Sabtu, 20 Ogos 2016

THE MAN WHO KNEW INFINITY: SOSOK PATUNG IDOLA


TAHUN : 2016
PENGARAH: Matthew Brown
LAKON LAYAR: Matthew Brown
PARA PELAKON:  Dev Patel, Jeremy Irons, Devika Bhise, Toby Jones, Stephen Fry
Jeremy Northam, Kevin McNally, Enzo Cilenti
NEGARA: United Kingdom

Ia sebuah cerita yang harus dikisahkan kepada masyarakat dunia. Sebab kisah ini merupakan suatu catatan tamadun manusia. Catatan yang penting, saya kira dan ia diterjemahkan pula kepada bentuk perwayangan.

Terdapat bingkai-bingkai yang indah, seperti dalam babak salji turun dan Ramanujan (Dev Patel) meluru keluar dari biliknya, dan pada masa yang sama, G.H. Hardy (Jeremy Irons) dengan 'voice over' memerihalkan Ramanujan sebagai cendekiawan yang penuh keajaiban. Ia adalah musim Krismas dan kita amat faham bahawa Krismas adalah musim penuh keajaiban bagi penganut agama Kristian. Kita boleh lihat bagaimana keajaiban ini dalam filem-filem perayaan Krismas. Ia seperti sebuah harapan baru dalam hidup; Ramanujan adalah harapan baru bidang keilmuan.

Dev Patel memegang watak protagonis, Jamal Malik, dalam Slumdog Millionaire (2008), watak antagonis, Prince Zuko dalam The Last Airbender (2010), kembali sebagai protagonis, Deon Wilson, dalam Chappie (2015).Dan sekarang sebagai protagonis, Srinivasa Ramanujan. Saya mengumpulkan ini dengan sebab.

Kata Ernest Hemingway dalam Death in the Afternoon:

A writer should create living people; people not characters. A character is a caricature.

Saya tidak pasti bagaimana filem ini diadaptasi daripada buku tulisan Robert Kanigel itu. Pengenalan wataknya tampak menguatkan premis cerita, yakni, Ramanujan seorang yang bijaksana dalam Matematik sehingga dia menulis di atas lantai kuil, juga menggambarkan bahawa beliau bukan orang berada. Tetapi tidak cukup kuat untuk memberitahu bahawa lelaki ini adalah manusia yang penting. Seperti ada yang menyekat Ramanujan ini daripada menjadi 'living people' dan bukan 'caricature'. Apatah lagi perihalnya diceritakan dengan 'bit' yang mendatar, konflik yang tidak benar-benar kuat; yakni konflik utamanya hanya cuba untuk membuktikan penemuannya tetapi apakah proses itu memang begitu mendatar? 

Saya fikir adaptasi ini terlalu dikongkong. Kita tidak menggalakkan tokok tambah yang keterlaluan tetapi ini sosok tamadun dunia. Ramanujan adalah sosok tamadun dunia. Ia harus dilukis dengan hati-hati tetapi tidak sampai harus menjadikannya 'caricature'. Kekuatan dalam diri Ramanujan yang terlalu ditonjolkan adalah kebijaksanaannya dalam Matematik sehingga mengaburkan kekuatannya yang lain. Ia dilukis sebagai sebuah patung idola yang harus disembah dan bukan 'living people' yang harus diteladani. 

Agak malang, filem ini ditonton setelah saya menonton Rudy Habibie, juga sebuah filem biografi, yang wataknya lebih hidup dan senang sekali untuk diingat-ingat. Rudy Habibie ialah sosok 'living people' dalam filem itu. Ramanujan adalah karakter. Juga kalau diingat-ingat lagi, saya lebih senang dengan Jamal Malik dalam Slumdog Millionaire. Babak-babak yang 'menghidupkan' Ramanujan adalah keinginannya untuk bunuh diri. Saya baru tersedar bahawa Ramanujan adalah manusia pada waktu itu, sehinggalah Ramanujan kembali kuat untuk peranannya dalam bidang keilmuan, dan pulang dengan sepenuh jiwa ketika memijak bumi Madras. Seperti kita boleh melihat ada peristiwa yang menghidupkan dalam waktu-waktu sebegitu yang menjadikannya manusia teladan. Tetapi, sensasi ini diberikan lewat sekali.

Saya menghormati filem ini. Tetapi untuk menontonnya berkali-kali, saya tidak pasti apakah saya boleh bertahan.

Pengetahuan agung selalu datang dari sumber yang rendah diri. - John Littlewood, The Man Who Knew Infinity


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan