Ahad, 19 Jun 2016

NOW YOU SEE ME 2 : DARIPADA HEIST KEPADA CAPER



TAHUN : 2016
PENGARAH: Jon M. Chu
LAKON LAYAR: Ed Solomon
PARA PELAKON: Jesse Eisenberg, Mark Rufallo, Woddy Harrelson, Dave Franco, Lizzy Caplan, Sanaa Lathan, Daniel Radcliffe, Jay Chou, Tsai Chin, Michael Caine, Morgan Freeman
NEGARA: Amerika

Pada awal filem Now You See Me 2 (NYSM2) para penonton diberi 'peringatan' bahawa semua yang dilihat adalah suatu ilusi, kebenaran boleh dilihat sebagai suatu bohongan.

Sebelumnya, sewaktu filem ini dimulakan dengan memori Dylan Shrike (Mark Ruffalo) ketika magic trick yang mengorbankan bapanya, penonton diingatkan juga tentang hal-hal luar duga dalam menguruskan ilusi sendiri. Ini, pada saya, adalah trick awal meletakkan penonton dalam keadaan mahu dan tidak mahu percaya. Ia suatu usaha yang bagus. 

Mise-en-Scene ketika Daniel Atlas (Jesse Eissenberg) bergerak menuju ke sebuah kolong, menggunakan teknik bingkai yang sangat cantik dan sesekali seperti cuba meletakkan ilusi itu sendiri. Tetapi selepasnya, saya perasan, ia tidak diteruskan. Selebihnya adalah magic trick itu sendiri. Filem ini tidak ada masalah untuk membuatkan penonton melekat di kerusi masing-masing kerana ramai orang sukakan silap mata. Jadi, substance yang kuat sudah ada. Tinggal ceritanya dan trick untuk bikin orang teruja. Ini yang memerlukan kerja keras.

Sahabat sepanggung saya, SEFA, bertanya, apakah ini filem heist setelah saya bercerita sedikit tentang NYSM. Saya mengangguk kerana NYSM memang filem heist. Jangkaan saya salah. Dari awal ke akhir cerita ini, ternyata NYSM 2 berbeza daripada NYSM. Kami keluar panggung, berbincang dan saya dapati bahawa ia bukan filem heist. Jadi, saya balik, dengan sedikit carian, dapatan saya bahawa NYSM 2 membawa sub-genre caper. Oleh itu, NYSM dan NYSM 2 membawa genre yang sama tetapi sub-genre berbeza. 

Saya cuba membandingkan kedua-dua filem ini dan saya masih ingat bagaimana saya mendapat nafas yang cukup lepas setelah NYSM berakhir. Detak ceritanya lebih rancak dan lebih sukar diduga kerana ia masuk akal dan tak masuk akal, serentak dalam masa yang sama.

NYSM 2 memiliki banyak titik waktu yang boleh difikirkan bahawa sememangnya ia tidak logik dan ia adalah magic. Jadi kita hanya tunggu untuk disuapkan trick. Tunggu dan tertunggu-tunggu adalah dua hal yang berbeza. 

Dan magic yang memberikan perasaan tertunggu-tunggu hanya ada dua kali. Pertama, babak Daniel Atlas memegunkan hujan dan mengangkat hujan ke atas sambil mencabar bahawa perkara tersebut tidak boleh dilakukan oleh Tuhan. Suatu provokasi yang bijak demi kelangsungan cerita ini kerana manusia memiliki titik sensitif tentang Tuhan dalam diri mereka, tidak kiralah sama ada mereka seorang atheis atau penganut agama apapun.

Magic kedua yang memberikan perasaan tertunggu-tunggu ialah trick ketika babak di dalam pesawat peribadi Walter Mabry (Daniel Radcliffe). Dengan pergaduhan yang jelas main-main (antara yang ada dalam cerita caper as it is more on comical), juga masih main-main sewaktu adik kembar Merritt McKinney iaitu Chase McKinney (Kedua-duanya dilakonkan oleh Woody Harrelson) menghumban mereka keluar dari perut pesawat ketika sedang terbang. Kita tertunggu-tunggu trick bunuh diri yang bakal dipersembahkan oleh mereka.

Oh ya, Daniel Radcliffe memegang watak antagonis dalam cerita ini. Tetapi watak Mabry tidak akan membuatkan kita benci dengan Harry Potter kesayangan ramai ini kerana Mabry hanyalah ahli teknologi muda yang terdesakkan kasih sayang Tresler (Michael Caine), sebagai seorang anak luar nikah.

Secara keseluruhannya, NYSM 2 tidaklah merugikan untuk ditonton kerana banyak persoalan dalam NYSM dijawab dalam filem susulannya ini, bagi yang telah mengikuti filem pertama. Malah masih ada magic trick yang boleh dinikmati.  Kita juga boleh melihat kebarangkalian untuk kemunculan NYSM 3 kerana ada persoalan lagi yang ditinggalkan pada akhir filem. Dan, selera peribadi saya untuk filem ini adalah heist.

Kamu fikir orang yang mencipta watak Joker adalah seorang yang bodoh? Joker bodoh kerana dia tidak ada apa-apa beban. - Bu Bu, Now You See Me 2.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan