Khamis, 30 Jun 2016

GOSIP BERNOTA KAKI: PANDIRISME DALAM KOMUNITI DUNIA



JUDUL : Pandirisme Dalam Komuniti Dunia
PENGARANG : Mohd. Affandi Hassan
GENRE : Kritikan
RUMAH PENERBITAN: Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)
TAHUN CETAKAN : 2016
NEGARA : Malaysia
HARGA : RM 30

Saya tidak ada masalah dengan Teori Persuratan Baru. Malah saya amat senang memikirkan bahawa Malaysia punya teori sasteranya sendiri. Ia menegaskan 'ilmu' sebagai tunjang penulisan. Lebih jauh daripada itu adalah 'ilmu yang benar'. 

Saya bersetuju dengan dakwa-dakwi pengarang tentang kewujudan 'Mutual Admiration Club' dalam dunia sastera. Yakni kelab yang memuji-muji kelompok sendiri. Walau bagaimanapun saya tidak tahu sejauh mana benarnya keterlibatan nama-nama yang acap kali disebut oleh pengarang seperti Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, SN Anwar Ridhwan, atau SN Baha Zain. Tetapi kumpulan sebegini memang wujud. Dan begitulah nama-nama para sasterawan ini berkeliaran dalam buku ini, seperti gosip-gosip panas. Yang tidak tahu menjadi tahu, seperti apakah yang berlaku ketika beberapa orang Sasterawan Negara mahu dinobatkan dengan gelaran tersebut. Banyak lagi perdebatan termasuklah ketidaklayakan karya-karya Sasterawan Negara untuk diangkat sebagai magnum opus sastera Malaysia, kiblat para sasterawan kepada sastera Barat, dan sebagainya. Dan semua ini memiliki nota kakinya sendiri.

Pengarang juga berulang kali menyebut tentang idle talk, humbug, dan bullshit dengan memetik dan mengaplikasi beberapa sumber daripada tokoh-tokoh Barat seperti Prof. Max Black dan Prof. Harry G. Frankfurt, dan tokoh-tokoh lain. Ia disifatkan dengan idea-idea, atau hujah-hujah para Sasterawan Negara, terutamanya SN Muhammad Haji Salleh dan SN Anwar Ridhwan.

Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (PDKD) merupakan sebuah buku yang berani. Saya menyukai keberanian buku ini. Ada sesuatu yang menjentik dan boleh dibawa berfikir. Dan saya kurang menyenanginya dalam masa yang sama dan ia membawa kepada persoalan yang lainnya. Sebelum pergi lebih jauh, saya harus tegaskan, saya tidak pro kepada mana-mana pihak, persatuan, teori, ideologi dan sebagainya. Ini apa yang saya dapat melalui pembacaan.

---------------------------------------------------
MUTUAL ADMIRATION CLUB (MAC) v. GAGASAN PERSURATAN BARU (GPB)

Beza apakah  GPB dengan MAC? Sebab dengan nyata buku ini menyebut satu per satu kekurangan orang lain dan dalam masa yang sama, seperti mengangkat diri sendiri dan kelompok GPB juga. Mungkin hal ini adalah suatu mainan psikologi kerana GPB memang menjadi buah mulut para sasterawan dan ahli akademik. 

Saya pernah mendengar beberapa ahli akademik menyatakan bahawa GPB bukan suatu teori kalau mahu digunakan. Ia sebuah teori yang kabur. Tidak lengkap. Malah apakah konsep ilmu dalam GPB sebenarnya untuk disulamkan dengan cerita? Peratusan sebanyak apakah yang boleh dibahagi antara 'ilmu' dan 'cerita'? Adakah 80% ilmu - 20% cerita, atau 60% ilmu - 40% cerita? Ia masih tidak jelas meskipun sifat didaktiknya nyata, yang membawa kepada persoalan, apakah ia boleh sampai kepada masyarakat yang pelbagai lapis? Sebab ilmu adalah hak setiap manusia. Kita tidak boleh menghukum orang sebagai bodoh hanya kerana dia tidak mencapai takah ilmu kita yang mungkin lebih tinggi dalam bidang tertentu. Ia sememangnya kurang jelas di sini jika pengarang menegaskan hal 'ilmu yang benar'.

Baiklah. Kita katakan mungkin GPB tidak sama dengan MAC yang dinyatakan pengarang. Tetapi jelasnya, buku ini merupakan suatu pembelaan terhadap GPB:

Berasaskan pengalaman yang amat bermakna ini, maka lahirlah Gagasan Persuratan Baru. Memikirkannya sangat sukar kerana keterbatasan ilmu; menghuraikannya menjadi mudah kerana sudah ada persediaan untuk itu. Alhamdulillah. Mahu teori yang lengkap dan sempurna yang bagaimana lagi? Kini di tangan anda sudah ada gagasan Persuratan Baru; paling sedikit yang anda boleh lakukan adalah menolaknya bulat-bulat, dengan hujah yang konkrit, yang hanya akan anda dapat jika anda terlebih dahulu mempunyai persediaan ilmiah untuk mengemukakan alternatif anda sendiri atau sekurang-kurangnya membuat pembetulan wajar. 
(Halaman 62)

Ia suatu kesombongan yang berlapik. Berlapik kerana perkataan 'keterbatasan ilmu' tetapi kemudiannya menganggap 'teori yang lengkap dan sempurna'. Ada beberapa bahagian lagi yang memiliki hal yang sebegini. Tolong jangan cakap, sekurang-kurangnya ia berlapik. Jadi, persoalannya, beza apakah GPB dengan MAC? 

Buku ini adalah sebuah 'love-hate' bagi saya. Saya kagum dengan keberanian pengarang. Kagum dengan ilmunya. Ada hal yang saya setuju. Tetapi saya turut kesal dengan hal-hal terdesak yang terdapat dalam buku ini. Saya tidak mengharapkan pengarang menjadi neutral sebab sebagai seorang pengarang, perlu ada pegangan. Tetapi, ini suatu hal yang dikesali. Mungkin faktor para sasterawan dan ahli akademik tidak terlalu menerima GPB juga mengakibatkan pengarang menulis sebegini. 

Apapun, tugas seorang sarjana adalah memahamkan dan mendekatkan masyarakat kepada ilmu. Dan tidak boleh pula memaksa orang mengiktiraf atau menerimanya. Kita tidak hidup dengan satu lapis masyarakat. 

Dan, tajuk 'Dalam Komuniti Dunia' semacam tidak berapa sesuai. Mungkin lebih sesuai 'Dalam Komuniti Tanah Air' atau 'Malaysia' sebab ia berkeliaran di sekitar masyarakat tempatan sahaja meskipun rujukan datang daripada pelbagai tokoh dari pelbagai negara. Atau, mungkin ini strategi jualan, saya tidak pasti. 

Ini adalah ulasan ringkas. Mungkin ada cerdik pandai yang mahu mengulas dengan lebih dalam?


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan