Selasa, 19 Julai 2016

GHOSTBUSTERS YANG SARKASTIK



TAHUN : 2016
PENGARAH: Paul Feig
LAKON LAYAR: Katie Dippold & Paul Feig
PARA PELAKON: Melissa McCarthy, Kristen Wiig, Kate McKinnon, Leslie Jones, 
Charles Dance, Neil Casey, Michael Kenneth Williams, 
Chris Hemsworth, Cecily Strong, Karan Soni
NEGARA: Amerika

Secara asasnya dari segi cerita, ia adalah sebuah filem yang biasa. Kita tahu kerangka cerita Ghosbusters, akan ada empat orang penangkap hantu berseragam dengan senjata masing-masing, dan akan keluarlah hantu yang besar memusnahkan bangunan semacam raksasa dalam cerita Ultraman. So why am I watching this film? Ya, sebab dalam filem ini empat orang Ghostbusters adalah perempuan. And I did expect something from the characters. 

Saya tak mampu menulis panjang tentang komedi. Saya tak pandai melucu jadi, untuk bab komedi, para penonton harus tonton dan merasainya sendiri. Apa yang saya boleh katakan, ada banyak adegan untuk kalian tertawa. Tergantung juga sama ada kalian sejenis yang mudah terhibur ataupun tidak.

Premis cerita, adalah Getrude. Hantu dan perempuan. Cantik sekali sebenarnya kewujudan Getrude. Saya tak fikir Getrude sengaja dijadikan sebagai hantu pertama yang muncul dalam filem ini. Apatah lagi kisah silam Getrude yang dijaja adalah pembunuhan yang dilakukannya dan bagaimana dia dikurung di bilik bawah tanah. It's simple. Hantu, perempuan, kutukan dan kurungan dan sampai mati kutukan tidak pernah habis sehingga Garret si penjaga muzium mengatakan  bahawa Sir Aldrige pernah berkata (kurang lebih):

I know God loves me but He might be drunk when He creates Getrude.

Begitu sumpahan untuk perempuan sampai mati; sebenarnya sampai jadi hantu. Then, the real show begin. Empat orang perempuan bergabung sebagai Ghostbusters; Dr. Erin Gilbert (Kristen Wiig), Dr. Abby Yates (Melissa McCarthy), Jillian Holtzman (Kate McKinnon) dan Patty Tolan (Leslie Jones). 

Erin, berusaha bertahun-tahun, terpaksa melobi, terpaksa tunduk sana-sini tetapi akhirnya tidak mendapat pelantikan jawatan yang tetap. Holtzman, perempuan yang tampak maskulin dan Patty, wanita berkulit hitam yang tidak pernah dipedulikan keramahan dan kebaikannya oleh para penumpang subway. Abby tampak seperti tiada masalah. Dia sangat berkeyakinan, 'full with ignorance' untuk terus ke depan. Tidak kisah langsung sama ada orang tahu dan melihat apa yang sedang dia kerjakan. Yang dia tahu dia harus membuktikan dirinya. Sebenarnya dalam keyakinan diri Abby, dia mempunyai masalah dengan 'sup' yang dihantar oleh Benny (Karan Soni).

They are the problems that raised in the name of feminisme. Erin adalah lambang kedudukan wanita dalam dunia kerjaya. Perempuan harus berusaha lebih keras daripada lelaki untuk hal ini. Holtzman, adalah protes wanita terhadap kelelakian. Lihat gayanya dan namanya. Ia terus mengingatkan saya tentang bagaimana suatu masa dahulu perempuan mula menyarung jeans suami mereka dan turun ke jalanan. Patty, wanita kulit hitam dengan hak yang tidak dipedulikan; lihat keadaannya di subway dan dialognya tentang warna kulit ketika dia dibiarkan jatuh ketika di konsert. Dan Abby, lambang perempuan dan persepsi lelaki tentang kecantikan, bahawa cantik adalah kurus. Walaupun Abby seorang pelanggan, Benny tidak memberi hak yang sepatutnya; sup wantan dengan sup yang penuh dan seketul wantan yang dibelah dua, juga sup udang dengan hanya seekor udang di dalamnya. Wantan dan udang sepertinya hal yang kecil tapi inilah apa yang saya sebagai seorang penonton dapat lihat; tentang bagaimana wanita disempitkan dengan persepsi kecantikan oleh lelaki. And thank God. Abby tetap yakin dengan dirinya. Dia tetap menuntut haknya. 

Semua yang bodoh adalah lelaki dalam filem ini. Bermula dengan datuk bandar yang menurut kata-kata pembantunya Jennifer (Cecily Strong), ejen-ejen FBI, polis, askar, dan pembantu Ghostbusters, Kevin (Chris Hemsworth). Ya, Thor yang gagah perkasa dan tampan itu masih tampan dalam filem ini tetapi amatlah dungu dan mencabar kesabaran. Watak antagonis, Rowan North (Neil Casey), seorang lelaki yang genius tetapi dilukis tidak tampan dan memiliki masalah psikologi yang kemudiannya menghancurkan New York. Siapa yang masyarakat perlukan untuk menyelamatkan mereka? Perempuan-perempuan Ghostbusters. 

Satu imejan yang suka berkeliaran dalam kepala saya adalah adegan empat orang Ghostbusters jatuh, dan seluruh gerombolan askar, polis dan pihak berkuasa jatuh bagaikan dominos; bagaimana perempuan-perempuan cerdik dan berkemahiran meruntuhkan lelaki. Tetapi, filem ini juga meletakkan kelemahan pada watak wanita-wanita ini; sebagai contoh Kevin menjadi mangsa Rowan, Ghostbusters menyelamatkannya dan beginilah kejadian perempuan yang penuh kasih-sayang sehingga lelaki yang dungu yang tak ada guna langsung pun masih disayang mereka sama ada sebagai kawan, 'crush', atau pekerja. Its either fidelity or stupidity.

Jadi, Ghostbusters bukan komedi semata-mata. Ia hiburan yang sarkastik. Cuma, kalau mahukan cerita yang tidak klise, Ghostbusters bukanlah pilihan yang tepat kerana acuannya masih sama. 

I think sometimes people actually know what we did. - Abby Yates, Ghostbusters


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan