Ahad, 26 Jun 2016

RONIN DALAM SETENGAH JAM


JUDUL : Ronin
PENGARANG : Sinaganaga
GENRE : Kumpulan Cerpen dan Prosa
RUMAH PENERBITAN: Laras 99
TAHUN CETAKAN : Tidak dinyatakan
NEGARA : Malaysia
HARGA : RM 15

Buku ini tipis. Halamannya 62 muka surat (err...bahagi dua?). Saya habiskannya dalam masa setengah jam sementara menunggu Mama bersiap untuk keluar moreh. Buku ini suatu hal yang bagus untuk mengisi masa lapang seperti menunggu orang. Baca buku yang nipis. Cepat habis. Tapi, tergantung juga pada isi dalamnya.

Ada tiga cerita daripada beberapa cerita yang benar-benar melekat dalam hati dan kepala saya. Sebab ini saya mahu ulas Ronin. Sebab ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentangnya. Jika tidak, akan jadilah seperti filem Independence Day: Resurgence yang buat otak saya kosong selepas keluar panggung. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak mengulas filem itu. Okey, berbalik kepada Ronin. Tiga cerita yang menarik, yang berlegar-legar dalam kepala saya ialah Ronin (yang menjadi judul buku ini), Perempuan Terakhir Penegak Panji Kesamarataan, Si Pemakan Mimpi.

-------------------------------
RONIN

Saya membesar dengan kartun Jepun dan siri drama Jepun. Jadi Ronin terus menggambarkan latarnya dalam fikiran saya. Beberapa istilah Jepun menambahkan rencah.

Ini kisah tentang Nabuyuki, mantan samurai atau lebih tepat, ronin, samurai yang tidak bertuan, yang sedang menghadap mati. Bahasa dalam cerita ini ringkas tetapi disusun cantik. Contohnya, 'Di luar, kristal-kristal ais jatuh bergemalai'. Ayat ini punya tenaganya sendiri dalam menggambarkan suasana dingin, dengan bunga salju jatuh perlahan-lahan. Sinaganaga tidak menuliskannya dengan klise. 

Sama halnya dengan gambaran darah yang semakin banyak mewarnai pakaian Nabuyuki:

Dipakainya sehelai pakaian warna putih, kemudian. Kuntum-kuntum merah muncul seperti magis pada kain yang tadinya polos. Tanpa akar. Tanpa batang. Tanpa dahan. Tanpa daun. Tanpa kudup. Tanpa ulat beluncas. Dan, lama kelamaan kuntum-kuntum merah itu mengembang mekar, mencantum, sehinggakan tiada lagi tanah putih yang tertinggal.

Ayat ini memang melebih-lebih pada bahagian 'Dan, lama kelamaan kuntum-kuntum merah itu mengembang mekar, mencantum, sehinggakan tiada lagi tanah putih yang tertinggal.' Seperti darahnya kering satu badan dan semuanya keluar mewarnai seluruh pakaiannya. Tetapi ada tenaga yang telah mengaburi ayat yang melebih-lebih ini yakni 'kuntum' dan 'magis'. Ia membuatkan kita melogikkan sahaja bahagian berlebih itu. Kerana ia magis yang berkuntuman. Apapun, saya masih berharap bahagian ini tidak ditulis berlebih-lebihan.

Kekuatan Ronin adalah pada susunan bahasanya yang cantik meskipun bahasa dialognya tidak berada dalam mode puitis. Juga seputar cerita, walaupun hanya tentang seorang Nabuyuki menghadapi ajal, ia sebenarnya merupakan cermin diri sendiri kerana subjeknya dekat dengan pembaca iaitu kematian. Semua orang mati dan akan mati. Dan ia diakhiri dengan persoalan yang serasa ramai yang tertanya-tanya : Apakah kehidupan, pelarian kepada sebuah kematian? Ia suatu hal yang bagus, kerana meninggalkan pembaca dengan persoalan yang signifikan ke dalam diri.

--------------------------------
PEREMPUAN TERAKHIR PENEGAK PANJI KESAMARATAAN

Ini cerpen yang licik, dan bersifat 'agree to disagree' pada perkiraan saya. Disebabkan saya perempuan yang selalu tertarik kepada hal kesamarataan perempuan dalam masyarakat, jadi cerita ini adalah cerita yang paling melekat dalam kepala.

Katsume, bercita-cita ingin menjadi samurai sejak kecil lagi. Tetapi Katsume punya masalah kerana samurai adalah pekerjaan orang lelaki. Jadi, dia hanya membuat kerja-kerja dapur. Namun, Katsume tetap menjadi samurai, malah pahlawan bagi kaum perempuan dalam menegakkan kesamarataan gender. Para lelaki yang anti kesamarataan telah dicantas kepala mereka.

Penghujungnya agak mengecewakan saya kerana saya membaca Katsume, sebagai seorang perempuan. Tetapi, hal yang berlaku adalah sebaliknya. Katsume seorang lelaki. Sorry for the spoiler to those who never read this book. But I need to write this. Sebab saya melihat bahawa isu yang diangkat dalam cerita ini merupakan isu sepanjang zaman. 

Saya berfikiran bahawa pengarang cuba menyatakan begini; lelaki harus melindungi perempuan sedari urusan dapur sehinggalah urusan perang. Inilah kesamarataan. Dan perempuan tak harus berasa lemah kerana mendapat lelaki yang melindungi (bukan mengongkong ya, melindungi). Kerana kesamarataan harus juga berlaku dengan adil. Meletakkan martabat perempuan pada tempatnya. Dan meletakkan martabat lelaki pada tempatnya. Kedua-duanya harus saling menghormati. Katsume, yang sebenarnya seorang lelaki dalam bacaan saya, tidak pula menghalang perempuan berjuang. Inilah bahagian 'agree to disagree' pengarang.

-------------------------------
SI PEMAKAN MIMPI

Watak utamanya seekor naga. Ia tidak pernah kenyang tidak kira apa yang telah ditelannya. Sehingga suatu malam, ia makan mimpi-mimpi para penduduk negeri antah-berantah. Dan hidup naga tersebut jadi tidak aman dek mimpi-mimpi buruk para penduduk. Perenggan yang menarik perhatian saya ialah:

Akhirnya tahulah akan makhluk serupa naga itu, bahawa perlakuan memakan mimpi orang lain itu adalah suatu perbuatan jahat, suatu perbuatan yang tidak mendatangkan faedah apa-apa, dan suatu perbuatan yang tidak harus dilakukan sama sekali oleh makhluk jenis apa sekalipun. Dan tidak kiralah jika mimpi orang lain itu adalah perkara yang buruk-buruk belaka atau jika mimpi orang lain itu adalah perkara yang indah-indah belaka.

Ia semacam pesanan kepada diri pengarang sendiri, kerana watak naga dan nama pena pengarang, Sinaganaga dan tentunya kepada pembaca kerana tentunya cerita ini punya pembaca: tak usahlah sibukkan hal baik dan buruk kehidupan orang lain kalau tiada kena-mengena dengan diri sendiri. Ia perbuatan yang tidak bagus. Pesanan ringkas tetapi disampaikan dalam bentuk aesop's fable. Boleh dibuat bedtime story kalau mahu. Dan sebenarnya, bersesuaian dengan naga sebagai binatang mistikal, gambaran yang ditulis oleh pengarang, memberikan suasana yang magis kepada saya sebagai seorang pembaca. Ia semacam naive art di dalam kepala, semacam realisme magis, semacam surrealisme. Entah kenapa saya gambarkan cerita ini sebagai lukisan. Dan saya sukakan suasananya.

Sinaganaga sebagai pengarang memiliki gaya penceritaan tersendiri yang mudah dikesan. Terkadang kita akan rasa terbuai dengan ayat-ayat lunaknya, kadang-kadang kita akan rasa mahu marah sebab "La, setakat ini saja ceritanya?", kadang-kadang kita rasa, whatever. Perasaannya rencam sebegitu. Apapun, buku nipis ini bukanlah bacaan yang sia-sia. Sekurang-kurangnya setengah jam saya menunggu Mama, diisi dengan buah-buah fikiran. Untuk bacaan santai, untuk rehatkan otak seadanya, buku ini amatlah sesuai. Oh ya, buku ini untuk pembaca matang kerana memiliki kiasan dan lambangnya yang tersendiri tapi tidaklah sampai merosakkan minda. Kalau tidak, saya tak ulas. 


Hafiz, Eja, hidup, sebenarnya, tiada pilihan. Terus hidup - Sinaganaga, Ronin, 2016.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan