Rabu, 1 Jun 2016

ADA APA DENGAN CINTA? 2: SENI DAN SASTERA YANG MENYELAMATKAN


TAHUN : 2016
PENGARAH: Riri Riza
LAKON LAYAR: Mira Lesmana, Prima Rusdi
PARA PELAKON: Nicholas Saputra, Dian Sastrowardoyo, Titi Kamal, Adinia Wirasti, Sissy Priscilla, Dennis Adhiswara
NEGARA: Indonesia

Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) hadir dengan perubahan zaman yang ketara, dilukis dari segi watak dan perwatakan, selain para pelakonnya memang mengalami perubahan tersebut juga kerana waktu. 14 tahun bukan waktu yang singkat bukan? Tetapi harus dipuji juga, pengarah tahu mengaturnya dan yang paling menonjol adalah watak-watak ibu yang cerewet itu dan ini, selain daripada pembawakan usia dan kematangan yang lainnya. Tetapi cinta selamanya muda di sini. Ia masih mencari peluang untuk mendekat. 

Pada awal filem, ceritanya lancar dan jelas perkaitan antara satu sama lain. Karmen masuk ke galeri, tampak sedikit 'dalam' personalitinya, seperti mencari sesuatu dari masa lalu dan masa hadapan. Dia memang menemukan Rangga untuk Cinta, yakni kisah masa lalu mereka yang bakal dibawa ke masa hadapan. Begitu perincian wataknya. Cantik begitu. Pantas dan tepat. Adunan watak 4 orang sahabat juga masih mesra meskipun dalam usia berbeza.

Tetapi, setelah ke Jogjakarta dan Cinta bertemu Rangga, waktu jadi terlalu panjang meskipun untuk mereka berdua, seharian keliling-keliling di Kota Jogja itu tidak akan mencukupi. Ia seperti menghalau para penonton, dan ya, biarkan saja Rangga dan Cinta mengait kembali kasih mereka yang 9 tahun terdiam. Kita semua harus keluar dari panggung. Saya sudah bersandar di kepala kerusi. Saya bisikkan kepada Hafiz, filem ini sebenarnya berapa jam? Bersatulah segera Rangga dan Cinta, agar saya boleh cepat pulang. 

Dan, saya  diselamatkan oleh Kota Jogja yang penuh seni, dengan wayang patung kertasnya, dengan Eko Nugroho, galeri Cinta di Jakarta, buku-buku sastera Chairil Anwar, Aan Mansyur dan penulis-penulis lain, kopi-kopi, juga tentunya puisi-puisi yang berkeliaran. Jadi, AADC2 harus dipuji kerana mengangkat seni dan sastera Indonesia meskipun ia dikategorikan sebagai filem pop. Ini antara salah satu fungsi filem sebenar, sebagaimana Korea yang menjadi kegilaan orang kita mempromosikan negara mereka melalui hiburan.

Saya berbual dengan teman sastera dari Jogjakarta tentang AADC2. Katanya, Rangga bukan lagi Chairil. Bahasa Chairil untuk Rangga sudah asing. Ya, kita tahu, yang menuliskan puisi dalam AADC2 ialah Aan. Tentu sekali lenggok bahasanya berbeza. Suatu hal yang elok juga difikirkan adalah perubahan psikologi Rangga sendiri. Selama mana dia di New York dengan penuh kesunyian, seperti itu kita lihat jiwa Rangga tak terisi tanpa cinta. Mungkin saja ini mengubah Chairil dalam diri Rangga kepada Aan. Berontaknya dalam sunyi yang berbeza daripada masa lalu jadi makin tipis, malah jadi lengai kerana mengejar-ngejar cinta lama. Di sini, saya fikir relevan untuk Rangga yang mengalami fasa hidup tertentu yang mengubah dirinya jadi berbeza. Asasnya sendiri digambarkan melalui Rangga dan hidupnya.

Kalau ditanya apakah filem ini memenuhi selera tonton saya? Jawapannya, secara peribadi, tidak. Tetapi ia boleh dikatakan selamat kerana tampil sederhana dengan seni dan sastera Indonesia.

Oh ya, adegan bercumbu yang ditapis untuk masuk ke panggung, ternyata merosakkan kelancaran filem ini. Kalau tak ada adegan tersebut, ia lebih baik dan tidak akan mencacatkan bahkan boleh digantikan dengan sesuatu yang lebih jauh daripada klise sebegini. Hal yang pasti, tanpa cumbu, ia tak akan dipotong tanpa cermat.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan