Isnin, 10 Oktober 2016

ATHIRAH: FILEM BERTENAGA ARUS


TAHUN : 2016
PENGARAH: Riri Riza
LAKON LAYAR: Riri Riza & Salman Aristo
PARA PELAKON:  Cut Mini, Christoffer Nelwan, Arman Dewarti, Indah Permatasari, 
Nino Prabowo, Tika Bravani, Jajang C Noer
NEGARA: Indonesia

Filem ini dimulai dengan sedutan kenduri-kendara hitam putih. Kita dapat melihat gotong-royong orang kampung, masakan dan tarian juga keindahan majlis tersebut. Apatah lagi ia sebuah majlis yang unik kerana penuh budaya dan adat tradisi. Melalui semua ini, penonton dengan mudah dapat memahami bahawa ia adalah majlis perkahwinan. Suara naratif adalah suara seorang lelaki dewasa yang memperkenalkan diri sebagai Ucu atau Jusuf Kalla* dan menyatakan cerita ini tentang ibunya, Athirah (Cut Mini). Jadi, inilah premisnya. Dan diceritakan dari POV seorang anak.

Selepas itu, penonton dibawa ke awal tahun 50-an. Athirah dan suaminya, Puang Haji Kalla (Arman Dewarti) juga anak-anak bertiga, berpindah ke Makassar, memulakan perniagaan. Ia didengarkan dengan bahagia melalui lagu-lagu keroncong. Perniagaan mereka juga semakin maju. Kita tahu mereka bahagia hanya melalui bingkai dan muzik. Kemudian masuklah sosok seorang perempuan yang hanya diambil sudut gambarannya dari arah belakang. Ia memulakan tarian dalam sebuah majlis perkahwinan yang lain. Muzik jadi semakin laju seiring potongan-potongan bingkai yang dilihat rawak meski saling terjalin. Kita tahu sesuatu yang tegang dan kacau-bilau sedang berlaku. Kita tidak akan dapat melihat wajah wanita itu sehingga akhir filem. Seperti sebaiknya untuk kita langsung tidak ambil tahu tentang wanita kedua dalam hidup bapanya selepas ibunya yang tercinta. 

Sosok ayah Ucu digambarkan sebagai lelaki yang taat pada agama. Solatnya benar-benar dijaga. Bahkan dia turut mengambil perhatian akan solat ahli keluarganya juga para pekerjanya. Malah solat jemaah menjadi rutin. Saya melihat, kewujudan adegan ini bukanlah mahu memperlekehkan soal orang beriman. Tetapi, ia lebih menegaskan bahawa seorang lelaki yang sangat menjaga agamanya pun akan jadi lemah pada hal-hal meletakkan keadilan dalam hal poligami. Sebab orang sentiasa ambil mudah bahawa poligami adalah sunnah Nabi tetapi tidak difikir pula bahawa dirinya bukan suci seperti nabi. Bahkan Nabi sendiri tidak dapat mengelakkan soal cemburu para isterinya. Apatah lagi lelaki biasa. Berlaku adil itu tidak pernah mudah meski Athirah, sebagai seorang isteri sudah cuba memudahkan.

Terang-terang, hal keadilan ini dipertontonkan sewaktu Athirah melahirkan anak pada tengah malam, tanpa kenderaan dengan anak-anak yang masih remaja. Suaminya tidak ada di rumah. Sehingga paginya Athirah selamat melahirkan pun, suaminya tidak juga muncul. Dari pandangan mata Ucu (Christoffer Nelwan), di bangku sebelah, seorang lelaki dewasa dengan beg pakaian sedang menunggu kelahiran. Dan dia, seorang remaja lelaki yang menunggu ibunya melahirkan. Tetapi inilah yang menjadikan Ucu dewasa lebih awal. Dia mula menyatakan " Mulai hari ini, saya akan mengambil tugas ayah." Bingkai di kerusi hospital dan dialog ini, meski berlainan babak, saling melengkapi dan menjadi sindiran bagaimana seorang lelaki dewasa boleh kalah dengan rasa tanggungjawab anak remaja.

