Rabu, 17 Ogos 2016

PEKAK: BACAAN DESIBEL FILEM




TAHUN : 2016
PENGARAH: Mohd Khairul Azri Mohd Noor @ Kroll
LAKON LAYAR: Mohd Khairul Azri Mohd Noor @ Kroll
PARA PELAKON:  Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Amerul Affendi, 
Sharifah Sakinah,Iedil Putra, Zaidi Omar, Joe Flizzow, Chew Kin Wah
NEGARA: Malaysia

Azman Picasso: Jangan sentuh. Itu 'masterpiece' aku. Dua bulan pun tak ada orang faham.
-------------------------------------------

Pengenalan watak utamanya sunyi sekali. Cukup sahaja Uda (Zahiril Adzim) dan bunyi cengkerik antara dengar dan tidak, juga tembok batu di belakang untuk mengenalkannya sebagai seorang yang pekak. Dia berdiri di hadapan rel kereta api dan menunggu kereta api melepasinya. Di belakangnya tembok batu; kaku dan bisu, di hadapannya kereta api; bingit dan 'hidup'. Di belakangnya adalah sesuatu yang ingin sekali dia tinggalkan. Di hadapannya, ia tafsirkan sebagai impian dan bahagia. Dan kemudian, bunyi kereta api merambat seluruh ruang tafsiran Uda dan kita sebagai penontonnya.

Kita akan melihat lebih bahasa bingkai untuk menceritakan siapa Uda (Zahiril Adzim) selain daripada seorang yang pekak; pekerjaannya, kehendaknya, kebolehannya, impiannya, perasaannya. Meskipun filem adalah kelaziman membaca bingkai, ketika Zahiril Adzim menjadi Uda, saya merasakan filem ini adalah filem yang payah. Payah sebab saya harus masuk ke suatu dunia yang saya harus biasakan diri dengannya; kita biasa bercakap untuk menyampaikan, dan mendengar untuk memahami. Untuk kali ini, upaya dengar dan cakap saya seperti terkunci. Dan apabila tiba pada babak yang bingit dengan muzik, kepala saya jadi pusing; kerana kenyataannya saya masih boleh mendengar dan keinginan untuk mendengar yang terkunci itu tadi diberikan dengan cara bingit sebegitu. 

Dara (Sharifah Amani) diperkenalkan serentak dengan Melor (Sharifah Sakinah). Pengenalan serentak begini dilihat penting dan utuh sekali kerana dua watak ini seperti benang kait; Dara, dan jarumnya; Melor. Hanya jarum membentuk benang sehingga benangnya kusut kemudian putus dan jarum akhirnya patah. Dan Melor dilihat sebagai jarum yang berkilat sehingga ayah Dara (Zaidi Omar) menginginkan Dara mencontohi Melor seterusnya membawa watak Melor itu sendiri sebagai sarkastik orang-orang yang menjual agama dan kebaikan. Ya, bercakap tentang agama memang sangat mudah sekarang. Ia seperti sudah dijual di pasar lambak.

Disebabkan hampir keseluruhan filem ini 'pekak' maka kalian harus benar-benar peka memerhati, membaca dan memahami seperti seorang Uda. Saya kongsikan sedikit sahaja babak yang pada saya terlalu cantik untuk dibaca, diperhati dan difahami. Ia adalah babak perkenalan antara Uda dan Dara yang klise tetapi akhirnya anda akan menyedari bahawa ia membawa kepada babak yang tidak klise; bagaimana 'name tag' sekolah Dara dipinkan oleh Uda pada bahagian baju Dara yang koyak di belakang. Begini seharusnya seorang 'Uda' menjaga 'Dara' meski Uda tak mampu menjaga sepenuhnya; sebab bahagian baju yang koyak itu juga tak mampu ditutup sepenuhnya oleh Uda. Klisenya seorang lelaki akan menutup perempuan dengan jaketnya. Kalian tidak akan dapat melihat itu dalam filem ini. Dalam Pekak, ia dibikin dengan begitu amanah dan simbolik. 

Dan, disebabkan saya cuba menjadi peka(k), terdapat dua hal juga yang saya sedar sewaktu menonton:
  1. Bayang-bayang orang pada dinding rumah flat (bingkai sebelah kiri) ketika babak Uda menghantar Dara ke rumahnya. Seingat saya, dari 'high angle shot' sebelumnya, tidak ada orang di situ. Atau mungkin saya belum cukup peka untuk hal ini. Atau mungkin boleh dikatakan begini - Kawasan kejiranan pasti akan ada sesiapa sahaja yang berada di situ. Tetapi saya agak sensitif dengan bayang-bayang dalam sesebuah bingkai.
  2. Gambar seorang perempuan dan anaknya di atas meja di tepi tingkap. Saya sedang memikirkan ia tidak sejajar dengan gambaran ibu Dara yang diberikan oleh bapa Dara; seperti seharusnya imej itu (meski kabur) tidak patut ada dalam rumah tersebut dan harus berambus keluar. Melainkan dalam album lama, ia adalah kenangan yang hanya harus disimpan tetapi tidak dipandang.
Kita tinggalkan dua perkara itu dahulu. Mungkin ketika tayangannya 1 September nanti, saya harus lebih berhati-hati. Mohon ampun awal-awal jika mata saya yang salah.

