Selasa, 9 Ogos 2016

RUDY HABIBIE: HOMAJ UNTUK DUA I


TAHUN : 2016
PENGARAH: Hanung Bramantyo
LAKON LAYAR: Gina S. Noer & Hanung Bramantyo
PARA PELAKON: Reza Rahadian, Chelsea Islan, Dian Nitami, Indah Permatasari,
Ernest Prakasa, Boris Bokir, Rey Bong, Cornelio Sunny, Pandji Pragiwaksono, Bastian Bintang Simbolon
NEGARA: Indonesia

Rudy: Kalau Papi dari Gorontalo dan Mami dari Jawa, jadi Rudy dari mana?
Papi: (Mengangkat tangan Rudy satu per satu lalu mencantum telapak tangan anaknya) 
Ini Papi dari Gorontalo dan ini Mami dari Jawa dan kamu Rudy, kamu Indonesia!
--------------------------------------------------------

Rudy Habibie lebih panas berbanding Habibie dan Ainun. Mungkin kerana ini filem prekuel, kisah masa muda B.J. Habibie, Presiden ke-3 Republik Indonesia itu. Ia penuh dengan rusuhan dalam diri orang muda, perlawanan-perlawanan yang belum tentu menang, amukan idea dan bantahan, malah berontak jiwa yang keanak-anakan atas sebab peribadi tanpa memikirkan kesan besar yang melibatkan tanah air sendiri.

Reza Rahadian sebagai pemain utama, sentiasa memberikan yang terbaik dalam filem apapun. Saya cuba bandingkan beliau dengan B.J Habibie yang sebenar. Jelas sekali Reza seorang pelakon yang membuat kerja rumah dengan keras. Mimik muka dan cara percakapan persis B.J Habibie yang realiti; sebagai contoh, Habibie seorang yang agak gagap dan sebutan katanya sedikit janggal terutama sebutan huruf 'D'. Kita akan melihat dan berfikir bagaimana seorang Reza Rahadian bertahan dengan mimik muka dan percakapan yang sebegitu. 

Juga, satu hal lagi adalah kefasihan Reza berbahasa Jerman dan Belanda. Saya belum dapat mencari apakah ia 'dubbing' atau memang benar Reza bertutur sefasih itu. Bukanlah saya meragui kebolehan pelakon ini tetapi saya tetap harus mencari kebenarannya walaupun saya 'ngefan' sama dia. Kalau benar Reza menuturkan bahasa-bahasa itu sefasihnya pun ia bukan suatu keanehan dalam perfileman Indonesia. Lihat sahajalah filem Ayat-ayat Cinta yang begitu popular suatu masa dulu. Bukan semua pelakon punya kebolehan bertutur bahasa Arab tetapi kerana mereka tahu apa itu maknanya berperanan dalam sesebuah filem, maka mereka berusaha menjadi fasih.

Baik. Cukup tentang Reza Rahadian. Para pelakon lain juga bagus. Bayangkan tiga daripada pelakonnya adalah pelawak di Indonesia tetapi berhasil membawakan watak anak muda dengan semangat membara dalam persatuan dan politik untuk filem ini; watak-watak yang memerlukan keseriusan. Mereka; Ernest Prakasa, Boris Bokir, Pandji Pragiwaksono berhasil juga mengagumkan saya. Seperti identiti komedi terlucut terus daripada mereka untuk adegan-adegan serius itu.

Saya tidak akan menyentuh sinematografi kerana filem ini, sebuah filem yang besar ideologinya. Pada awal lagi, ia sudah siaga mengagumkan penonton terhadap Indonesia. Hampir semua watak mampu berbahasa Indonesia meskipun mereka orang Jerman, Poland, atau entah bangsa apa lagi, saya tidak sempat memeriksanya dengan tepat. Malah orang Indonesia pula mampu berbahasa asing tanpa kelihatan cacatnya. Begini Indonesia berusaha memberi kekaguman terhadap bangsanya dan tanahnya. Dan sepertinya bangsa Indonesia bertebaran di seluruh dunia. Malah, Ilona (Chelsea Islan) si gadis Poland jatuh cinta dengan segala-galanya tentang Indonesia termasuk Rudy Habibie dan mereka bercinta. Gadis ini jugalah yang mendokong cita-cita besar Rudy Habibie baik dalam kejuruteraan aeroangkasa mahupun dalam politik mahasiswa PPI. Di manakan Ainun? Saya akan jawab itu nanti.

Saya memiliki 'tendency' untuk menyalin hampir seluruh dialog dalam filem ini. Ia penuh pengertian, roh, dan hikmah. Seperti ulasan kecil saya di Facebook, ia suatu kekuatan filem Indonesia yang tak pernah pudar. Dan bikin saya merindui negara itu dan teman-teman saya di sana, kerana sebegitulah mereka berbicara. Sekali lagi, bagaimana Indonesia memikat penonton dengan filemnya; dan seharusnya beginilah sebuah filem. Ia amat berkait rapat dengan bangsa dan negara. Dan dengan begitu juga, filem ini berani menceritakan pergolakan rasisme, korupsi dan masalah birokrasi dan politik Republik Indonesia meskipun ada yang disentuh tipis.

Jika anda tidak bersedia menghormati agama dan kepercayaan orang lain, anda juga mungkin tidak bersedia menonton filem ini. Rudy Habibie, solat di dalam gereja kerana tiada masjid, juga solat di mana-mana sahaja asal tidak mengganggu orang. Malah, dari awal lagi, sudah dinyatakan bahawa B.J Habibie ialah seorang presiden yang meraikan pluralisme. Rudy juga berbicara dengan Paderi Yusuf tentang agama, prinsip, kepercayaan dan hikmah. Antara dialog mereka (kurang lebih, dan saya mungkin tertukar watak antara kedua-duanya):

Romo Yusuf: Tuhan lebih besar daripada rumah ibadat.
Rudy Habibie: Jika Tuhan lebih besar daripada rumah ibadat, 
apakah manusia lebih besar daripada negaranya?

Adegan paling dekat di hati saya adalah sewaktu Rudy mengambil alih sujud papinya yang meninggal dunia sewaktu solat. Ia sebuah adegan yang indah meskipun menyayat hati. Membawa maksud peralihan tanggungan kepadanya, sebagai ketua keluarga. Perasaan ini diberikan secara halus kepada para penonton bermula dengan janji ayahnya untuk sama-sama membina model pesawat. Ini suatu hal yang bijak diaduk sebagai suatu adegan untuk mengepungkan perasaan. Daripada janji itu, ia dibina perlahan-lahan dengan keriuhan untuk solat berjemaah, beralih kepada pandangan papi pada setiap ahli keluarga, kepada sujud yang tiada bangunnya, dan akhir sekali kepada sujud yang diambil alih. Sebulat itu ia mengepung dan petandanya mudah untuk dicerna.

Terdapat beberapa hal yang mengganggu filem ini seperti perjalanan Rudy dan Ilona untuk berpisah, dibikin agak 'cheesy'. Ia meleret dan seharusnya adegan-adegan ini perlu dibikin dengan jimat sekali. Terdapat juga teknik imbas kembali yang tidak perlu, tetapi tidak banyak juga yang harus digugurkan. Dan, akhir sekali, penamatnya tidak menyenangkan kerana seperti cerita yang tergantung dengan watak Panca (Cornelio Sunny) yang senang hati menawarkan untuk mengambil gambar mereka sedangkan sepanjang cerita ini mereka adalah musuh; walaupun memang mereka sudah memutuskan untuk berkompromi. Ia membuatkan filem ini kelihatan agak tergesa-gesa menamatkan kisahnya meski Habibie dan Ainun 3 bakal menyusul. Pada pendapat peribadi saya, sebuah filem harus lengkap bulatannya. Jika ada filem susulan pun, ia tidak harus dipotong hujungnya seperti drama di televisyen. Promosi Habibie dan Ainun 3 sebelum Rudy Habibie bermula hanya berfungsi sebagai jawapan tetapi tidak dapat menutup kecacatan ini dan ia adalah iklan.

Suatu hal yang tidak ketinggalan dalam filem ini adalah humornya. Saya fikir bab ini harus ditonton sendiri. Saya tidak pandai menyampaikan kelucuan. Apa yang boleh saya katakan filem ini akan bikin kalian tertawa, menangis, marah, sakit hati, bersemangat dan banyak lagi perasaannya.

Apapun, runut bunyinya sedap didengar dengan lirik yang sederhana tetapi penuh makna. Malah saya fikir ia lebih bagus daripada filem pertamanya, Habibie dan Ainun. Mata Air nyanyian CJR seperti mata air juga mengalir ke deria dengar. Memilih Cakra Khan untuk menyanyikan lagu Mencari Cinta Sejati adalah keputusan yang bagus kerana suaranya hanya ada satu di dunia dan mudah sekali diingat orang. 

Saya melihat filem ini sebagai sebuah homaj untuk dua I; Indonesia dan Ilona. Inilah dua cinta Habibie yang diceritakan dan akhirnya beliau harus berkorban demi Indonesianya. Meski terdapat beberapa kelompongan, homaj ini berjaya dan saya terfikir, jika Ilona masih hidup, apakah dia dapat merasakan penghormatan ini? Dan di manakah Ainun? Kalian harus menunggu untuk prekuel seterusnya kerana Ainun hanya ada suara, belakang tubuhnya dan masa kecilnya dalam filem ini.

Adakah saya sukakan filem ini? Ya. Dan saya punya keinginan untuk menontonnya lagi meskipun saya tahu saya harus bertahan untuk beberapa hal kekurangannya. Cuma saya benar-benar berharap untuk tidak menonton lagi adegan tergantung tanpa dasar dalam sesebuah filem. Sebab, bagi saya, filem punya kendiri yang utuh.

Mata air selalu muncul di tanah yang bergolak. - Romo Yusuf, Rudy Habibie


Sayidah Mu'izzah

2 ulasan:

  1. Akak ada tonton Hlive yang mengulas filem ini. Reza beritahu dia belajar bertutur bahasa Jerman dan Belanda.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya. Tak aneh kalau Reza mempelajarinya.

      Padam