Filem ini kerap kali memberikan penonton bingkai-bingkai yang cantik dengan lapis makna yang kuat. Sebagai contoh, pada awal permulaan kesengsaraan jiwa Athirah, dia pulang ke kampung. Penonton diberikan bingkai sebuah sampan yang terdampar kurang lebih seperti dalam lakaran saya ini (yang memudahkan saya memerikannya dan tentu sahaja bingkai yang sebenar lebih cantik) :


Ia menggambarkan diri Athirah terdampar seperti sampan meskipun ada bahagian sungai yang punya arus. Tetapi Athirah terpaku di tebing sungai itu, tidak tahu untuk berbuat apa. Terdapat beberapa bingkai lagi yang memaparkan keadaan diri Athirah, seperti air yang bertakung dalam petak-petak sawah, punya gelombang apabila ditiup angin meski pemandangannya memberi rasa nyaman. Athirah sudah mula sedikit bertolak-ansur dengan kenyataan, tetapi masih ia terkurung dalam 'petak-petaknya' memendam pergolakan. Dan akhirnya, kita akan dapat melihat bingkai sungai-sungai yang mengalir, apabila Athirah mula menguatkan dirinya, menjadi seorang peniaga kain tenun. Dia mula mengumpul hartanya sendiri. Dikuatkan oleh kata-kata ibunya " Kita penenun, tidak pernah mengaku kalah." - meskipun pada waktu rusuh dan sukar mendapatkan ulat sutera. Ia dialog yang kuat untuk melambangkan diri seorang perempuan. Begitu, Athirah persis sungai yang mengalir. Daripada menjadi sampan, dia lebih kuat menjadi arus.

Antara bingkai yang kuat juga ialah hal perhubungan suami isteri. Pada awal waktu poligami, kita tahu, Puang Haji Kalla sudah nekad punya perempuan lain dengan hanya dia memusingkan tubuhnya di atas katil, membelakangi Athirah. Itu nekadnya. Minyak rambut dan pakaian kemas cuma bau-bauan hati yang mulai terbahagi. Kemudian, pada adegan lainnya, Puang Haji Kalla diperlihatkan masih memiliki nafsu terhadap Athirah. Cukup dengan hanya bingkai Athirah menindihkan pinggan suaminya ke atas pinggannya seusai mereka makan. Tetapi adegan ini diteruskan dengan bingkai mereka berdua masuk ke kamar tidur dan pintunya ditutup. Ini adalah klise dan sedikit mencacatkan bagi saya. Pinggan yang bertindih itu sudah cukup cantik untuk bahasa filem ini. Saya fikir, ia boleh dibikin lebih baik. Digugurkan dan dipadatkan dengan adegan lain yang lebih membantu.

Terdapat dialog 'pantang' dalam sesebuah penulisan cerita yakni adegan memberi salam dan menjawab salam. Tetapi ia berlaku berkali-kali dalam filem ini. Saya fikir dialog begitu bukan sesuka hati diletakkan. Adegan ini cuba untuk menggambarkan hubungan hambar antara Athirah dan Haji Kalla. Ia hambar seperti ucap-ucap salam dalam sesebuah karya yang hanya melewahkan waktu dan kisah. 

Perhubungan tegang antara anak dan ayah juga dibingkaikan dengan cantik sekali. Ucu dan Haji Kalla berada di dua ruang yang berbeza di dalam rumah mereka. Di antara ruang tersebut ialah daun pintu yang terbuka luas. Raut wajah Ucu mempamerkan marah dan keliru terhadap ayahnya. Haji Kalla pula sibuk dengan bayinya yang baru lahir dan tidak menyedari pandangan Ucu. Bingkai ini memperlihatkan seorang ayah, meski menyayangi anak, kadang-kadang tidak prihatin juga terhadap urusan jiwa anaknya. Juga, seorang anak, yang sedang marah kepada ayahnya, kadang-kadang tidak pula memahami kasih-sayang orang tuanya. Dan untuk hal-hal orang dewasa, anak-anak tidak faham sebab-musabab sesuatu tindakan, sebagai contoh; kenapa harus menduakan ibunya? Kenapa ibunya harus hamil lagi setelah ayahnya memperlakukan ibunya sebegitu? Inilah keadaan antara faham dan keliru, sedar dan tidak antara ayah dan anak. Ia rumit, meski pintu di antara ruang masing-masing luas sekali bukaannya kerana tetap, tidak ada pintu yang tak punya dinding.

Di Makassar, kain tenun dijadikan mas kahwin. Sebelumnya, kain tenun Athirah yang dihadiahkan oleh Haji Kalla punya bahagian yang koyak. Athirah mencuci kain itu dan menjahit bahagian tersebut. Ia cukup memperlihatkan bahawa Athirah sangat ingin menjaga rumahtangganya. Ada yang mahu membeli kain tenunnya tetapi Athirah menolak.

Athirah, sesudah menjadi sungai, arusnya tidak selalu juga tenang. Di suatu majlis perkahwinan, setelah dia meminta Haji Kalla untuk menemaninya tetapi ditolak, dia terlihat juga Haji Kalla dengan madunya di majlis yang sama.  Dia sudah cukup menjaga nama baik suami dan keluarga, apabila orang bertanya kenapa dia ditemani Ucu. Dikatakan suaminya berniaga di luar kota. Tetapi suaminya itu menjual maruahnya dalam majlis tersebut.

Setelah dia nyata menyaksikan Haji Kalla lebih mementingkan madunya, Athirah mencampakkan kain tenun mas kahwinnya ke lantai dan menangis. Ini biasa. Cukup biasa. Yang tidak biasa adalah Athirah 'menjual' suaminya dengan menghantar kain itu ke rumah penenun di kampungnya, untuk ditenun dengan corak yang sama dalam kuantiti yang banyak. Dia menjual kain-kain itu, dan membeli lebih banyak emas. Masih, Athirah menjaga wibawanya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Ia hanya memuaskan dendam dalam hatinya dan tetaplah ia menjadi sungai, sama ada tenang ataupun tidak. Dia mengaruskan semuanya dengan begitu sahaja. Dia memerdekakan dirinya.

Dan pada suatu saat, Athirah menang juga di hadapan suaminya meski di belakang lelaki itu dia sudah awal lagi merdeka. Haji Kalla rugi besar dan perniagaannya harus ditutup. Athirah memberikan semua emas simpanannya kepada Haji Kalla kecuali harta pusaka ibunya, Mak Kerah (Jajang C Noer). Terjual seluruh maruah seorang lelaki ketika dia terpaksa mengharapkan seluruh hidupnya terhadap seorang perempuan yang lebih kuat menghadapi kehidupan, setelah apa yang dia lakukan. Meskipun pada saya sendiri sebagai seorang perempuan, bagaimana boleh dia bertahan dengan lelaki seperti itu? Filem ini tidak akan mengajar perempuan untuk menangis dan menjadi lemah. Tidak ada rayuan sedikit pun. Yang harus dilakukan adalah mencari diri sendiri. Kerana diri sendiri yang sebenar ada pada bahagian yang punya kekuatan.

Athirah adalah Athirah. Dia memilih kekuatannya sendiri. Seperti filem ini, yang memilih kekuatannya sendiri di antara dua narasi meski tak sempurna. Ia mengalir seperti sungai, tampak tenang tetapi perlihatkanlah kepada diri bahawa pergolakan dalam jiwa Athirah seperti tenaga yang berolak di dasar sungai. Seperti kita tidak dapat menyatakan dengan tepat seperti apakah olakannya hanya dengan melihat arus. Kita harus benar-benar membacanya.

Saya menghormati filem ini dan menyarankan penonton untuk menikmatinya. Kita sama-sama cuba melihat kekuatannya berbanding kekurangan yang tidaklah banyak sebenarnya. Cuma sebagai orang yang mengulas, saya tidak boleh sampai taksub sehingga menidakkan apa yang saya lihat, fikir dan rasa dengan jujur.
********

Beberapa hal lain yang saya tidak pasti, kenapa filem ini terlalu singkat sekitar 60 minit lebih. Detakannya tidak terlalu laju tetapi ia habis terlalu cepat. Saya dan Hafiz Latiff mengira waktu masuk panggung dari pukul 7.30 malam, iklan sehingga 7.50 malam, dan keluar panggung lebih kurang dalam pukul 9.15 malam. (Kami musafir, dan Maghrib di Jakarta sekitar pukul 5 lebih - harus diterangkan pada zaman media sosial yang penuh fitnah akhir zaman ini. Haha). Jadi, mungkin sekitar 80 minit ia berlangsung. 

Saya mengagumi filem ini sebagai sebuah filem tetapi tidak mendapat kepuasan menonton daripadanya. Mungkin kerana durasinya yang singkat. Saya tidak meletakkan jangkauan yang tinggi atau rendah. Tetapi filem ini memiliki sesuatu yang layak dikatakan sebagai sebuah filem. Ia penuh strategi bingkai dan komposisi. Kerana itu ia tak nak nampak seperti punya titik turun naik walaupun nyatanya memang ada. Kerana filem ini bertenaga arus, sama seperti tokohnya, perlu dibaca dan tidak boleh ditonton semata-mata.

Termasuk saya dan suami, yang menonton filem ini cuma 7 orang (seorang lelaki yang duduk di kerusi hujung, tiba-tiba berpindah ke belakang kami kerana 4 orang penonton wanita yang asyik tertawa dan mengajuk-ajuk bahasa Melayu Makassar yang ditutur oleh Mak Kerah). Apapun, saya tidak pasti kalau di pawagam lain, jumlah penontonnya mungkin lebih ramai. 

*Jusuf Kalla ialah wakil presiden Indonesia yang ke-10 dan ke-12. Sekarang beliau berkhidmat dengan Presiden Indonesia ke-7, Joko Widodo. 

Simpan terus apa yang kamu anggap penting untuk hidupmu. - Mak Kerah, Athirah.

- Sayidah Mu'izzah -

0 ulasan:

Catat Ulasan