Isnin, 15 Ogos 2016

KUKILA: AAN YANG SEPERTI PUISI



JUDUL : Kukila
PENGARANG : M. Aan Mansyur
GENRE : Kumpulan Cerpen
RUMAH PENERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
TAHUN CETAKAN : 2016, cetakan keempat
NEGARA : Indonesia
HARGA : RM 30

Kebanyakan cerita dalam Kukila adalah hal-hal tersembunyi yang membuatkan kita tertanya-tanya apakah benar wujud orang sebegini, pasangan sebegini, keluarga sebegini atau benarkah kisah ini? Apakah ia dikutip oleh penulis daripada pengalaman orang lain, atau benarkah ini kisah penulis sendiri? 

Terdapat 16 buah cerita dalam Kukila yang berhalaman 184 muka surat. Salah satunya memang berjudul Kukila. Seorang perempuan yang membenci September dan pohon mangga. Ia merupakan cerita pertama dan terus mengikat saya untuk menghabiskan 15 buah cerita yang lain. Ini, tiga cerita yang saya pilih daripada Kukila untuk dikongsikan ulasannya - Kukila (Rahasia Pohon Rahasia), Setia Adalah Pekerjaan Yang Baik dan Aku Selalu Bangun Lebih Pagi.

-----------------------------------
KUKILA (RAHASIA POHON RAHASIA)

Kisah ini paling panjang berbanding kisah-kisah lain. 61 halaman hanya untuk Kukila. Meletakkan ia sebagai cerita pertama mungkin suatu keputusan yang bijak kerana panjangnya tidak membiarkan pembaca bersantai semata-mata. Kalian akan menemukan kejutan-kejutan yang tidak disangka-sangka daripada watak-wataknya, bermula dengan Kukila, Pilang, Rusdi, dan anak-anak mereka. Medium yang digunakan Aan juga berbeza-beza. Ada yang menggunakan surat, ada yang hanya suara hati, dan cerita di atas cerita. Ia suatu teknik yang bijak agar pembaca tidak berasa bosan dan dapat mengikuti kisah ini dengan baik.

Kukila sebenarnya sebuah cerita yang bertema klise, yakni perceraian suami isteri. Tetapi Aan menggubah sifat klise itu dengan teknik penceritaan sembunyi-sembunyi lalu memberi kejutan pada beberapa tempat. Malah ceritanya bersegi-segi. Kalian juga mungkin sahaja mahu melukiskan sebuah diagram untuk segi-segi ini.

Kisah Kukila juga digabungkan dengan legenda sebuah pohon. Mungkin kerana menurut penulisnya erti Kukila itu sendiri adalah sebuah pohon. Kita akan mendapati kesan pengembalian diri daripada Kukila kepada pohon kepada Kukila (pohon) tentang Kukila. Sepertimana yang diperikan pada tajuknya juga (Rahasia Pohon Rahasia). 

Seperti kata-kata Joko Pinurbo pada kulit belakang buku ini :

Jangan lupa, bagaimanapun Aan seorang penyair. 
Di sana-sini muncul jalinan kata-kata yang bernapaskan puisi yang tidak jarang 
membuatkan bahasa ceritanya lebih berbunyi.

Saya menemukan nafas-nafas puisi itu bukan sahaja dalam Kukila malah dalam kisah-kisah lain. Antaranya dalam Kukila:

Mata lembab kami bersalaman diam-diam.

Kenapa tidak Aan menuliskan Kukila menangis, atau air mata Kukila menitis membasahi pipi, atau ada manik jernih menuruni pipinya, atau pipinya berasa panas dek air mata yang mengalir seperti biasa kita dengar atau baca? Kerana Aan memiliki keupayaan menghembuskan puisi dalam kata-katanya. Aan tahu puisi tak harus dibikin terlalu mudah dan tidak pula terlalu payah. Ia harus cerdik untuk memberikan makna.

Kisah Kukila menjanjikan bauran perasaan dalam diri. Kita akan berasa marah terhadap Kukila dan Rusdi pada awalnya, membenci anak-anak mereka, dan oh, seharusnya Pilang juga perlu dibenci, kemudian kita akan membenci Rusdi pula, seterusnya kita akan diaduk dengan perasaann kasihan kepada mereka, dan begitulah sehingga kisah ini tamat untuk diputuskan oleh pembaca sama ada menyetujui akhirnya atau tidak.

Pening? Tidak. Kalian akan terpesona dengan ketelitian Aan bercerita kerana tidak mudah untuk seorang pengarang bertukar-tukar watak dan perwatakan dalam sesebuah cerita. Aan telah menguasainya.

