Khamis, 15 September 2016

PEKAK II : BACAAN DESIBEL MASYARAKAT


PEKAK merupakan filem yang paling banyak diulas orang sekarang. Paling tepat, diulas oleh masyarakat filem ini sendiri. Untuk sesebuah filem diperkatakan oleh hampir setiap lapisan masyarakatnya, dengan serius, dengan hangat, dengan tenang, juga huru-hara, ia suatu keadaan yang jarang-jarang berlaku. Saya menonton filem ini ketika Tayangan Media di Pitching Centre pada 10 Ogos 2016, dan sudah mengagak bahawa ia akan diperkatakan orang. Setelah 1 September, ia tidak hanya setakat diperkatakan. 

Jadi, filem Pekak, sudah berjaya. Ia benar-benar sudah masuk ke dalam masyarakatnya sama ada kepada golongan yang menerima, menolak, membahaskannya secara emosi, ilmiah, agama, sebagai penonton, penghukum, atau pengkritik, dengan jujur, mengampu, dengan wajah takwa yang benar mahupun hanya sekadar topengan.

Saya andaikan OKU atau tidak, sama rata sahaja dalam hal ini. Pada saya yang membezakan manusia adalah kebaikan, kejahatan dan kekuatan dalam dirinya. Bukan OKU atau tidak. Jadi, kekuatan dalaman sahaja yang membuatkan kalian sedar bahawa manusia secara fizikalnya tak ada beza. Bahawa ketidaksempurnaan ada pada setiap manusia. Pekak ada pada semua manusia. Seperti bisu, ada pada semua manusia. Sama juga dengan buta.

Jika mahu bercakap tentang bahasa, kita tidak boleh mengehadkan maknanya kerana inilah perkembangan bahasa. Bahasa perlu berkembang. Jika tidak kita akan kemiskinan kosa kata. Kemiskinan kosa kata menandakan kemiskinan ilmu melalui sesuatu bahasa. Kita perlu bimbang dan berdoa agar hal ini tidak berlaku. Dan untuk hal begini, dengan penuh kewarasan, seharusnya tidak ada orang yang perlu terasa.

Berbalik kepada filem Pekak. Tiba-tiba masyarakat memperkatakan filem mereka. Tidak hanya menyatakan "Okeylah, filem tu.", "Teruk gila!", "Best!", "Sinematografinya cantik." atau perkara yang biasa-biasa kita dengar. Ia lebih daripada itu.

Ini suatu hal yang bagus. Sebab guru penulisan saya, pernah berkata kepada saya "Buat apa bikin karya yang tidak akan diperkatakan orang?" Dan, tentu sekalilah, orang-orang ini bukan hanya merangkumi kawan-kawan, para peminat atau musuh. Tetapi orang-orang ini adalah masyarakat secara majmuk dengan respon yang rencam. Saya fikir, kalau hanya adegan rogol sahaja yang ada, mungkin masyarakatnya tidak ambil peduli. Sebab banyak juga drama Malaysia yang ada adegan ini. Saya baru sahaja menyaksikannya dalam siri drama Melayu di televisyen, dua hari lepas. Tidak ada klasifikasi penonton. Kanak-kanak bebas menontonnya juga. Tetapi tidak ada pula tindak balas daripada masyarakatnya. Jadi, Pekak memang filem yang sesuatu. 

Ya, Pekak sudah berjaya masuk ke dalam masyarakatnya malah mendapat tindak balas masyarakatnya. Sedikit sebanyak, Pekak mula membuka mata masyarakat bahawa filem bukan hanya untuk ditonton tetapi juga 'dibaca'. Kita boleh melihat keadaan ini di media sosial, paling utama. Saya kira, Pekak tidak merendah-rendahkan kemampuan berfikir para penontonnya. Pekak merasakan bahawa penontonnya bijak 'membaca' dan ia mula mengevolusi para penonton, kepada beberapa golongan; yang sedang belajar membaca, yang belum pandai membaca, yang baru mahu membaca, yang tidak pandai membaca tetapi terpaksa juga 'bersekolah' untuk membaca sementelah tindak balas yang sungguh huru-hara ini. Tidak kurang juga 'murid-murid' yang tidak mahu belajar dan hanya tahu lempar kerusi meja ke papan hitam (atau papan putih).

Walau bagaimanapun, saya masih melihat ini sebagai suatu yang baik setelah banyak filem dan drama yang menganggap dan melayan masyarakatnya sebagai masyarakat yang bodoh. Saya percaya tak ada orang yang mahu dilihat atau dianggap sebagai bodoh.

Saya pernah menuliskan ulasan Pekak sebelum ini. Ulasan tersebut boleh dibaca di sini: Pekak: Bacaan Desibel Filem. Kali ini, bacaan desibel masyarakat. This film really creates the sound pressure among its society. We just can't calculate the decibel. Tapi tetaplah ia merupakan suatu tekanan bunyi dalam kalangan masyarakatnya. Sebab setiap hari, orang masih bertindak balas walaupun mungkin ada yang tak terlalu faham dan hanya sekadar mencukupkan KPI media sosial, semacam 'jump on the bandwagon' , masih ia adalah tindak balas.

Saya menuliskan ini kerana saya mahu ingat bahawa pada September 2016, terdapat sebuah filem yang berjudul Pekak, telah berjaya membuatkan sebuah masyarakat bertindak balas dengan rencam, terhadap filemnya sendiri.


Sayidah Mu'izzah

2 ulasan:

  1. Suka. Tenang reviewnya. Hehe

    BalasPadam
  2. Saya belum menonton pun sehingga hari ini (menonton filem bukanlah passion saya). Cuma saya baca post yang viral tentang filem Pekak dan pembacaan saya yang pertama adalah tentang negatifnya filem tersebut. Saya biarkan, saya cari pula post lain. Adalah terjumpa post positif, tetapi tidaklah pula dinafikan sudut negatifnya. Jadi, saya fikir Pekak ini bukan suatu filem yang mudah. Hari ini, saya baca pula kedua-dua post di sini dan saya menjumpai sesuatu yang lebih menarik! Boleh tak kalau saya katakan post ini adalah kritikan yang tidak berpihak kepada mana-mana belah dan tentunya neutral - tentang filemnya, teknikalnya dan dasar ceritanya sahaja.

    Selamat petang~

    BalasPadam