Rabu, 27 Julai 2016

KOLUMPO: MINI NARATIF YANG BRAVO!


Aku beritahu Sherry al-Hadad "Kak Sherry. Saya dah tonton Kolumpo! Saya suka!"

Dia gelak kemudian membalas " Oh, jangan percaya itu ya. Lakonan semata-mata. Jangan terpengaruh."

Ya, aku suka Kolumpo. Filem-filem pendek yang berpadu di bawah jenama Kolumpo ini memang merangsang fikiran. Itu perkara pertama yang aku kesan. Sebelum jauh aku menaip, aku harus minta maaf kerana aku lupa tajuk ketiga-tiga filem tersebut kerana aku ke panggung untuk filem itu sebagai seorang penonton. Bukan seperti sebelumnya aku ke panggung untuk bertugas menulis ulasan. Aku memang berniat untuk ke sana sebagai seorang penonton tanpa perlu mencatat dalam gelap.

Filem PERTAMA, arahan Bront Palare, bermula dengan ketibaan Rahul (Azad Jazmin) dari India di KLIA. Kemudiannya, Rahul bertemu dengan seorang pemandu 'teksi' (Sabri Yunus) yang menipu wangnya sebanyak RM250 setelah mereka tiba di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Aku suka dialog Sabri Yunus "...after this you can see building-building-building sebuilding-buildingnya." Sinis! Aku suka dengan kesinisan itu walaupun aku benci betul dengan watak tersebut kerana sampai hati menipu manusia yang naif sungguh air mukanya. Jadi, aku kira Sabri Yunus berjaya dengan watak tersebut.

Malang bertimpa-timpa, Rahul yang datang secara halal, menjadi pendatang haram apabila syarikat yang kononnya menawarkan pekerjaan telah ditutup, ditipu oleh seorang tauke kedai mamak, dirampas pasportnya, dipotong upahnya sehingga tiada upah langsung dan disumbat pula ke dalam sebuah rumah yang tersangat sempit dan daif bersama-sama pendatang-pendatang lain yang hampir 20 orang kesemuanya. Aku suka lukisan wajah-wajah pendatang pada kentang yang menjadi makanan mereka sehari-hari. Aku sedih dan rasa berdosa apabila melihat pendatang-pendatang itu makan nasi putih berlaukkan kari dan kentang semata-mata. Aku gelak apabila pendatang-pendatang tersebut mandi, 'berfalsafah', dan saling menuduh. Aku fikir itu keadaan politik kita sekarang dan, ya, keadaan masyarakat kita juga sebenarnya.

Aku suka mise-en-scene yang ada dalam filem tersebut. Aku tertanya pada waktu menonton "Aku fikir aku suka frame filem ini. Siapa D.O.P dia eh?" Aku suka penggunaan 'kentang-kentang berwajah' yang berterabur sewaktu diserbu polis. Kentang itulah mereka kerana 30 tahun mereka di Kuala Lumpur, kentang itulah yang menjadi darah daging mereka. Aku suka apabila Azad Jazmin dikejar oleh Azhan Rani, kemudian terlanggar Farid Kamil yang melihat lokasi penggambaran bersama-sama Sara Ali dan Sara Ali memarahi Farid Kamil "Ni siapa sebenarnya direktor ni? Inilah masalah kalau pelakon nak jadi pengarah!" Aku gelak kerana aku fikir, ini 'jawapan' daripada Bront Palare kerana dia seorang pelakon yang mengarahkan filem tersebut. Sebelum orang lain menuduh, Bront sudah meletakkan tuduhan daripada dirinya kepada dirinya sendiri. Aku tahu, ada orang bising tentang filem yang diarahkan oleh pelakon. Pada aku, tiada masalah dengan hal pelakon menjadi pengarah. Industri filem Malaysia ada ramai pelakon yang menjadi pengarah. 

Penghujung filem tersebut, ada imej burung-burung merpati dalam bingkai. Kalau itu dilambangkan sebagai kebebasan, aku kira itu klise. Tapi aku suka imej kapal terbang yang diambil penuh dari bawah. Oh, cubalah lihat sayap kapal terbang itu. Aku lebih rasakan kebebasan pada imej tersebut.

