Jumaat, 9 September 2016

ALIFF DALAM 7 DIMENSI: DUDUK DAN LEPASKAN LELAH ANDA



TAHUN : 2016
PENGARAH: Faisal Ishak
LAKON LAYAR: Anwari Asyraf
PARA PELAKON:  Izzue Islam, Julianna Evans, Aliff Satar, Kaka Azraf
Hasnul Rahmat, Aleza Shadan, Man Kadir, Eunos Madeous
NEGARA: Malaysia

Kadang-kadang kita hanya mahu menonton filem yang santai setelah melalui lelah seharian. Filem yang boleh buat kita duduk, bergelak tawa, memberi perasaan dan masih mendapat sesuatu daripadanya. Santai tidak bermaksud harus bikin sesebuah filem itu sampai jadi bodoh. 

Beginilah Aliff Dalam 7 Dimensi (AD7D). Ia sebuah filem yang santai tetapi tidak bodoh di layar. Ia memberikan istirahat fikiran tetapi tidak pula menghantar penonton pulang dengan kosong. Itu kesannya kepada saya selepas menonton.

Pengenalan watak Aliff (Eunos Madeous) ketika masih kanak-kanak boleh dilihat sebagai pengenalan karakter yang 'we know it's him'. Watak ini digambarkan memiliki kekuatan dan luar biasa daripada kanak-kanak lain. Jadi kita tahu ini watak utama dan beginilah seharusnya cara memperkenalkan watak utama sesebuah cerita. Ia lain daripada yang lain. 

Jalinan plot dilihat bertanggungjawab yakni ceritanya, untuk setiap babak tidak ditinggalkan tanpa ikatan. Contohnya, kalau pada suatu babak, ada persoalan atau gantungan yang ditinggalkan kepada penonton, ia akan dijawab dalam babak yang lain. Ini bermaksud cerita ini dibina dengan kesedaran bahawa penulis mempunyai tanggungjawab terhadap kekemasan plot.

Cerita hantu Malaysia tidak dapat tidak biasa berkait dengan agama Islam. Jadi, kebiasaan ini dapat kita lihat pada amalan Aliff (Izzue Islam) yang membaca al-Quran, ayat-ayat pendinding juga amalan memagar kawasan. Ini biasa. Apapun, ceritanya masih memberi didikan yang asas kepada para penonton seperti amalan-amalan Islam yang dilihat kecil sebagai contoh, membaca bismillah sebelum makan. Saya fikir tidak melampau jika kita katakan ia sebagai suatu peringatan tentang hal kecil yang kita sendiri selalu lupa laksanakan sebagai orang Islam. Hal ini boleh dilihat apabila Aliff mengingatkan sahabat baiknya, Naim (Aliff Satar) tentang hal-hal kecil ini. Malah Naim kemudiannya turut mengamalkan pendinding diri. Tidak ada klise bomoh atau ustaz menghalau hantu. Thank God. 

Terdapat elemen sains apabila Anna (Julianna Evans) mengemukakan String Theory. Tidak ada penjelasan lanjut sebagaimana yang biasa kita tonton dalam filem-filem fiksyen sains Barat. Suntikannya kelihatan 'bertompok-tompok' untuk menerangkan apa itu String Theory dan sebab Anna mahu mengkajinya. Mungkin kerana hal yang dibincangkan adalah sebuah teori, ia membuatkan penjelasannya kelihatan sebegitu. Agak sayang juga di sini kerana saya sudah teruja untuk mengetahui lanjutannya tetapi harapan tinggal harapan. Dan akhirnya saya terpaksa bersetuju bahawa filem ini dibikin untuk tidak menyesakkan kepala penonton. Cukup sekadar cuit-cuitan daripada beberapa bahagian seperti ilmu ghaib, ilmu agama, dan sains tetapi dalam masa yang sama tidak mengambil mudah terhadap bahagian-bahagian ini.

Ada beberapa jenis hantu yang muncul. Tetapi saya fikir hantu yang akan mudah diingat-ingat ialah hantu yang menumpang makanan orang yang tidak membaca bismillah. Ia comel. Suara dan perwatakannya mengingatkan saya kepada Upin Ipin. Dan, hantu yang kedua tentunya saka Aliff. Entah kenapa ia kelihatan seperti watak James P. Sullivan, raksasa turquoise bertompok ungu dalam filem Monster Inc. Bezanya, saka dalam filem AD7D ini jahat, berwarna hitam dan bermata merah. Dan ia berada antara kejahatan dan kecomelan kerana giginya yang amatlah putih bersih, bersinar dan beberapa tindak balas hampa kerana penolakan Aliff terhadapnya. Dan, sebenarnya, Aliff, Anna dan  Izreen (Kaka Azraf) sewaktu dirasuk saka itu tampak lebih menakutkan.

Saya fikir tidak ada guna untuk perkatakan sama ada CGI dalam filem ini kelihatan palsu atau tidak. Industri perfileman kita masih belajar dan saya percaya ia sedang bergerak ke hadapan. Hal yang penting untuk waktu ini, kita boleh 'enjoy' menonton AD7D tanpa rasa sakit hati.

Saya melihat filem ini sesuai untuk kanak-kanak bermula usia 10 tahun. Cuma terdapat sedikit garapan cinta antara Aliff dan Anna yang dilukis tipis. Tetapi kalau mahu dibandingkan dengan Disney atau Cartoon Network pun, elemen cinta dalam kartun pun tetap ada. Terserah. Anda lebih kenal anak-anak anda.

Jauh sedikit ke dalam maksud cerita ada pada watak Aliff sendiri. Bahawa manusia menjadi manusia dengan melawan kejahatan di dalam diri. Meskipun saka ini kelihatan sebagai watak fizikal, ia adalah diri Aliff kerana mereka berkongsi pandangan mata dan degupan yang sama. Perlawanan dalam diri manusia adalah perlawanan yang paling sengit tidak kiralah banyak mana dimensi yang kita ada.

Pada awalnya, saya sibuk dengan pen dan kertas. Tetapi kemudian saya meletakkan kedua-duanya dan menikmati kisah ini dengan senang hati. Kalian faham perasaan ini?


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan