Isnin, 20 Jun 2016

THE GIRL ON THE TRAIN : FIKIRAN SEPERTI GERAKAN BROWN



TAHUN : 2013
PENGARAH: Larry Brand
LAKON LAYAR: Larry Brand
PARA PELAKON: Henry Ian Cusick, Nicki Aycox, Stephen Lang, James Biberi, Charles Aitken
NEGARA: Amerika

Saya baru berkesempatan menonton filem thriller yang dibikin oleh pengarah filem independent, Larry Brand ini. Filemnya serasa singkat, dan saya sebagai penonton seperti "What? Dah habis?".

Danny Hart (Henry Ian Cusack) seorang pembikin filem dokumentari. Jadi kita akan melihat filem ini memiliki teknik cinema verite seperti yang harus terjadi dalam filem dokumentari. Kamera akan bergerak dalam masyarakat, kepada masyarakat, subjek doku, dan ya, it's a recording yang kadang-kadang tampak seperti tidak sempurna (seperti yang berlaku dalam The Blair Witch Project dan Paranormal Activity). Malah filem ini sendiri meski pada waktu Danny tidak merekod, memiliki sinematografi dokumentari. Ketika merekod, Danny Hart bertemu Lexi. Seorang wanita yang misteri, punya cerita tersendiri dan punya misi terhadap cerita tersebut.

The Girl on the Train digarap dengan teknik penceritaan yang menggabungkan soal siasat, rakaman dan imbas kembali. Meskipun ia sebuah produksi independent, pada pandangan saya, Larry Brand menjadikan filem ini sebagai suatu permainan intrigue yang menarik dan berkesan. Ia membawa genre thriller, direalisasikan dengan nyata bermula dengan watak femme fatale pada Lexi dan historical background yang kukuh dari segi psikologinya, kemudian penculikan Hart, seterusnya kepada pembunuhan Cabbie (James Biberi) dan Spider (Charles Aitken). Pada akhirnya kita akan melihat 'kebebasan' Lexi kerana dendamnya terhadap dua lelaki dayus, Cabbie yang sebenarnya bapa tiri yang sering memukul ibunya dan Spider, teman lelaki yang sering memukulnya. 

Suatu hal yang menarik juga pada filem ini adalah dialognya. Ia cukup berfalsafah dan kaya dengan kiasan, seperti "Kadang-kadang kala jengking menyengat walaupun tahu ia akan terkorban". Sesetengah filem mempunyai satu atau dua dialog yang menangkap. Filem ini memiliki banyak dialog seperti itu. Hal yang rumit adalah untuk mengingati semuanya. Jika filem ini sebuah buku, saya pasti harus menyelaknya berkali-kali untuk mencari dialog-dialog tersebut. Atau, ya, ia sebuah filem, saya harus memutar ulang berkali-kali untuk meneliti dialognya.

Terdapat babak yang kelihatan seperti suatu eksperimen bagi menerangkan cerita filem ini. Danny Hart merakam sepasang suami isteri yang sudah tua, sebuah kamera merakam Danny Hart, komputer merakam kesemuanya, Danny Hart menonton rakaman tersebut, Danny Hart menonton dirinya menonton rakaman itu.

Ada beberapa tafsiran yang bermain di dalam kepala saya. Adakah Larry Brand mahu menyatakan bahawa Danny Hart sedang memerangkap dirinya kalau ia merupakan suatu struktur cerita, atau kita adalah subjek dokumentari kita sendiri kalau ia merupakan suatu falsafah. Atau mungkin ia sebuah mainan psikologi sendiri, seperti kita adalah apa yang kita fikir? 

Apapun, The Girl on the Train, meskipun ia terlihat sebagai sebuah thriller yang agak sunyi kerana kita seperti tidak perasan adakah wujud music score yang memberi suasana cerita atau Brand memang berniat dialog sahaja yang harus lebih menonjol sebagai film score beliau, ia sebuah filem yang membuatkan fikiran kita seperti gerakan Brown. Sebab dialognya akan membuatkan kita begitu. Atau mungkin saya yang kurang peka kerana dimanipulasi ucapan-ucapan falsafahnya?

Banyak idea, ideologi, falsafah bergerak seperti zarah gerakan Brown - Lexi Pruitt, The Girl On The Train.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan