Jumaat, 2 September 2016

CHIKE AND THE RIVER: MERENTAS SUNGAI DIRI



JUDUL : Chike and the River
PENGARANG : Chinua Achebe
GENRE : Novel 
RUMAH PENERBITAN: Anchor Books
TAHUN CETAKAN : 2011
NEGARA : Amerika Syarikat
HARGA : RM 36.95

"African literature is incomplete and unthinkable without the works of Chinua Achebe."
Toni Morrison
---------------------------------------------

Ini kisah Chike yang mahu menyeberangi Sungai Niger untuk ke Bandar Asaba. Dia memendam hasrat itu sehingga dia akhirnya melakukan pelbagai cara untuk menyeberangi sungai tersebut. Dalam usahanya itu, kita akan dapat melihat bagaimana perubahan psikologi seorang remaja yang berusia 11 tahun melalui wang yang bernilai satu shiling; daripada dahulunya hanya berfikir untuk membeli kacang, dia sudah punya cita-cita untuk mengembara. Sepertinya dia baru sahaja sedar bahawa dunia ini lebih besar daripada sebutir kacang. Kita dapat memahami, Chike sedang berada dalam proses kematangan. Proses ini menjadi sangat jelas apabila Chike sedang mendefinisi dirinya sendiri dalam bab Chike on the Boat:

So, this is me, he thought. Chike Anene, alias Chiks the Boy, of Umuofia, Mbaino District, Onitsha Province, Eastern Nigeria, Nigeria, West Africa, Africa, World, Universe. This was how he wrote his name in his new reader.

Cerita tentang seorang remaja berusia 11 tahun ini adalah cerita yang biasa sebenarnya. Tetapi Chike tidak dilukiskan wataknya untuk menjadi terlalu biasa dan tidak pula luar biasa. Chinua Achebe membina watak dan perwatakan Chike sebagai suatu tinggalan untuk anak bangsanya. Malah kita akan sangat merasai persekitaran negara penulis ini sebagaimana yang telah beliau lakukan dalam karya-karyanya yang pernah saya baca iaitu Things Fall Apart dan A Man of the People. Malah Onitsha dan Lagos yang menjadi latar tempat novel ini juga sangat dekat dengan beliau. Saya terfikir, mungkinkah ini pengalaman penulis dari zaman kanak-kanaknya? Saya tak punya jawapan.

Sebagai bangsa yang melalui tragedi apertheid, tidak boleh tidak, Achebe harus menuliskan buku ini kerana terdapat bab-bab yang secara terang-terangan memberi pesan. Buku ini ditulis seolah-olah sebagai sebuah magnum opus khusus seorang ayah kepada anaknya. Walau bagaimanapun, Chinua Achebe tidaklah menghumbankan pesanannya secara semberono. Kejadian cerita ini masih punya hal berlapis untuk ditemukan sendiri oleh pembacanya.

Ezekiel, the Spoilt Child merupakan salah satu bab yang jelas dan tegas bahawa anak-anak Nigeria tidak boleh sesekali meminta-minta apatah lagi berbuat jahat untuk mendapatkan sesuatu. Dan, tidak ada seorang pun yang harus menjadi nila untuk merosakkan susu sebelanga. Ini lapisan yang pertama. Lapisan keduanya adalah, mereka tidak boleh sesekali meminta-minta daripada orang-orang kulit putih. Saya melihat begitu kuat perjuangan Chinua Achebe dalam karyanya untuk menyatakan bahawa bangsa mereka boleh berdikari tanpa doktrin 'white man's burden'. Lapisan ketiganya pula, anak-anak Nigeria akan mendapat pendidikan yang sedarjat anak-anak orang kulit putih. Setiap manusia adalah sama. Warna kulit tidak menggambarkan kebijaksanaan dan kemuliaan. Dan pada akhirnya, masyarakat tetap mahukan orang yang berbuat kebaikan dalam kalangan mereka.

Buku ini tidak tebal. Hanya 89 muka surat termasuk ilustrasi karya Edel Rodriguez, seorang artis kelahiran Cuba dengan 'stroke' yang jelas dapat kalian lihat pada gambar di atas. Chike and the River, dalam pemikiran penulis penting Nigeria ini adalah sebuah gagasan bangsa manusia, yakni berdikari, berwawasan dan berfungsi dengan baik dalam masyarakat. Ini adalah hal bagaimana menjadi dewasa dan matang. Bagaimana Chike menjadi lelaki dan manusia yang bukan hanya berguna tetapi turut berfungsi. 

A person who begs has no self-respect, he has no shame and no dignity. He is an inferior person. In this school we do not want to produce inferior people. - Chike and the River, 2011


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan