Khamis, 14 Julai 2016

SULTAN SETELAH BAJRANGI BHAIJAAN



TAHUN : 2016
PENGARAH: Ali Abbas Zafar
LAKON LAYAR: Ali Abbas Zafar
PARA PELAKON: Salman Khan, Anushka Sharma, Randeep Hooda, 
Amit Sadh, Parikshat Sahni, Naveen Kumar, Anant Vidhaat
NEGARA: India

It's a good love story. Keseluruhan filem ini adalah cinta. Ya, kerangka filem Hindi memang tidak akan lari daripada cinta. Tetapi ia memiliki kesejajaran dengan beberapa hal, membuatkan filem ini menjadi filem yang harus ditonton meskipun pokok ceritanya nampak biasa.

Hampir separuh filem ini merupakan flashback. Ada banyak kritikan dan sindiran baik secara terang-terangan mahupun kiasan dalam dialog dan mise-en-scene. Ia perlu ditonton dengan teliti dan didengar dengan tumpuan. Ia penuh adat, adab, tradisi dan semangat anak bumi, sebagaimana yang dituturkan kepada Aakash (Amit Sadh) oleh bapanya, Gyan (Parikshat Sahni), kurang lebih, "India adalah adat, budaya dan adab" ketika Aakash mempertikaikan bakat-bakat gusti India. Malah, dengan lembut, bapa Aakash 'memarahi' Aakash "Masalah generasi muda adalah kamu melihat yang import semuanya bagus."

Semiotik paling utama ada pada tanah lumpur. Ia bukan hanya menggambarkan bumi India tetapi turut membawa makna bahawa manusia ini asalnya daripada tanah dan kembali kepada tanah. Maka tak usahlah bongkak dan takbur. Hal ini berlaku kepada Sultan (Salman Khan) yang lupa diri ketika zaman kemuncaknya dalam sukan gusti. Ia membawa kepada perlawanan hidupnya yang sebenar; suatu hal dalam diri Sultan yakni pencarian kehormatan. Awalnya sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, kemudian seorang ayah, dan paling tinggi adalah pencarian diri sebagai insan. Sebab itu pada awal filem ini, kita akan dihidangkan dengan kata-kata Sultan, "Wrestling is not a sport. It's fighting what lies within". Dan tanah yang selalu digenggamnya adalah 'from ashes to ashes' sebagai seorang manusia juga perlawanan manusia sebagai 'tanah' itu sendiri. Hal ini juga memiliki signifikannya dengan nama Sultan.

Beberapa lagi mise-en-scene yang memiliki semiotik yang cantik adalah bingkai ketika Aakash melihat Sultan dari luar pejabat, di sebalik jeriji tingkap. Mereka terpisah oleh jeriji ini; Aakash di luar tetapi terpenjara daripada melihat kehebatan 'India' a.k.a Sultan, dan Sultan dipenjara hidupnya ketika itu. Antara yang lain, pada awal filem ini juga kita akan dapat melihat Sultan berada dalam gelanggang melalui tembakan kamera dengan high angle; Sultan seperti berada dalam grid yang sebenarnya adalah tali-tali gegantung. Ini adalah grid kehidupan Sultan yang sebenar (ataupun sepatutnya grid kehidupan kita) yang penuh semangat untuk hidup tetapi sebagai manusia kita ada kerapuhannya. Pada waktu tertentu kita akan terkeluar daripada grid semangat ini.

Filem ini turut mengangkat feminisme menerusi watak Aarfa (Anushka Sharma), seorang atlet gusti wanita yang berimpian untuk memenangi emas di Olimpik. Wataknya kelihatan bijak, tegas, tetapi terdapat juga kerapuhannya sebagai seorang manusia. Aarfa pada awalnya lebih ke hadapan daripada Sultan. Di sinilah, feminisme benar-benar memainkan peranannya, yakni kesamarataan yang adil antara lelaki dan perempuan; kedua-duanya harus saling menghormati. Aarfa perempuan yang memandang rendah terhadap Sultan. Tetapi akhirnya berkahwin juga dengan Sultan setelah 'ditampar' oleh sikapnya sendiri. 

Sehingga ke akhir cerita, filem ini adil pada kesamarataan lelaki-perempuan kecuali, pada naluri keibuan. Naluri ini membatasi naluri seorang ayah. Maka ibulah yang paling tinggi. Ia tidak dapat disangkal atau dibela taraf letaknya walaupun dengan feminisme. Carilah ini dalam dialog Aarfa dan lihatlah reaksi Sultan yang tidak berupaya menjawab apa-apa. Melaluinya kita akan dapat membaca ketinggian darjat seorang ibu.

Dari sudut lainnya, filem ini turut mengkritik status sosial perempuan dalam adat dan budaya India terutamanya di kawasan pedalaman. Wanita tidak diberi hak pendidikan, terkurung di dalam rumah, mengikut adat resam yang bukan-bukan, harus terlalu tunduk kepada lelaki, sehingga ada dialog seorang perempuan tempatan yang berbunyi "Kenapa kamu buli lelaki?". Walau bagaimanapun, ia juga boleh dilihat dari sudut sebaliknya yang kembali kepada 'saling menghormati'. Malah terdapat poster yang menunjukkan kesalingan ini, yang berbunyi (kurang lebih dan tentunya mengikut 'subtitle'):

Jika kamu bakar anak gadis, bagaimana anak lelaki mahu mencari isteri?

Lagu-lagu dalam Sultan memiliki fungsinya masing-masing. Contoh, Baby Ko Bass Pasand Hai, adalah lagu orang angau. It sounds so stupid and childish. Tapi begitulah ciri-ciri orang yang angau. Dan lagu-lagu lain menyimpan semangatnya sementelah filem ini tentang semangat dan perjuangan. Ia menggerakkan cerita. Ia juga bikin saya teringat pada filem autobiografi sukan India, Baag Milka Baag arahan Rakeysh Omprakash Mehra. Apapun, saya suka kesemua lagu dalam Sultan kecuali lagu 440 Volt. Saya fikir jika ia digugurkan daripada filem ini, tidak akan ada apa-apa yang kacau. 

Kebiasaannya, selepas menonton, saya dan Hafiz Latiff memang akan berdiskusi tentang sesebuah filem. Saya perturunkan sedikit pandangan Hafiz Latiff tentang kejanggalan pertuturan bahasa Inggeris oleh Sultan. Kata Hafiz Latiff, ia sindiran kerana sesebuah bahasa boleh ke peringkat dunia dengan penuturnya. Bahasa Inggeris bukan jaminan sesebuah bangsa menjadi maju. Segala-galanya bergantung pada anak bumi bahasa itu sendiri, yang kemudiannya membawa bahasa bersama-samanya. Saya bersetuju. Tak mungkin sebuah filem yang bijak menjadikan karakternya dengan sifat yang saja-saja mahu dicipta. Sementelah pada awalnya lagi filem ini memang mengangkat India sebagai adat, adab dan budaya. Bahasa adalah sebahagian daripadanya. Hafiz Latiff akan bising jika saya bertutur dengannya hanya dalam bahasa Inggeris. Mana bahasa kita? Mungkin sebab ini beliau pantas melihat isu yang diangkat melalui kejanggalan lidah Sultan.

Terdapat satu lagu, Tuk Tuk, yang memiliki rap dalam bahasa Inggeris dan saya lihat lagu inilah yang paling menggambarkan budaya India dalam filem ini. Saya fikir ini adalah kenyataan untuk meneutralkan kejanggalan lidah Sultan. Bahawa tidak salah mempelajari bahasa atau budaya asing tetapi jangan biarkan peratusannya menipu diri kita yang sebenar (jati diri). 

Setelah Bajrangi Bhaijaan pada Aidilfitri tahun lepas, Salman Khan tidak lagi berlakon dalam filem yang sia-sia seperti yang kita pernah tonton suatu masa dahulu. Kita sedia maklum Bajrangi Bhaijaan merupakan sebuah filem yang hebat. Meskipun Sultan tidak sehebat Bajrangi Bhaijaan, Sultan tetap memiliki ketersendiriannya. Anushka juga telah berlakon dalam filem yang bagus sebelum ini seperti P.K yang disebut-sebut ramai, bergandingan dengan Aamir Khan. Saya cuma berharap mereka akan berlakon dalam filem yang lebih bagus daripada ini pada masa akan datang.

Harapnya saya tidak perincikan Sultan dalam ulasan saya ini kerana ia merupakan filem baru. Masih ada di pawagam sekarang. Dan saya selalu mahu para penonton melalui sendiri perjalanan sesebuah filem. A film has its own journey to enjoy, for us to learn the lesson and to read between the lines. That's why a film is made. A film is a life. Begini kepercayaan saya terhadap filem. 

Kadang-kadang penting untuk dihina, untuk dapat kehormatan - Sharief Ali Khan, Sultan


Sayidah Mu'izzah

2 ulasan:

  1. bajrangi baijan punya isu lagi berat, ni sultan belum tengok lagi, harap tengok sultan kat tv tu je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mungkin. Tapi pada saya, semua isu tentang manusia adalah berat. Putus cinta juga berat. Sebab manusia tidak diciptakan untuk hal yang mudah di dunia ini. Gituh. Apapun terpulang pada penonton sendiri. Ini pandangan peribadi saya.

      Sultan kat tivi tu 'slow' sikit. Jangan sampai kena gam. Kihkihkih.

      Padam