Secara keseluruhannya, filem ini di tangan Bront Palare yang 'menjelma' sebagai seorang pengarah, memberi cukup perspektif yang positif untuk aku menunggu filem arahan beliau yang seterusnya.

FILEM KEDUA, arahan Rozi Izma juga memiliki sentuhannya tersendiri. Kisah seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia, tidak berkahwin, memiliki seorang ibu yang selalu berusaha mencarikan jodoh untuknya dan dia selalu mengelak untuk menjawab panggilan telefon ibunya itu. Gina (Nell Ng) kemudian bertemu  Nek Wok (Ruminah Sidek). Aku tak perlu perkatakan lakonan Ruminah Sidek. Bagi aku beliau cukup hebat untuk watak-watak apapun. Apabila berlakon, aku langsung lupa beliau adalah Ruminah Sidek dan aku kira, diri beliau juga 'hilang' dalam watak yang dibawa. Nek Wok, seorang perempuan tua yang mengidap Anterograde Amnesia yakni gagal menyimpan memori baru akibat sesebuah kejadian yang traumatik tetapi masih menyimpan memori sebelum kejadian tersebut. Hal di sini adalah hal rumah yang digadaikan untuk pembangunan tetapi pembangunan tersebut tergendala kerana bekas tapak rumah Nek Wok 'gersang-segersang-gersangnya' walaupun ada serumpun tebu dipinggir kawasan. Aku fikir, ini imej untuk peribahasa seperti 'menanam tebu di pinggir bibir'.

Tipisnya, filem ini mengenai seorang anak perempuan yang ada masalah dengan jodoh dan ibunya berusaha kuat mencarikannya jodoh. Kemudian, Nek Wok muncul sebagai bayangan ibunya dan memberikan keinsafan agar Gina tidak lagi 'menderhaka'. Halus! Aku tepuk tangan juga untuk filem ini kerana berjaya mengkritik 'pembangunan' Kuala Lumpur yang suka 'menanam tebu di pinggir bibir', kejam dan traumatik. Segala-galanya ada pada Nek Wok tetapi terima kasih juga untuk Gina yang membawa kebaikan di penghujung cerita.

FILEM KETIGA, aku suka sebab ada Sharifah Amani. Watak yang dibawanya kali ini, selain daripada cameo dalam filem pertama, cukup misteri. Seorang perempuan yang bernama Siti Nur Hayy, yang jatuh entah dari planet mana tiba-tiba meminta Hafidd (Amirul Ariff) menemaninya yang baru putus cinta pada tengah malam. Aku cakap"Perempuan ini gila! Kalau aku, tak akan semudah itu mendekati lelaki, mengajaknya bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur." Yeah, inilah Siti Nur Hay yang tidak menghukum orang. Aku menerimanya walaupun gila. Bukan kerana dia Sharifah Amani tetapi sebab dia Siti Nur Hayy yang tidak menghukum itu. 

Hafidd, seorang pemuda yang mencari kebaikan. Tetapi dalam mencari kebaikan itu, dia mudah menghukum orang. Melihat itu salah dan ini salah. Jadi kebenaran dan kebaikan pada manusia sebenarnya apa dan di mana? Tetapi, dalam masa yang sama, Hafidd sering membela dirinya dengan soalan-soalan "Salahkah aku jika aku tidak pandai main bola? Salahkah aku tidak suka bergaduh? Salahkah aku begitu dan begini?" Itu ironi yang biasa ada dalam diri kebanyakan kita; kita selalu betul, orang lain selalu salah.


Siti Nur Hayy datang menunjukkan bahawa sebagai seorang manusia yang tidak tahu hati budi manusia lain, dan semestinya manusia lain tidak mudah mengenali hati budi kita, tugas menghukum itu bukan kerja kita. Siti Nur Hayy membawa Hafidd mengenali peniaga steamboat berbangsa Cina, membeli steamboat itu dan makan dengan selamba. Hafidd menjeling. Menurut kefahaman aku, jelingan itu disebabkan oleh bangsa peniaga tersebut. Nah, filem ini adalah ujian psikologi penonton itu sendiri. Cuba fikir balik, ketika menonton filem ini, apa yang difikir tentang peniaga tersebut? Mesti ada yang kata, hei, orang Islam tak boleh makan makanan orang Cina! Aku, pada awalnya begitu. Oh, psikologiku sebagai seorang Melayu-Islam-Malaysia tipikal! Memang jika ikut hukum halal-haram, bimbang ada unsur-unsur syubhah. Tetapi, minta ampun. Aku berdosa kerana buruk sangka terlalu cepat. Mana tahu, peniaga Cina itu Cina-Islam? Ada kita tanya; pak cik Muslim? Siti Nur Hayy tidak bertanya kerana pertama, dia mesra dengan Kuala Lumpur. Kedua, dia adalah medium ujian psikologi itu. Terima kasih! Aku tidak lulus ujian pertama.

Kemudian, mereka bertemu Sherry (Sherry al-Hadad) yang mabuk di bahu jalan. Aku gelak melihat Sherry al-Hadad kerana aku kenal beliau sebagai tutor aku yang serius dengan kerja 'tutoring' untuk latihan Randai. Kali pertama aku melihat beliau berlakon pun adalah dalam filem pendek Puntong terbitan syarikat aku adik-beradik; Legasi Oakheart dengan Produksi Bawah Tanah dan wataknya masih watak yang serius. Kali ini, aku lihat wataknya lucu. Ada sesuatu dengan watak lucu ini. Hafidd memandang serong terhadap Sherry yang mabuk dan dia menegaskan kepada Siti Nur Hayy bahawa dia tidak mahu teman wanita yang tidak senonoh begitu. Baginya, tidak senonoh itu tidak baik. Siti Nur Hay terus memulangkan buah paku keras dengan pertanyaan " Habis, kita ni baik sangat?" Ya, kita ni baik sangat?

Siti Nur Hay kemudiannya membawa Hafidd bertemu Nurul Atikah Bin Abdul Rahman yang berdandan, berbaju merah, bersuara garau dan menunggu pelanggan di perhentian bas. Dengan perawakannya yang begitu; wah, pelacur bapuk! Aku kata dalam hati. Nurul Atikah sedih kerana tiada pelanggan. Siti Nur Hayy memberi pendapat bahawa Nurul Atikah harus menukar rambut palsunya. Sebelum itu, Siti Nur Hayy sempat bercanda bahawa Hafidd adalah pelanggan baru. Tetapi apabila Nurul Atikah cuba mendekati Hafidd, Siti Nur Hayy cepat-cepat membetulkan keadaan. Sebelum meminta diri, Nurul Atikah meminta Siti Nur Hayy berjanji untuk menemaninya membeli rambut palsu baru. Aku terkena dengan ujian ini. Nurul Atikah bin Abdul Rahman bukan pelacur bapuk! Dia tauke rambut palsu. Mainan psikologi pada baju merah dan perlakuan, memang menunjukkan dia pelacur bapuk. Seharusnya aku tidak terus menghukum dia sebagai seorang pelacur. Tapi, aku manusia. Tak akan sempurna dan tak akan tidak ada tanggapan pertama. 

Aku tepuk tangan apabila Siti Nur Hayy bercakap tentang wanita sebagai teman hidup dengan kiasan rusuk kiri. Hafidd tidak faham maksud rusuk kiri tersebut. Siti Nur Hay, membuka cardigan, menolak Hafidd dan berkata " Dia ni tak pergi sekolah agamalah!". Aku gelak dan tepuk tangan. Sinis! Sinis! Aku fikir, ini khas untuk orang-orang agama yang berasa dirinya suci-suci-suci-sesuci-sucinya. Aku puas hati kerana pada pihak aku yang hanya bertudung biasa, berselendang biasa yang pernah dipandang atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah ketika kali pertama menghadiri usrah oleh ustazah-ustazah yang bertudung labuh, dan ada yang siap berpurdah. Aku rasa dihina di khalayak begitu. Okey, aku shut down untuk kumpulan itu. Aku juga pernah disela sebagai seorang yang sekular kerana mempelajari undang-undang Barat sewaktu di UIA dulu oleh orang yang kuat sangatlah agamanya sedangkan aku juga belajar undang-undang Islam. Dan, aku juga pernah disela kerana tidak sukakan novel Islami yang penuh dengan tempelan ayat-ayat al-Quran, yang meletakkan watak protagonis sebagai malaikat dan watak antagonis sebagai ibu iblis dan dakwahnya keras. Lalu, penyela itu berkata bahawa mungkin aku bukan orang jemaah. Hah, nak berjemaah macam mana kalau sudah atas-bawah-atas-bawah-atas-bawah begitu? Ini pengalaman aku yang diingatkan oleh Siti Nur Hayy. Memang, psikologi aku diuji secukup-cukupnya dalam filem arahan Sheikh Munasar ini.

Secara keseluruhannya, filem ini filem yang membawa mini naratif. Bukan sahaja mini naratif dalam 'diri' Kuala Lumpur, malah mini naratif dalam diri kita sendiri. Dan, aku ingat-ingat kembali, ini adalah filem Malaysia paling baik yang aku tonton pada tahun ini. Terima kasih, Kolumpo!

*Ulasan ini telah diterbitkan di blog lama pada 18 Disember 2013.


Sayidah Mu'izzah

Selasa, 19 Julai 2016

GHOSTBUSTERS YANG SARKASTIK



TAHUN : 2016
PENGARAH: Paul Feig
LAKON LAYAR: Katie Dippold & Paul Feig
PARA PELAKON: Melissa McCarthy, Kristen Wiig, Kate McKinnon, Leslie Jones, 
Charles Dance, Neil Casey, Michael Kenneth Williams, 
Chris Hemsworth, Cecily Strong, Karan Soni
NEGARA: Amerika

Secara asasnya dari segi cerita, ia adalah sebuah filem yang biasa. Kita tahu kerangka cerita Ghosbusters, akan ada empat orang penangkap hantu berseragam dengan senjata masing-masing, dan akan keluarlah hantu yang besar memusnahkan bangunan semacam raksasa dalam cerita Ultraman. So why am I watching this film? Ya, sebab dalam filem ini empat orang Ghostbusters adalah perempuan. And I did expect something from the characters. 

Saya tak mampu menulis panjang tentang komedi. Saya tak pandai melucu jadi, untuk bab komedi, para penonton harus tonton dan merasainya sendiri. Apa yang saya boleh katakan, ada banyak adegan untuk kalian tertawa. Tergantung juga sama ada kalian sejenis yang mudah terhibur ataupun tidak.

Premis cerita, adalah Getrude. Hantu dan perempuan. Cantik sekali sebenarnya kewujudan Getrude. Saya tak fikir Getrude sengaja dijadikan sebagai hantu pertama yang muncul dalam filem ini. Apatah lagi kisah silam Getrude yang dijaja adalah pembunuhan yang dilakukannya dan bagaimana dia dikurung di bilik bawah tanah. It's simple. Hantu, perempuan, kutukan dan kurungan dan sampai mati kutukan tidak pernah habis sehingga Garret si penjaga muzium mengatakan  bahawa Sir Aldrige pernah berkata (kurang lebih):

I know God loves me but He might be drunk when He creates Getrude.

Begitu sumpahan untuk perempuan sampai mati; sebenarnya sampai jadi hantu. Then, the real show begin. Empat orang perempuan bergabung sebagai Ghostbusters; Dr. Erin Gilbert (Kristen Wiig), Dr. Abby Yates (Melissa McCarthy), Jillian Holtzman (Kate McKinnon) dan Patty Tolan (Leslie Jones). 

Erin, berusaha bertahun-tahun, terpaksa melobi, terpaksa tunduk sana-sini tetapi akhirnya tidak mendapat pelantikan jawatan yang tetap. Holtzman, perempuan yang tampak maskulin dan Patty, wanita berkulit hitam yang tidak pernah dipedulikan keramahan dan kebaikannya oleh para penumpang subway. Abby tampak seperti tiada masalah. Dia sangat berkeyakinan, 'full with ignorance' untuk terus ke depan. Tidak kisah langsung sama ada orang tahu dan melihat apa yang sedang dia kerjakan. Yang dia tahu dia harus membuktikan dirinya. Sebenarnya dalam keyakinan diri Abby, dia mempunyai masalah dengan 'sup' yang dihantar oleh Benny (Karan Soni).

They are the problems that raised in the name of feminisme. Erin adalah lambang kedudukan wanita dalam dunia kerjaya. Perempuan harus berusaha lebih keras daripada lelaki untuk hal ini. Holtzman, adalah protes wanita terhadap kelelakian. Lihat gayanya dan namanya. Ia terus mengingatkan saya tentang bagaimana suatu masa dahulu perempuan mula menyarung jeans suami mereka dan turun ke jalanan. Patty, wanita kulit hitam dengan hak yang tidak dipedulikan; lihat keadaannya di subway dan dialognya tentang warna kulit ketika dia dibiarkan jatuh ketika di konsert. Dan Abby, lambang perempuan dan persepsi lelaki tentang kecantikan, bahawa cantik adalah kurus. Walaupun Abby seorang pelanggan, Benny tidak memberi hak yang sepatutnya; sup wantan dengan sup yang penuh dan seketul wantan yang dibelah dua, juga sup udang dengan hanya seekor udang di dalamnya. Wantan dan udang sepertinya hal yang kecil tapi inilah apa yang saya sebagai seorang penonton dapat lihat; tentang bagaimana wanita disempitkan dengan persepsi kecantikan oleh lelaki. And thank God. Abby tetap yakin dengan dirinya. Dia tetap menuntut haknya. 

Semua yang bodoh adalah lelaki dalam filem ini. Bermula dengan datuk bandar yang menurut kata-kata pembantunya Jennifer (Cecily Strong), ejen-ejen FBI, polis, askar, dan pembantu Ghostbusters, Kevin (Chris Hemsworth). Ya, Thor yang gagah perkasa dan tampan itu masih tampan dalam filem ini tetapi amatlah dungu dan mencabar kesabaran. Watak antagonis, Rowan North (Neil Casey), seorang lelaki yang genius tetapi dilukis tidak tampan dan memiliki masalah psikologi yang kemudiannya menghancurkan New York. Siapa yang masyarakat perlukan untuk menyelamatkan mereka? Perempuan-perempuan Ghostbusters. 

Satu imejan yang suka berkeliaran dalam kepala saya adalah adegan empat orang Ghostbusters jatuh, dan seluruh gerombolan askar, polis dan pihak berkuasa jatuh bagaikan dominos; bagaimana perempuan-perempuan cerdik dan berkemahiran meruntuhkan lelaki. Tetapi, filem ini juga meletakkan kelemahan pada watak wanita-wanita ini; sebagai contoh Kevin menjadi mangsa Rowan, Ghostbusters menyelamatkannya dan beginilah kejadian perempuan yang penuh kasih-sayang sehingga lelaki yang dungu yang tak ada guna langsung pun masih disayang mereka sama ada sebagai kawan, 'crush', atau pekerja. Its either fidelity or stupidity.

Jadi, Ghostbusters bukan komedi semata-mata. Ia hiburan yang sarkastik. Cuma, kalau mahukan cerita yang tidak klise, Ghostbusters bukanlah pilihan yang tepat kerana acuannya masih sama. 

I think sometimes people actually know what we did. - Abby Yates, Ghostbusters


Sayidah Mu'izzah

Khamis, 14 Julai 2016

SULTAN SETELAH BAJRANGI BHAIJAAN



TAHUN : 2016
PENGARAH: Ali Abbas Zafar
LAKON LAYAR: Ali Abbas Zafar
PARA PELAKON: Salman Khan, Anushka Sharma, Randeep Hooda, 
Amit Sadh, Parikshat Sahni, Naveen Kumar, Anant Vidhaat
NEGARA: India

It's a good love story. Keseluruhan filem ini adalah cinta. Ya, kerangka filem Hindi memang tidak akan lari daripada cinta. Tetapi ia memiliki kesejajaran dengan beberapa hal, membuatkan filem ini menjadi filem yang harus ditonton meskipun pokok ceritanya nampak biasa.

Hampir separuh filem ini merupakan flashback. Ada banyak kritikan dan sindiran baik secara terang-terangan mahupun kiasan dalam dialog dan mise-en-scene. Ia perlu ditonton dengan teliti dan didengar dengan tumpuan. Ia penuh adat, adab, tradisi dan semangat anak bumi, sebagaimana yang dituturkan kepada Aakash (Amit Sadh) oleh bapanya, Gyan (Parikshat Sahni), kurang lebih, "India adalah adat, budaya dan adab" ketika Aakash mempertikaikan bakat-bakat gusti India. Malah, dengan lembut, bapa Aakash 'memarahi' Aakash "Masalah generasi muda adalah kamu melihat yang import semuanya bagus."

Semiotik paling utama ada pada tanah lumpur. Ia bukan hanya menggambarkan bumi India tetapi turut membawa makna bahawa manusia ini asalnya daripada tanah dan kembali kepada tanah. Maka tak usahlah bongkak dan takbur. Hal ini berlaku kepada Sultan (Salman Khan) yang lupa diri ketika zaman kemuncaknya dalam sukan gusti. Ia membawa kepada perlawanan hidupnya yang sebenar; suatu hal dalam diri Sultan yakni pencarian kehormatan. Awalnya sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, kemudian seorang ayah, dan paling tinggi adalah pencarian diri sebagai insan. Sebab itu pada awal filem ini, kita akan dihidangkan dengan kata-kata Sultan, "Wrestling is not a sport. It's fighting what lies within". Dan tanah yang selalu digenggamnya adalah 'from ashes to ashes' sebagai seorang manusia juga perlawanan manusia sebagai 'tanah' itu sendiri. Hal ini juga memiliki signifikannya dengan nama Sultan.

Beberapa lagi mise-en-scene yang memiliki semiotik yang cantik adalah bingkai ketika Aakash melihat Sultan dari luar pejabat, di sebalik jeriji tingkap. Mereka terpisah oleh jeriji ini; Aakash di luar tetapi terpenjara daripada melihat kehebatan 'India' a.k.a Sultan, dan Sultan dipenjara hidupnya ketika itu. Antara yang lain, pada awal filem ini juga kita akan dapat melihat Sultan berada dalam gelanggang melalui tembakan kamera dengan high angle; Sultan seperti berada dalam grid yang sebenarnya adalah tali-tali gegantung. Ini adalah grid kehidupan Sultan yang sebenar (ataupun sepatutnya grid kehidupan kita) yang penuh semangat untuk hidup tetapi sebagai manusia kita ada kerapuhannya. Pada waktu tertentu kita akan terkeluar daripada grid semangat ini.

Filem ini turut mengangkat feminisme menerusi watak Aarfa (Anushka Sharma), seorang atlet gusti wanita yang berimpian untuk memenangi emas di Olimpik. Wataknya kelihatan bijak, tegas, tetapi terdapat juga kerapuhannya sebagai seorang manusia. Aarfa pada awalnya lebih ke hadapan daripada Sultan. Di sinilah, feminisme benar-benar memainkan peranannya, yakni kesamarataan yang adil antara lelaki dan perempuan; kedua-duanya harus saling menghormati. Aarfa perempuan yang memandang rendah terhadap Sultan. Tetapi akhirnya berkahwin juga dengan Sultan setelah 'ditampar' oleh sikapnya sendiri. 

Sehingga ke akhir cerita, filem ini adil pada kesamarataan lelaki-perempuan kecuali, pada naluri keibuan. Naluri ini membatasi naluri seorang ayah. Maka ibulah yang paling tinggi. Ia tidak dapat disangkal atau dibela taraf letaknya walaupun dengan feminisme. Carilah ini dalam dialog Aarfa dan lihatlah reaksi Sultan yang tidak berupaya menjawab apa-apa. Melaluinya kita akan dapat membaca ketinggian darjat seorang ibu.

Dari sudut lainnya, filem ini turut mengkritik status sosial perempuan dalam adat dan budaya India terutamanya di kawasan pedalaman. Wanita tidak diberi hak pendidikan, terkurung di dalam rumah, mengikut adat resam yang bukan-bukan, harus terlalu tunduk kepada lelaki, sehingga ada dialog seorang perempuan tempatan yang berbunyi "Kenapa kamu buli lelaki?". Walau bagaimanapun, ia juga boleh dilihat dari sudut sebaliknya yang kembali kepada 'saling menghormati'. Malah terdapat poster yang menunjukkan kesalingan ini, yang berbunyi (kurang lebih dan tentunya mengikut 'subtitle'):

Jika kamu bakar anak gadis, bagaimana anak lelaki mahu mencari isteri?

Lagu-lagu dalam Sultan memiliki fungsinya masing-masing. Contoh, Baby Ko Bass Pasand Hai, adalah lagu orang angau. It sounds so stupid and childish. Tapi begitulah ciri-ciri orang yang angau. Dan lagu-lagu lain menyimpan semangatnya sementelah filem ini tentang semangat dan perjuangan. Ia menggerakkan cerita. Ia juga bikin saya teringat pada filem autobiografi sukan India, Baag Milka Baag arahan Rakeysh Omprakash Mehra. Apapun, saya suka kesemua lagu dalam Sultan kecuali lagu 440 Volt. Saya fikir jika ia digugurkan daripada filem ini, tidak akan ada apa-apa yang kacau. 

Kebiasaannya, selepas menonton, saya dan Hafiz Latiff memang akan berdiskusi tentang sesebuah filem. Saya perturunkan sedikit pandangan Hafiz Latiff tentang kejanggalan pertuturan bahasa Inggeris oleh Sultan. Kata Hafiz Latiff, ia sindiran kerana sesebuah bahasa boleh ke peringkat dunia dengan penuturnya. Bahasa Inggeris bukan jaminan sesebuah bangsa menjadi maju. Segala-galanya bergantung pada anak bumi bahasa itu sendiri, yang kemudiannya membawa bahasa bersama-samanya. Saya bersetuju. Tak mungkin sebuah filem yang bijak menjadikan karakternya dengan sifat yang saja-saja mahu dicipta. Sementelah pada awalnya lagi filem ini memang mengangkat India sebagai adat, adab dan budaya. Bahasa adalah sebahagian daripadanya. Hafiz Latiff akan bising jika saya bertutur dengannya hanya dalam bahasa Inggeris. Mana bahasa kita? Mungkin sebab ini beliau pantas melihat isu yang diangkat melalui kejanggalan lidah Sultan.

Terdapat satu lagu, Tuk Tuk, yang memiliki rap dalam bahasa Inggeris dan saya lihat lagu inilah yang paling menggambarkan budaya India dalam filem ini. Saya fikir ini adalah kenyataan untuk meneutralkan kejanggalan lidah Sultan. Bahawa tidak salah mempelajari bahasa atau budaya asing tetapi jangan biarkan peratusannya menipu diri kita yang sebenar (jati diri). 

Setelah Bajrangi Bhaijaan pada Aidilfitri tahun lepas, Salman Khan tidak lagi berlakon dalam filem yang sia-sia seperti yang kita pernah tonton suatu masa dahulu. Kita sedia maklum Bajrangi Bhaijaan merupakan sebuah filem yang hebat. Meskipun Sultan tidak sehebat Bajrangi Bhaijaan, Sultan tetap memiliki ketersendiriannya. Anushka juga telah berlakon dalam filem yang bagus sebelum ini seperti P.K yang disebut-sebut ramai, bergandingan dengan Aamir Khan. Saya cuma berharap mereka akan berlakon dalam filem yang lebih bagus daripada ini pada masa akan datang.

Harapnya saya tidak perincikan Sultan dalam ulasan saya ini kerana ia merupakan filem baru. Masih ada di pawagam sekarang. Dan saya selalu mahu para penonton melalui sendiri perjalanan sesebuah filem. A film has its own journey to enjoy, for us to learn the lesson and to read between the lines. That's why a film is made. A film is a life. Begini kepercayaan saya terhadap filem. 

Kadang-kadang penting untuk dihina, untuk dapat kehormatan - Sharief Ali Khan, Sultan


Sayidah Mu'izzah