Hal yang kecil tetapi bagus juga untuk sebuah filem Malaysia, parti liar yang diadakan tidak terjadi di kelab malam sebaliknya di rumah orang berada seperti Kamil (Iedil Putra). Ia memang lari daripada klise kebanyakan filem Malaysia bahawasanya hiburan liar seperti didoktrinkan harus terjadi di kelab malam. Asal mahu tunjukkan seseorang liar, maka dia harus ke kelab. Sedangkan keliaran juga boleh berlaku di dalam rumah. Saya tidak dapat ingat kalau babak ini dilaksanakan di rumah dalam filem-filem Malaysia sebelum ini. Serius, tidak ingat. Atau mungkin saya terlepas pandang. Tetapi dalam Pekak, keliaran begitu berlaku di dalam rumah.

Filem Pekak seperti suatu tafsiran manusia yang selalu salah menilai dan memilih. Kesemua wataknya salah menilai dan salah memilih sedangkan pilihan yang lain masih ada. Akhirnya mereka hanya menjadi antara dua, sama ada menjadi mangsa diri sendiri ataupun mangsa orang lain.

Seperti Uda, yang sedar bahawa dinding batu di belakangnya lebih baik daripada bingit kereta api yang melintas di hadapannya. Kereta api punya landasan dan stesennya. Tetapi apakah landasan dan di mana stesennya dalam kisah ini? Dan apakah untuk seorang manusia, mati sahaja penyelesaian yang benar-benar memberikan senyum? Lihatlah sendiri siapa yang menjadi mangsa siapa dan siapa pula yang memangsakan diri sendiri.

Filem ini benar-benar menguji daya bacaan saya sebenarnya. Sebab setelah dipekakkan dan dibisukan pada awalnya, dalam kurang lebih 10-15 minit, saya diberikan bunyi-bunyi kemudiannya tetapi masih terasa percakapan yang diterhadkan. Ia suatu hal seperti diserapkan ke dalam diri, kemudian disedut keluar, kemudian ditiup ke dalam diri, dan dikeluarkan kembali.

Pekak bukan kisah cinta Uda dan Dara yang biasa. Ia seperti desibel (sound pressure) dalam kehidupan yang boleh dirasai penonton. Ia bukan sekadar bunyi-bunyian atau kebisuan yang ingin dicampakkan hanya untuk menjadikannya sebuah filem. Ia seperti bunyi sebuah pergelutan dalam kehidupan kita sehari-hari, yang mungkin tidak kita lalui tetapi kenyataannya setiap orang punya kebingitan dalam hidupnya meskipun tidak didengari atau tidak didengarkan. 

Oh ya. Saya suka lagu Sepanjang Riwayatku (nyanyian asal Allahyarham Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee) dinyanyikan semula oleh They Will Kill Us All, juga sisipan lagu Rintihan Hati oleh Othman Hamzah. Kedua-duanya menggambarkan seperti apa hubungan antara Uda dan Dara. Saya mentafsirkannya sebagai gelap dan sayu.

Dan filem ini, untuk orang-orang matang. Bagaimana mengukur kematangan ya? Ia kerja yang sukar sekali. Bimbingan ibu bapa amat digalakkan. Saya tidak pasti berapa pula 'kiraan desibel' masyarakat kita untuk filem ini bermula 1 September nanti. Saya akan menontonnya lagi kerana bacaan desibel saya untuk Pekak, belum cukup.

*Pekak telah diiktiraf dan dipilih untuk ditayangkan di Cannes di pentas Marche du Film 2016 dan tayangan perdananya di World Premieres Film Festival Philippines pada tahun 2015.

Kalau Uda yang pekak pun boleh dengar, kenapa Abah tak nak dengar? - Dara, Pekak


Sayidah Mu'izzah

2 ulasan:

  1. assalamualaikum :)

    kak eja, saya baru tonton tadi.

    ahhhh, kak eja selalu mampu baca apa yang tak mampu saya ungkap dalam kata-kata. perkataan, perasaan, semuanya! hihi.

    habis tonton, baru ulang baca reviu kak eja lagi.

    teruskan mereviu filem-filem yang seterusnya kak! saya pembaca setia tau, hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam Umairah,

      Terima kasih kerana sudi membaca tulisan di blog ini. Masih banyak yang Kak Eja harus belajar. Sama-samalah kita. Harapan Kak Eja agar penonton kita menjadi dewasa dan matang.

      Padam