinta pada watak dalam manuskrip, kedua-duanya tidak akan bercinta dengan cara yang sama. Jadi, penulis harus menyuntingnya sendiri terlebih dahulu. Dia tidak harus menjadi tidak bertanggungjawab terhadap manuskrip sendiri. Dia, kalau tidak pandai atau tidak cukup bakat menulis, tidak harus menjadikan editor sebagai mangsa untuk menjadi 'ghostwriter'.

2. TANGGUNGJAWAB EDITOR

THOMAS WOLFE
Blue the...

MAX PERKINS
Cut the marine life.

THOMAS WOLFE
A blue beyond blue like the ocean.

MAX PERKINS
Cliche.

THOMAS WOLFE
A blue beyond blue...

MAX PERKINS
Like nothing but blue.

THOMAS WOLFE
A blue he could swim into forever and never miss. Hmmm... Cut this. Her eyes were blue.

MAX PERKINS 
Better.

Berbincang dengan penulis. Bedah karyanya. Beri pendapat. Bantu dalam pemilihan kata yang lebih tepat. Dan... bertekak dengan penulis. 

THOMAS WOLFE
Every image and the sound of every word matters.

MAX PERKINS
No. It doesn't. Nonsense.

THOMAS WOLFE
They are vital!

MAX PERKINS
You're losing the plot!

THOMAS WOLFE
Vital!

Perbincangan sebegini sangat penting. Bukan tugas editor untuk menambah perasaan, emosi, keterujaan dalam manuskrip seseorang penulis. Editor tidak harus menjadi 'ghostwriter'. Ini antara salah faham terutamanya dalam kalangan penulis baru. Mereka fikir editor yang harus buat kerja ini. Mereka fikir, editorlah yang bulat-bulat bekerja mencantikkan ayat. Editor hanya boleh memercikkan sesuatu dalam diri penulis, jika dia merasakan sesuatu yang dimaksudkan tidak cukup sampai dan boleh dibuat dengan lebih baik.

Ini sebabnya kenapa saya benci kerja menyunting; apabila terpaksa bekerja dengan orang yang kononnya penulis begini. Sebab kenapa saya memilih penulis juga sewaktu memilih karya. Bukan kerana ramai pengikut, popular di media sosial, atau karyanya bagus tetapi sikap lepas tangannya, Tuhan sahaja yang tahu. Kalau karya teruk, perangai teruk, lagi haru-biru. Saya tidak mahu rasa saya sedang buang masa dalam proses menyunting sesebuah karya seperti yang pernah saya rasakan sebelum ini. Dan, penulis juga harus ingat, manuskrip bukan satu dua sahaja yang masuk ke kantung e-mel.

3. RELEVAN EDITOR-PENULIS

Penulis, jika menyunting karyanya bersendirian, mereka akan ada keghairahan tambah-gugur. Ini penyakit biasa dalam diri penulis. Ia tidak hanya berlaku pada Wolfe.

Editor pula tidak boleh fikir bahawa dia ada kuasa veto untuk mengubah sesuka hati, apa-apa sahaja yang terdapat dalam sesebuah manuskrip. Perubahan dari segi ayat, struktur cerita, panjang muka surat, plot, atau apa-apa sahaja teknikal bercerita, haruslah dibincang bersama-sama penulis. Terdapat juga ejaan yang mungkin perlu editor rujuk dengan penulis. Kebiasaannya editor yang pandai, mereka akan punya 'sense' untuk hal-hal sebegini. 

Apapun, selagi penulis tidak belajar menyunting karyanya sendiri bersama-sama editor yang bertanggungjawab, selamanyalah seorang penulis tidak belajar apa-apa tentang hal yang signifikan dalam karyanya. Dalam hal ini juga, editor akan turut belajar sesuatu daripada pengalaman menyuntingnya dengan seseorang penulis.  

Satu hal lagi, editor di sesebuah syarikat penerbitan sepatutnya menjadi orang yang memahami kehendak penerbitan di syarikat tersebut. Jadi, jika kalian menghantar manuskrip ke sesebuah rumah penerbitan dan manuskrip tersebut diluluskan, bekerja rapatlah dengan editor yang dipertanggungjawabkan.

Dalam hal Wolfe dan Perkins, mereka bernasib baik kerana kedua-duanya bagus dalam pekerjaan masing-masing. Perkins bukan sahaja editor bagi Wolfe, malah seorang mentor (malah diriwayatkan dalam kisah ini seperti bapa dan anak). Tak ramai editor seperti Perkins. Dan tak ramai penulis yang rajin seperti Wolfe.

4. PEMBENTUKAN SEMULA KARYA

THOMAS WOLFE
Does he make you take a lot out?

F. SCOTT FITZGERALD
He doesn't make me do anything.

THOMAS WOLFE
Does he 'advise' you to take a lot out?

F. SCOTT FITZGERALD
We're different writers, Tom.

THOMAS WOLFE
How was that?

F. SCOTT FITZGERALD
I don't write such a long book.

-----------------

THOMAS WOLFE
He deformed my work.

F. SCOTT FITZGERALD
He did no such thing.

Apakah dengan sinergi penulis dan editor, sesebuah karya mengalami suatu pembentukan semula? Atau terus kehilangan bentuk asalnya? Apakah dengan suntingan penulis sendiri pun, editor sebenarnya masih lagi seorang 'ghostwriter' bagi sesebuah penulisan?

Ini pegangan saya. Tidak. Selagi bukan editor yang terpaksa menuliskan kembali ayat dalam manuskrip tersebut, yang kononnya mencantikkan ayat. Seperti menyanyi di atas pentas dalam sebuah pertandingan, penyanyi masih dikira menyanyi selagi dia tidak membisu dan juri pula yang terpaksa sambung nyanyiannya. Meski dia tersalah lirik, dia masih menyanyikannya sendiri, maka itulah nyanyian. Hal ini berbalik juga kepada soal kuasa veto seseorang editor.

Mungkin soalan tentang bentuk itu juga harus dibalas dengan soalan. Apakah karya asal memang terlalu bagus sehingga tidak boleh dicantas? 

Apa-apapun, penulis tidak harus memberikan manuskrip yang bersifat 'bagai digilis trailer', jangan sampai terbit soalan daripada editor 'Siapa penulis manuskrip ni sebenarnya? Aku atau dia?". Zaman sekarang, teknologi untuk penulis sudah maju. Setiap penulis kebanyakannya punya komputer. Jadi, menulislah selayaknya kemudahan yang kalian ada.

Manuskrip seperti sebatang lorong gelap. Di kiri dan kanan lorong itu, editor dan penulis saling menerangkan. Ah, retorik dan utopia, bukan?

            bersambung...

- Sayidah Mu'izzah -

Selasa, 15 November 2016

EDITOR VS. PENULIS: PELAJARAN DARIPADA FILEM GENIUS I


Saya tidak akan menuliskan ruangan ini melalui perspektif seperti apa filem harus dibicarakan. Tidak akan seperti biasanya. Jadi, ia tidak ada pada label filem di blog ini. Kerana menonton Genius tidak membuatkan saya punyai pengalaman dari perspektif itu tetapi cukup memberi kesan terhadap pengalaman sendiri, bekerja sebagai seorang penulis, penilai manuskrip di Legasi Oakheart dan Kuras Buku, sesekali membuat suntingan (kerja yang saya benci sebenarnya atas beberapa sebab), juga melihat kesengsaraan suami sendiri dan rakan-rakan editor apabila menghadapi segelintir penulis. Filem ini seperti suatu imbasan untuk dipersetujui berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Saya menuliskan ini, untuk sama-sama kita lihat sejauh mana sudah kita bertanggungjawab terhadap sesebuah buku. Dan ini antara bahagian yang asas:

1. DOUBLE SPACING. A JOKE BUT NOT A JOKE.

Pada awal filem ini, kita akan mendengar Max (Colin Firth) seperti berjenaka tentang 'double spacing'. Ia seperti jenaka tetapi ketahuilah bahawa ia adalah sindiran. 'Double spacing' atau langkau dua baris, itu format yang sangat harus dipatuhi oleh setiap penulis yang menghantar manuskrip ke mana-mana rumah penerbitan. Jangan buang masa editor untuk betulkan kesilapan besar anda ini. Ia menunjukkan kelemahan awal kalian.

Jika ada sebarang format lain mengikut rumah penerbitan (kebiasaannya memang ada), penulis harus ambil tahu dan selidiklah segala tuntutan rumah penerbitan tersebut terhadap sesebuah manuskrip. Sekarang, zaman canggih memungkin calon penulis mendapat maklumat dengan mudah. Sesetengah rumah penerbitan sedia mewara-warakan kriteria manuskrip yang dikehendaki di laman media sosial. Setiap rumah penerbitan memiliki gaya penerbitan berbeza. Anda tidak boleh pukul rata. Jangan malas baca poster, atau perkongsian yang telah mereka buat. Kalau baca poster pun malas, tak usah mimpi jadi penulis.

2. ASAS KERJASAMA EDITOR-PENULIS.

MAX PERKINS
I like to do some work with you. Books belong to you. My only job is to put good books
in the hand of readers.

Kalau difikir, manuskrip boleh dilepaskan begitu sahaja ke tangan editor, itu silap besar. Sesebuah buku memerlukan kerjasama antara penulis dan editor. Ia bukan hanya tentang bikin buku sahaja. Kerjasama ini adalah kerja menyantuni buku. Bagaimana? Tergantung pada calon penulis dan editor. Selama saya bekerja dalam industri perbukuan, bilangan penulis yang tahu menyantuni buku sangat sedikit. Tidak kurang juga bilangan editor.

Sepanjang kerja menyunting dilakukan, penulis dan editor harus bekerjasama. Kedua-duanya harus selalu berbincang dalam pekerjaan ini. Kedua-duanya tidak boleh bersikap lepas tangan terhadap manuskrip sepanjang penyuntingan dilakukan. Kalau begitu, apakah relevan pekerjaan seorang editor, jika penulis sendiri boleh menyunting karyanya? Ya. Soalan yang menjemukan sebenarnya. Tetapi akan dijawab juga pada sambungan entri ini.

3. BERSEDIA UNTUK MELEPASKAN.

THOMAS WOLFE
How much you figure we have to cut? My heart bleeds to see any of it go.

Masalah biasa. Tetapi tidak boleh dipandang remeh. Kebanyakan hal ini berlaku terhadap penulis baru (dan lama). Mereka rasa mereka telah memberikan sepenuh hati, perasaan dan kudrat terhadap manuskrip mereka dan sekarang ada orang mahu mencantasnya? 

Saya fikir setiap penulis, pada awal kedatangan mereka dalam dunia penulisan memiliki perasaan ini. Saya pernah melalui berbelas tahun yang lalu. Memang terasa berat. Tetapi, setiap calon penulis juga harus tahu, mereka harus sentiasa bersedia untuk melepaskan kata-kata yang mungkin akan mencacatkan tulisan mereka. Atau lebih daripada itu, ia menjadi hodoh kerana sikap tak sedia melepaskan. 

Fikir, nilai sendiri, dan bincanglah dengan editor sejauh mana kepentingan suatu kata dalam manuskrip. Jika ia tidak menggerakkan tulisan kalian, gugurkan dengan rendah hati. Selalu ingat, kerja penulisan adalah kerja sepanjang hayat. Kata-kata yang digugurkan itu mungkin akan berguna dalam penulisan yang lain. Melainkan kalian hanya menjadi penulis atas dasar 'trend', kita tidak perlu bimbang kerana kerjaya penulis sejenis ini akan mati pada bila-bila masa.

bersambung...



- Sayidah Mu'izzah -