Nama Kukila juga akan kalian temui dalam tiga buah cerita yang lain dengan kisah yang lain seperti Tiga Surat Cinta Yang Belum Terkirim, Tiba-Tiba Aku Florentino Ariza dan Setengah Lusin Ciuman Pertama.

--------------------------------
SETIA ADALAH PEKERJAAN YANG BAIK

Saya percaya bahawa ini kisah Aan sendiri. Ia sebuah kisah yang diceritakan menerusi fragmen 1 hingga 30 tentang ibunya Safinah dan ayahnya, Mansyur. Sebuah kisah yang tragis, juga memiliki kejutan tersendiri: sewaktu ibunya pulang setelah melarikan diri dari kampung, ayahnya masih tetap menunggu sebagai seorang suami sehinggalah ayahnya pergi dan mereka mendapat perkhabaran bahawa ayahnya yang lama tidak pulang, rupa-rupanya sudah meninggal dunia. Begitu rangka kisahnya.

Hal meninggal dunia itu bukan kejutannya yang sebenar. Sesuatu di antaranya adalah sesuatu yang tidak tersangkakan. Mungkin juga kerana ia diceritakan sebagai suatu fiksyen yang kelihatan benar-benar berlaku atau memang ia memang benar-benar berlaku. Sesuatu di antaranya itulah yang menentukan apakah sesebuah cerita itu bertema klise dan ditulis juga secara klise ataupun bertema klise tetapi mungkin sahaja bakal menjadi karya yang malar segar.

Saya fikir jika benar ini kisah Aan, penulis memiliki kisah hidup yang menarik meskipun sedikit tidak membahagiakannya (mungkin). Mungkin begini pengalaman mengajar Aan menjadi seorang penglipur lara yang tertib sekali apabila bercerita. Seolah-olah dia bercerita daripada bahagian dirinya yang sunyi dan rahsia (yang dibongkarnya sendiri dalam buku ini).

Kisah ini juga sedikit sebanyak punya kaitan dengan cerita Tiga Surat Cinta Yang Belum Terkirim dan Setengah Lusin Ciuman Pertama. Kalian akan menemukan pola yang hampir sama antara ketiga-tiganya.

--------------------------------
AKU SELALU BANGUN LEBIH PAGI

Kisah ini 'simple' tetapi unik. Tentang seorang pemilik kedai buku sekali gus pemilik perpustakaan yang bertemu seorang perempuan setiap awal pagi. Dia merasakan perempuan itu seorang manusia yang membosankan kerana setiap pagi soalannya sama sahaja. Malah dia juga menilai perempuan itu sebagai perempuan yang tidak ada apa-apa keistimewaan berbanding pandangan lelaki-lelaki lain yang datang. Walaupun perempuan itu menyapanya setiap pagi, mereka seperti tidak pernah berbicara untuk mengenal sesama sendiri.

Dan akhirnya, si pemilik kedai buku ini menyedari bahawa dia sudah tersalah menilai perempuan ini sebagaimana dia meluahkan di hadapan cermin:

Aku malu melihat mataku sendiri

Ia penuh hikmah, bahawa kita selalu cenderung salah menilai orang. Kita selalu melepaskan peluang yang ada di hadapan kita. Kita selalu tidak mahu mengambil tahu dan tidak selalu mahu peka. Dan ya, Aan berpuisi lagi dalam sebaris ayat itu dengan makna yang saya tafsirkan sendiri, dia malu memikirkan cara dirinya menilai orang.

-------------------------------

Dari sudut penceritaan, saya suka cerita-cerita dalam buku ini kerana ada ceritanya yang harus dibaca dengan teliti sebab Aan sendiri seperti puisi; dia teliti menyembunyikan sesuatu di dalam terang tetapi dalam masa yang sama ramah juga bercerita mengenai hal yang disembunyikannya itu. Kadang-kadang dia terang-terang pula bercerita tetapi seperti ada yang sembunyi-sembunyi dalam ramahnya.

Secara keseluruhan, Kukila menceritakan kisah-kisah cinta terlarang, songsang, tidak kesampaian juga selingkuhan. Untuk membaca Kukila juga, harus memiliki sikap terbuka. Bagi saya secara peribadi, saya menikmati jalan ceritanya yang disusun dengan baik sekali. Saya juga terbuka menerima cerita-cerita yang mungkin sahaja terjadi dalam masyarakat kita tetapi kerana kita tidak mahu ambil tahu, maka ia hanya menjadi suatu kejadian semata-mata. 

16 buah cerita ini juga, tidak kesemuanya sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Dan Kukila, akan saya letakkan di tingkat atas para buku. Moga tidak dicapai oleh kanak-kanak bawah umur. 

Dan pulang, kata itu tidak akan ada tanpa Ibu. - Kukila, 2016


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan