Khamis, 30 Jun 2016

GOSIP BERNOTA KAKI: PANDIRISME DALAM KOMUNITI DUNIA



JUDUL : Pandirisme Dalam Komuniti Dunia
PENGARANG : Mohd. Affandi Hassan
GENRE : Kritikan
RUMAH PENERBITAN: Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)
TAHUN CETAKAN : 2016
NEGARA : Malaysia
HARGA : RM 30

Saya tidak ada masalah dengan Teori Persuratan Baru. Malah saya amat senang memikirkan bahawa Malaysia punya teori sasteranya sendiri. Ia menegaskan 'ilmu' sebagai tunjang penulisan. Lebih jauh daripada itu adalah 'ilmu yang benar'. 

Saya bersetuju dengan dakwa-dakwi pengarang tentang kewujudan 'Mutual Admiration Club' dalam dunia sastera. Yakni kelab yang memuji-muji kelompok sendiri. Walau bagaimanapun saya tidak tahu sejauh mana benarnya keterlibatan nama-nama yang acap kali disebut oleh pengarang seperti Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, SN Anwar Ridhwan, atau SN Baha Zain. Tetapi kumpulan sebegini memang wujud. Dan begitulah nama-nama para sasterawan ini berkeliaran dalam buku ini, seperti gosip-gosip panas. Yang tidak tahu menjadi tahu, seperti apakah yang berlaku ketika beberapa orang Sasterawan Negara mahu dinobatkan dengan gelaran tersebut. Banyak lagi perdebatan termasuklah ketidaklayakan karya-karya Sasterawan Negara untuk diangkat sebagai magnum opus sastera Malaysia, kiblat para sasterawan kepada sastera Barat, dan sebagainya. Dan semua ini memiliki nota kakinya sendiri.

Pengarang juga berulang kali menyebut tentang idle talk, humbug, dan bullshit dengan memetik dan mengaplikasi beberapa sumber daripada tokoh-tokoh Barat seperti Prof. Max Black dan Prof. Harry G. Frankfurt, dan tokoh-tokoh lain. Ia disifatkan dengan idea-idea, atau hujah-hujah para Sasterawan Negara, terutamanya SN Muhammad Haji Salleh dan SN Anwar Ridhwan.

Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (PDKD) merupakan sebuah buku yang berani. Saya menyukai keberanian buku ini. Ada sesuatu yang menjentik dan boleh dibawa berfikir. Dan saya kurang menyenanginya dalam masa yang sama dan ia membawa kepada persoalan yang lainnya. Sebelum pergi lebih jauh, saya harus tegaskan, saya tidak pro kepada mana-mana pihak, persatuan, teori, ideologi dan sebagainya. Ini apa yang saya dapat melalui pembacaan.

---------------------------------------------------
MUTUAL ADMIRATION CLUB (MAC) v. GAGASAN PERSURATAN BARU (GPB)

Beza apakah  GPB dengan MAC? Sebab dengan nyata buku ini menyebut satu per satu kekurangan orang lain dan dalam masa yang sama, seperti mengangkat diri sendiri dan kelompok GPB juga. Mungkin hal ini adalah suatu mainan psikologi kerana GPB memang menjadi buah mulut para sasterawan dan ahli akademik. 

Saya pernah mendengar beberapa ahli akademik menyatakan bahawa GPB bukan suatu teori kalau mahu digunakan. Ia sebuah teori yang kabur. Tidak lengkap. Malah apakah konsep ilmu dalam GPB sebenarnya untuk disulamkan dengan cerita? Peratusan sebanyak apakah yang boleh dibahagi antara 'ilmu' dan 'cerita'? Adakah 80% ilmu - 20% cerita, atau 60% ilmu - 40% cerita? Ia masih tidak jelas meskipun sifat didaktiknya nyata, yang membawa kepada persoalan, apakah ia boleh sampai kepada masyarakat yang pelbagai lapis? Sebab ilmu adalah hak setiap manusia. Kita tidak boleh menghukum orang sebagai bodoh hanya kerana dia tidak mencapai takah ilmu kita yang mungkin lebih tinggi dalam bidang tertentu. Ia sememangnya kurang jelas di sini jika pengarang menegaskan hal 'ilmu yang benar'.

Baiklah. Kita katakan mungkin GPB tidak sama dengan MAC yang dinyatakan pengarang. Tetapi jelasnya, buku ini merupakan suatu pembelaan terhadap GPB:

Berasaskan pengalaman yang amat bermakna ini, maka lahirlah Gagasan Persuratan Baru. Memikirkannya sangat sukar kerana keterbatasan ilmu; menghuraikannya menjadi mudah kerana sudah ada persediaan untuk itu. Alhamdulillah. Mahu teori yang lengkap dan sempurna yang bagaimana lagi? Kini di tangan anda sudah ada gagasan Persuratan Baru; paling sedikit yang anda boleh lakukan adalah menolaknya bulat-bulat, dengan hujah yang konkrit, yang hanya akan anda dapat jika anda terlebih dahulu mempunyai persediaan ilmiah untuk mengemukakan alternatif anda sendiri atau sekurang-kurangnya membuat pembetulan wajar. 
(Halaman 62)

Ia suatu kesombongan yang berlapik. Berlapik kerana perkataan 'keterbatasan ilmu' tetapi kemudiannya menganggap 'teori yang lengkap dan sempurna'. Ada beberapa bahagian lagi yang memiliki hal yang sebegini. Tolong jangan cakap, sekurang-kurangnya ia berlapik. Jadi, persoalannya, beza apakah GPB dengan MAC? 

Buku ini adalah sebuah 'love-hate' bagi saya. Saya kagum dengan keberanian pengarang. Kagum dengan ilmunya. Ada hal yang saya setuju. Tetapi saya turut kesal dengan hal-hal terdesak yang terdapat dalam buku ini. Saya tidak mengharapkan pengarang menjadi neutral sebab sebagai seorang pengarang, perlu ada pegangan. Tetapi, ini suatu hal yang dikesali. Mungkin faktor para sasterawan dan ahli akademik tidak terlalu menerima GPB juga mengakibatkan pengarang menulis sebegini. 

Apapun, tugas seorang sarjana adalah memahamkan dan mendekatkan masyarakat kepada ilmu. Dan tidak boleh pula memaksa orang mengiktiraf atau menerimanya. Kita tidak hidup dengan satu lapis masyarakat. 

Dan, tajuk 'Dalam Komuniti Dunia' semacam tidak berapa sesuai. Mungkin lebih sesuai 'Dalam Komuniti Tanah Air' atau 'Malaysia' sebab ia berkeliaran di sekitar masyarakat tempatan sahaja meskipun rujukan datang daripada pelbagai tokoh dari pelbagai negara. Atau, mungkin ini strategi jualan, saya tidak pasti. 

Ini adalah ulasan ringkas. Mungkin ada cerdik pandai yang mahu mengulas dengan lebih dalam?


Sayidah Mu'izzah

Ahad, 26 Jun 2016

RONIN DALAM SETENGAH JAM


JUDUL : Ronin
PENGARANG : Sinaganaga
GENRE : Kumpulan Cerpen dan Prosa
RUMAH PENERBITAN: Laras 99
TAHUN CETAKAN : Tidak dinyatakan
NEGARA : Malaysia
HARGA : RM 15

Buku ini tipis. Halamannya 62 muka surat (err...bahagi dua?). Saya habiskannya dalam masa setengah jam sementara menunggu Mama bersiap untuk keluar moreh. Buku ini suatu hal yang bagus untuk mengisi masa lapang seperti menunggu orang. Baca buku yang nipis. Cepat habis. Tapi, tergantung juga pada isi dalamnya.

Ada tiga cerita daripada beberapa cerita yang benar-benar melekat dalam hati dan kepala saya. Sebab ini saya mahu ulas Ronin. Sebab ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentangnya. Jika tidak, akan jadilah seperti filem Independence Day: Resurgence yang buat otak saya kosong selepas keluar panggung. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak mengulas filem itu. Okey, berbalik kepada Ronin. Tiga cerita yang menarik, yang berlegar-legar dalam kepala saya ialah Ronin (yang menjadi judul buku ini), Perempuan Terakhir Penegak Panji Kesamarataan, Si Pemakan Mimpi.

-------------------------------
RONIN

Saya membesar dengan kartun Jepun dan siri drama Jepun. Jadi Ronin terus menggambarkan latarnya dalam fikiran saya. Beberapa istilah Jepun menambahkan rencah.

Ini kisah tentang Nabuyuki, mantan samurai atau lebih tepat, ronin, samurai yang tidak bertuan, yang sedang menghadap mati. Bahasa dalam cerita ini ringkas tetapi disusun cantik. Contohnya, 'Di luar, kristal-kristal ais jatuh bergemalai'. Ayat ini punya tenaganya sendiri dalam menggambarkan suasana dingin, dengan bunga salju jatuh perlahan-lahan. Sinaganaga tidak menuliskannya dengan klise. 

Sama halnya dengan gambaran darah yang semakin banyak mewarnai pakaian Nabuyuki:

Dipakainya sehelai pakaian warna putih, kemudian. Kuntum-kuntum merah muncul seperti magis pada kain yang tadinya polos. Tanpa akar. Tanpa batang. Tanpa dahan. Tanpa daun. Tanpa kudup. Tanpa ulat beluncas. Dan, lama kelamaan kuntum-kuntum merah itu mengembang mekar, mencantum, sehinggakan tiada lagi tanah putih yang tertinggal.

Ayat ini memang melebih-lebih pada bahagian 'Dan, lama kelamaan kuntum-kuntum merah itu mengembang mekar, mencantum, sehinggakan tiada lagi tanah putih yang tertinggal.' Seperti darahnya kering satu badan dan semuanya keluar mewarnai seluruh pakaiannya. Tetapi ada tenaga yang telah mengaburi ayat yang melebih-lebih ini yakni 'kuntum' dan 'magis'. Ia membuatkan kita melogikkan sahaja bahagian berlebih itu. Kerana ia magis yang berkuntuman. Apapun, saya masih berharap bahagian ini tidak ditulis berlebih-lebihan.

Kekuatan Ronin adalah pada susunan bahasanya yang cantik meskipun bahasa dialognya tidak berada dalam mode puitis. Juga seputar cerita, walaupun hanya tentang seorang Nabuyuki menghadapi ajal, ia sebenarnya merupakan cermin diri sendiri kerana subjeknya dekat dengan pembaca iaitu kematian. Semua orang mati dan akan mati. Dan ia diakhiri dengan persoalan yang serasa ramai yang tertanya-tanya : Apakah kehidupan, pelarian kepada sebuah kematian? Ia suatu hal yang bagus, kerana meninggalkan pembaca dengan persoalan yang signifikan ke dalam diri.

--------------------------------
PEREMPUAN TERAKHIR PENEGAK PANJI KESAMARATAAN

Ini cerpen yang licik, dan bersifat 'agree to disagree' pada perkiraan saya. Disebabkan saya perempuan yang selalu tertarik kepada hal kesamarataan perempuan dalam masyarakat, jadi cerita ini adalah cerita yang paling melekat dalam kepala.

Katsume, bercita-cita ingin menjadi samurai sejak kecil lagi. Tetapi Katsume punya masalah kerana samurai adalah pekerjaan orang lelaki. Jadi, dia hanya membuat kerja-kerja dapur. Namun, Katsume tetap menjadi samurai, malah pahlawan bagi kaum perempuan dalam menegakkan kesamarataan gender. Para lelaki yang anti kesamarataan telah dicantas kepala mereka.

Penghujungnya agak mengecewakan saya kerana saya membaca Katsume, sebagai seorang perempuan. Tetapi, hal yang berlaku adalah sebaliknya. Katsume seorang lelaki. Sorry for the spoiler to those who never read this book. But I need to write this. Sebab saya melihat bahawa isu yang diangkat dalam cerita ini merupakan isu sepanjang zaman. 

Saya berfikiran bahawa pengarang cuba menyatakan begini; lelaki harus melindungi perempuan sedari urusan dapur sehinggalah urusan perang. Inilah kesamarataan. Dan perempuan tak harus berasa lemah kerana mendapat lelaki yang melindungi (bukan mengongkong ya, melindungi). Kerana kesamarataan harus juga berlaku dengan adil. Meletakkan martabat perempuan pada tempatnya. Dan meletakkan martabat lelaki pada tempatnya. Kedua-duanya harus saling menghormati. Katsume, yang sebenarnya seorang lelaki dalam bacaan saya, tidak pula menghalang perempuan berjuang. Inilah bahagian 'agree to disagree' pengarang.

-------------------------------
SI PEMAKAN MIMPI

Watak utamanya seekor naga. Ia tidak pernah kenyang tidak kira apa yang telah ditelannya. Sehingga suatu malam, ia makan mimpi-mimpi para penduduk negeri antah-berantah. Dan hidup naga tersebut jadi tidak aman dek mimpi-mimpi buruk para penduduk. Perenggan yang menarik perhatian saya ialah:

Akhirnya tahulah akan makhluk serupa naga itu, bahawa perlakuan memakan mimpi orang lain itu adalah suatu perbuatan jahat, suatu perbuatan yang tidak mendatangkan faedah apa-apa, dan suatu perbuatan yang tidak harus dilakukan sama sekali oleh makhluk jenis apa sekalipun. Dan tidak kiralah jika mimpi orang lain itu adalah perkara yang buruk-buruk belaka atau jika mimpi orang lain itu adalah perkara yang indah-indah belaka.

Ia semacam pesanan kepada diri pengarang sendiri, kerana watak naga dan nama pena pengarang, Sinaganaga dan tentunya kepada pembaca kerana tentunya cerita ini punya pembaca: tak usahlah sibukkan hal baik dan buruk kehidupan orang lain kalau tiada kena-mengena dengan diri sendiri. Ia perbuatan yang tidak bagus. Pesanan ringkas tetapi disampaikan dalam bentuk aesop's fable. Boleh dibuat bedtime story kalau mahu. Dan sebenarnya, bersesuaian dengan naga sebagai binatang mistikal, gambaran yang ditulis oleh pengarang, memberikan suasana yang magis kepada saya sebagai seorang pembaca. Ia semacam naive art di dalam kepala, semacam realisme magis, semacam surrealisme. Entah kenapa saya gambarkan cerita ini sebagai lukisan. Dan saya sukakan suasananya.

Sinaganaga sebagai pengarang memiliki gaya penceritaan tersendiri yang mudah dikesan. Terkadang kita akan rasa terbuai dengan ayat-ayat lunaknya, kadang-kadang kita akan rasa mahu marah sebab "La, setakat ini saja ceritanya?", kadang-kadang kita rasa, whatever. Perasaannya rencam sebegitu. Apapun, buku nipis ini bukanlah bacaan yang sia-sia. Sekurang-kurangnya setengah jam saya menunggu Mama, diisi dengan buah-buah fikiran. Untuk bacaan santai, untuk rehatkan otak seadanya, buku ini amatlah sesuai. Oh ya, buku ini untuk pembaca matang kerana memiliki kiasan dan lambangnya yang tersendiri tapi tidaklah sampai merosakkan minda. Kalau tidak, saya tak ulas. 


Hafiz, Eja, hidup, sebenarnya, tiada pilihan. Terus hidup - Sinaganaga, Ronin, 2016.


Sayidah Mu'izzah

Isnin, 20 Jun 2016

THE GIRL ON THE TRAIN : FIKIRAN SEPERTI GERAKAN BROWN



TAHUN : 2013
PENGARAH: Larry Brand
LAKON LAYAR: Larry Brand
PARA PELAKON: Henry Ian Cusick, Nicki Aycox, Stephen Lang, James Biberi, Charles Aitken
NEGARA: Amerika

Saya baru berkesempatan menonton filem thriller yang dibikin oleh pengarah filem independent, Larry Brand ini. Filemnya serasa singkat, dan saya sebagai penonton seperti "What? Dah habis?".

Danny Hart (Henry Ian Cusack) seorang pembikin filem dokumentari. Jadi kita akan melihat filem ini memiliki teknik cinema verite seperti yang harus terjadi dalam filem dokumentari. Kamera akan bergerak dalam masyarakat, kepada masyarakat, subjek doku, dan ya, it's a recording yang kadang-kadang tampak seperti tidak sempurna (seperti yang berlaku dalam The Blair Witch Project dan Paranormal Activity). Malah filem ini sendiri meski pada waktu Danny tidak merekod, memiliki sinematografi dokumentari. Ketika merekod, Danny Hart bertemu Lexi. Seorang wanita yang misteri, punya cerita tersendiri dan punya misi terhadap cerita tersebut.

The Girl on the Train digarap dengan teknik penceritaan yang menggabungkan soal siasat, rakaman dan imbas kembali. Meskipun ia sebuah produksi independent, pada pandangan saya, Larry Brand menjadikan filem ini sebagai suatu permainan intrigue yang menarik dan berkesan. Ia membawa genre thriller, direalisasikan dengan nyata bermula dengan watak femme fatale pada Lexi dan historical background yang kukuh dari segi psikologinya, kemudian penculikan Hart, seterusnya kepada pembunuhan Cabbie (James Biberi) dan Spider (Charles Aitken). Pada akhirnya kita akan melihat 'kebebasan' Lexi kerana dendamnya terhadap dua lelaki dayus, Cabbie yang sebenarnya bapa tiri yang sering memukul ibunya dan Spider, teman lelaki yang sering memukulnya. 

Suatu hal yang menarik juga pada filem ini adalah dialognya. Ia cukup berfalsafah dan kaya dengan kiasan, seperti "Kadang-kadang kala jengking menyengat walaupun tahu ia akan terkorban". Sesetengah filem mempunyai satu atau dua dialog yang menangkap. Filem ini memiliki banyak dialog seperti itu. Hal yang rumit adalah untuk mengingati semuanya. Jika filem ini sebuah buku, saya pasti harus menyelaknya berkali-kali untuk mencari dialog-dialog tersebut. Atau, ya, ia sebuah filem, saya harus memutar ulang berkali-kali untuk meneliti dialognya.

Terdapat babak yang kelihatan seperti suatu eksperimen bagi menerangkan cerita filem ini. Danny Hart merakam sepasang suami isteri yang sudah tua, sebuah kamera merakam Danny Hart, komputer merakam kesemuanya, Danny Hart menonton rakaman tersebut, Danny Hart menonton dirinya menonton rakaman itu.

Ada beberapa tafsiran yang bermain di dalam kepala saya. Adakah Larry Brand mahu menyatakan bahawa Danny Hart sedang memerangkap dirinya kalau ia merupakan suatu struktur cerita, atau kita adalah subjek dokumentari kita sendiri kalau ia merupakan suatu falsafah. Atau mungkin ia sebuah mainan psikologi sendiri, seperti kita adalah apa yang kita fikir? 

Apapun, The Girl on the Train, meskipun ia terlihat sebagai sebuah thriller yang agak sunyi kerana kita seperti tidak perasan adakah wujud music score yang memberi suasana cerita atau Brand memang berniat dialog sahaja yang harus lebih menonjol sebagai film score beliau, ia sebuah filem yang membuatkan fikiran kita seperti gerakan Brown. Sebab dialognya akan membuatkan kita begitu. Atau mungkin saya yang kurang peka kerana dimanipulasi ucapan-ucapan falsafahnya?

Banyak idea, ideologi, falsafah bergerak seperti zarah gerakan Brown - Lexi Pruitt, The Girl On The Train.


Sayidah Mu'izzah

Ahad, 19 Jun 2016

NOW YOU SEE ME 2 : DARIPADA HEIST KEPADA CAPER



TAHUN : 2016
PENGARAH: Jon M. Chu
LAKON LAYAR: Ed Solomon
PARA PELAKON: Jesse Eisenberg, Mark Rufallo, Woddy Harrelson, Dave Franco, Lizzy Caplan, Sanaa Lathan, Daniel Radcliffe, Jay Chou, Tsai Chin, Michael Caine, Morgan Freeman
NEGARA: Amerika

Pada awal filem Now You See Me 2 (NYSM2) para penonton diberi 'peringatan' bahawa semua yang dilihat adalah suatu ilusi, kebenaran boleh dilihat sebagai suatu bohongan.

Sebelumnya, sewaktu filem ini dimulakan dengan memori Dylan Shrike (Mark Ruffalo) ketika magic trick yang mengorbankan bapanya, penonton diingatkan juga tentang hal-hal luar duga dalam menguruskan ilusi sendiri. Ini, pada saya, adalah trick awal meletakkan penonton dalam keadaan mahu dan tidak mahu percaya. Ia suatu usaha yang bagus. 

Mise-en-Scene ketika Daniel Atlas (Jesse Eissenberg) bergerak menuju ke sebuah kolong, menggunakan teknik bingkai yang sangat cantik dan sesekali seperti cuba meletakkan ilusi itu sendiri. Tetapi selepasnya, saya perasan, ia tidak diteruskan. Selebihnya adalah magic trick itu sendiri. Filem ini tidak ada masalah untuk membuatkan penonton melekat di kerusi masing-masing kerana ramai orang sukakan silap mata. Jadi, substance yang kuat sudah ada. Tinggal ceritanya dan trick untuk bikin orang teruja. Ini yang memerlukan kerja keras.

Sahabat sepanggung saya, SEFA, bertanya, apakah ini filem heist setelah saya bercerita sedikit tentang NYSM. Saya mengangguk kerana NYSM memang filem heist. Jangkaan saya salah. Dari awal ke akhir cerita ini, ternyata NYSM 2 berbeza daripada NYSM. Kami keluar panggung, berbincang dan saya dapati bahawa ia bukan filem heist. Jadi, saya balik, dengan sedikit carian, dapatan saya bahawa NYSM 2 membawa sub-genre caper. Oleh itu, NYSM dan NYSM 2 membawa genre yang sama tetapi sub-genre berbeza. 

Saya cuba membandingkan kedua-dua filem ini dan saya masih ingat bagaimana saya mendapat nafas yang cukup lepas setelah NYSM berakhir. Detak ceritanya lebih rancak dan lebih sukar diduga kerana ia masuk akal dan tak masuk akal, serentak dalam masa yang sama.

NYSM 2 memiliki banyak titik waktu yang boleh difikirkan bahawa sememangnya ia tidak logik dan ia adalah magic. Jadi kita hanya tunggu untuk disuapkan trick. Tunggu dan tertunggu-tunggu adalah dua hal yang berbeza. 

Dan magic yang memberikan perasaan tertunggu-tunggu hanya ada dua kali. Pertama, babak Daniel Atlas memegunkan hujan dan mengangkat hujan ke atas sambil mencabar bahawa perkara tersebut tidak boleh dilakukan oleh Tuhan. Suatu provokasi yang bijak demi kelangsungan cerita ini kerana manusia memiliki titik sensitif tentang Tuhan dalam diri mereka, tidak kiralah sama ada mereka seorang atheis atau penganut agama apapun.

Magic kedua yang memberikan perasaan tertunggu-tunggu ialah trick ketika babak di dalam pesawat peribadi Walter Mabry (Daniel Radcliffe). Dengan pergaduhan yang jelas main-main (antara yang ada dalam cerita caper as it is more on comical), juga masih main-main sewaktu adik kembar Merritt McKinney iaitu Chase McKinney (Kedua-duanya dilakonkan oleh Woody Harrelson) menghumban mereka keluar dari perut pesawat ketika sedang terbang. Kita tertunggu-tunggu trick bunuh diri yang bakal dipersembahkan oleh mereka.

Oh ya, Daniel Radcliffe memegang watak antagonis dalam cerita ini. Tetapi watak Mabry tidak akan membuatkan kita benci dengan Harry Potter kesayangan ramai ini kerana Mabry hanyalah ahli teknologi muda yang terdesakkan kasih sayang Tresler (Michael Caine), sebagai seorang anak luar nikah.

Secara keseluruhannya, NYSM 2 tidaklah merugikan untuk ditonton kerana banyak persoalan dalam NYSM dijawab dalam filem susulannya ini, bagi yang telah mengikuti filem pertama. Malah masih ada magic trick yang boleh dinikmati.  Kita juga boleh melihat kebarangkalian untuk kemunculan NYSM 3 kerana ada persoalan lagi yang ditinggalkan pada akhir filem. Dan, selera peribadi saya untuk filem ini adalah heist.

Kamu fikir orang yang mencipta watak Joker adalah seorang yang bodoh? Joker bodoh kerana dia tidak ada apa-apa beban. - Bu Bu, Now You See Me 2.


Sayidah Mu'izzah

Jumaat, 10 Jun 2016

THE CONJURING 2: SEBUAH PELARIAN KLISE


TAHUN : 2016
PENGARAH: James Wan
LAKON LAYAR: Chad Hayes, Carey Hayes, David Leslie Johnson, James Wan
PARA PELAKON: Vera Farmiga, Patrick Wilson, Frances O' Connor, Madison Wolfe,
Franka Potente, Bonnie Aarons, Bob Adrian
NEGARA: Amerika

The Conjuring 2 dimulakan terus kepada premisnya, kejadian supernatural dan pasangan Warren, Ed (Patrick Wilson) dan Lorraine (Vera Farmiga) yang cuba membantu mangsa paranormal. Terdapat dua kes yang dipertontonkan tetapi kes majornya adalah keluarga Hodgson di Einfield, England.

Mise-en-scene filem ini ditempatkan dengan cantik sekali. Suasana pada tahun 70-an sangat jelas tergambar malah pewarnaannya (coloring) sangat membantu. Kita dapat melihat James Wan dalam pencahayaan filemnya ini. Music Scoring oleh Joseph Bishara dengan kesenyapan suasana diadun seimbang. And we know that James Wan is really expert to give us 'heart-attack'. Yes, he did it. Again. James Wan tahu bahawa gelombang seram dalam filemnya harus terjaga. Oleh sebab itu, kejutan yang pertama harus memberi kesan untuk memastikan penonton berada dalam gelombang seram tersebut sehingga ke penamat cerita.

Substance James Wan dalam watak dan perwatakan adalah kekeluargaan. Ia adalah sesuatu yang sangat perlu dijaga. Maka, hal ini adalah suatu elemen yang berkesan untuk memberi rasa kucar-kacir kerana perasaan bimbang dan mahu menjaga. Ia masih kekal begitu. Unsur romantik yang bersahaja pada watak Ed dan Lorraine juga masih kekal malah ia menjadi lebih kuat, malah sedikit tearjerking, pada adegan di kolong bawah rumah, yakni babak perleraian bagi filem ini. 

Background characteristic amat terjaga. Kemunculan paranormal adalah berpunca daripada percubaan Janet (Madison Wolfe) bermain Ouija. Hal ini disebabkan oleh kekosongan dalam diri yang merindukan ayahnya yang menghilangkan diri. Dia mahu roh sesiapa menjawab persoalan tentang ayahnya. Ini memudahkan kerja para hantu dan syaitan. Kekosongan jiwa ini kemudiannya menjadikan Valak (Bonnie Aarons) semakin berkuasa ke atas Janet sekali gus dipergunakan untuk membunuh Ed Warren.

Sebenarnya, secara selapis, The Conjuring 2 adalah klise. Tetapi James Wan dilihat cuba untuk tidak menjadi seperti itu. Oleh sebab itu kita akan dapat melihat beberapa hal yang menarik seperti unsur humor yang berjaya memecahkan tawa penonton dalam panggung dan memberi sedikit kelegaan akibat kejutan. Selain daripada itu, kita tidak akan melihat rawatan major terhadap mangsa rasuk, atau alat pengesan aktiviti paranormal yang dipasang pada setiap penjuru rumah. Malah kamera yang cuba merakam kejadian paranormal tidak berada di dalam rumah (selain daripada kamera media). Bill Wilkins (Bob Adrian), poltergeist di rumah Hodgson juga agak 'ramah'. Percubaan James Wan boleh dikatakan menjadi.

Tidak tahu siapa yang lebih teruk. Adakah hantu syaitan atau orang yang mengambil kesempatan terhadap kepercayaan orang lain. - Anita Gregory, The Conjuring 2.


Sayidah Mu'izzah

DEMOLITION : KUDA-KUDA KARUSEL YANG MELIGAS


TAHUN : 2016
PENGARAH: Jean-Marc Valee
LAKON LAYAR: Bryan Sipe
PARA PELAKON: Jake Gyllenhall, Naomi Watts, Judah Lewis, Chris Cooper
NEGARA: Amerika

It took me some time to find the substance of this film. Why this film was made? Where the film wants to bring me? Such a confuse, but few days back, in the morning, I woke up, sat on my bed, and I have found this, the carousel of life. And the roller-coaster...errr... of life?

Davis (Jake Gyllenhall) kematian isterinya, Julia akibat kemalangan. Selepasnya, tanpa sebarang reaksi sedih, kita akan mengikut filem ini sekosong-kosongnya dan tiada arah tuju melainkan cuba untuk merasakan hidup. Davis sebelumnya tidak peka dengan keadaan sekeliling mula merasakan bahawa ada kehidupan di sekitarnya, dan sedar akan hal yang sekecil-kecilnya walaupun ia hanyalah tupai yang sedang melompat di atas tanah, ketika dia sedang memandu.

Sesuatu yang menarik, Davis meluahkan kesedihannya (yang dia tidak sedar bahawa dia sedang bersedih) melalui surat yang ditulis sebagai aduan untuk vendor machine yang rosak di hospital ketika dia menguruskan kematian Julia - coklat M&M tersekat. Karen Moreno (Naomi Watts) yang bekerja di jabatan perkhidmatan pelanggan, membaca surat-surat tersebut dan dia sering mengekori Davis. Mereka kemudiannya berkenalan, Davis menjadi kawan baik Chris (Judah Lewis), anak lelaki Karen, dan mereka cuba untuk merasai kehidupan melalui kesakitan dan kewujudan diri.

Keseluruhannya, filem ini seakan hampir kepada bosan. Tetapi saya percaya ada sesuatu pada kebosanan sesebuah filem, tinggal penonton sahaja menjumpai sesuatu itu ataupun tidak, ataupun sesuatu itu benar wujud ataupun tidak. 

Gyllenhall membawa kekosongannya dengan sangat berwibawa. Kita tak dapat menjumpai apa-apa pada sinar matanya, tidak kiralah sewaktu dia tersenyum ataupun cuba untuk bersedih mahupun sedang dalam kesakitan (ketika ditembak dan terpijak paku). Ia berlanjutan sehinggalah pada suatu hari ketika Davis merobohkan rumah, dia menjumpai sampul surat yang mengandungi gambar imbasan ultra sound. Julia pernah hamil. 

Hal ini memberikan sesuatu kepada Davis. Walapun bayi itu sudah tiada, bayi tetap membawa simbol kelahiran. Inilah cerminan yang ada pada Davis. Davis seperti mengalami suatu kelahiran semula. Kesakitan mulai menjalar dalam dirinya; suatu hal yang manusia tidak dapat lari apabila mulai hidup di dunia.

Davis mula bercukur dan bersiap diri. Dan kemudian dia menghadiri upacara memperingati mendiang Julia, lalu mempersoalkan hal bayi kandungan Julia. Kesakitan yang benar datang apabila dia mendapat tahu bahawa bayi tersebut bukan anaknya. Pada waktu inilah kerobohan dirinya benar-benar berlaku. Dia mula berupaya merasai kesedihan, menangis, mencintai dan kehilangan.

Dalam filem ini, watak seorang pak cik yang memiliki karusel buruk kelihatan tidak memberi apa-apa kesan pada awalnya. Tetapi sebuah filem tidak harus meletakkan watak tanpa ada fungsinya yang sebenar. "Orang sekarang tidak lagi mahu naik karusel. Mereka lebih mahu naik roller-coaster, turun-naik dan muntah." Begitu kurang lebih dialog watak ini, ketika Karen memperkenalkannya kepada Davis. Waktu ini juga adalah waktu awal Davis dan Karen berkenalan.

Pada penghujung kisah, karusel ini diperbaiki, sesuatu yang Davis mahukan untuk memberi sesuatu kepada Julia yang pernah dia miliki tetapi tidak menghargai. Karusel berpusing seperti biasa dan menggembirakan orang-orang yang menunggang kuda-kudanya, terutama kanak-kanak. Dan beginilah hidup pada tanggapan kisah ini. Ia tak harus jadi seperti roller-coaster, turun dan naik, turun dan naik, terlalu pantas sehingga kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling dan kita hanya tahu untuk bertempik. Hidup sebenarnya tak ke mana-mana. Ia adalah sebuah karusel. Memiliki kitaran lengkap, kita menikmati pusingannya dan sempat menghadiahkan senyuman. Ia sebuah metafora yang sangat cantik.

Davis lahir sebagai bayi, membesar, berkahwin, dan dia mengalami 'kematian' dan dia lahir kembali, bermula dengan nyawa baru dalam kandungan Julia dan tangisan dirinya sendiri. Begitu pusingan karusel hidup Davis. Seperti Davis, begitulah kehidupan kita, berputar seperti karusel, dari satu titik kelahiran, menaiki kuda-kudanya yang dibentuk seperti sedang meligas; mengalami hidup. Dan di suatu titik kita mati (dengan nyawa atau semangat), dan mengalami kelahiran semula.

This movie is slightly bore. But it is still a good movie. Sebab sepanjang menonton, kita akan tertanya-tanya apa yang Davis mahu, mahu lakukan dan akan lakukan. Kita berasa bosan dengan filem ini seperti kita berasa bosan dengan hidup sendiri. Ia seperti mempersoalkan keberadaan kita dalam hidup; setelah berkali-kali cedera dan mati.

Apabila suami kematian isteri, ia digelar duda. Apabila anak kematian ibu dan ayah, ia digelar yatim. Tetapi apabila ayah kematian anak, tidak ada perkataan untuknya. - Phil, Demolition.


Sayidah Mu'izzah

Rabu, 1 Jun 2016

ADA APA DENGAN CINTA? 2: SENI DAN SASTERA YANG MENYELAMATKAN


TAHUN : 2016
PENGARAH: Riri Riza
LAKON LAYAR: Mira Lesmana, Prima Rusdi
PARA PELAKON: Nicholas Saputra, Dian Sastrowardoyo, Titi Kamal, Adinia Wirasti, Sissy Priscilla, Dennis Adhiswara
NEGARA: Indonesia

Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) hadir dengan perubahan zaman yang ketara, dilukis dari segi watak dan perwatakan, selain para pelakonnya memang mengalami perubahan tersebut juga kerana waktu. 14 tahun bukan waktu yang singkat bukan? Tetapi harus dipuji juga, pengarah tahu mengaturnya dan yang paling menonjol adalah watak-watak ibu yang cerewet itu dan ini, selain daripada pembawakan usia dan kematangan yang lainnya. Tetapi cinta selamanya muda di sini. Ia masih mencari peluang untuk mendekat. 

Pada awal filem, ceritanya lancar dan jelas perkaitan antara satu sama lain. Karmen masuk ke galeri, tampak sedikit 'dalam' personalitinya, seperti mencari sesuatu dari masa lalu dan masa hadapan. Dia memang menemukan Rangga untuk Cinta, yakni kisah masa lalu mereka yang bakal dibawa ke masa hadapan. Begitu perincian wataknya. Cantik begitu. Pantas dan tepat. Adunan watak 4 orang sahabat juga masih mesra meskipun dalam usia berbeza.

Tetapi, setelah ke Jogjakarta dan Cinta bertemu Rangga, waktu jadi terlalu panjang meskipun untuk mereka berdua, seharian keliling-keliling di Kota Jogja itu tidak akan mencukupi. Ia seperti menghalau para penonton, dan ya, biarkan saja Rangga dan Cinta mengait kembali kasih mereka yang 9 tahun terdiam. Kita semua harus keluar dari panggung. Saya sudah bersandar di kepala kerusi. Saya bisikkan kepada Hafiz, filem ini sebenarnya berapa jam? Bersatulah segera Rangga dan Cinta, agar saya boleh cepat pulang. 

Dan, saya  diselamatkan oleh Kota Jogja yang penuh seni, dengan wayang patung kertasnya, dengan Eko Nugroho, galeri Cinta di Jakarta, buku-buku sastera Chairil Anwar, Aan Mansyur dan penulis-penulis lain, kopi-kopi, juga tentunya puisi-puisi yang berkeliaran. Jadi, AADC2 harus dipuji kerana mengangkat seni dan sastera Indonesia meskipun ia dikategorikan sebagai filem pop. Ini antara salah satu fungsi filem sebenar, sebagaimana Korea yang menjadi kegilaan orang kita mempromosikan negara mereka melalui hiburan.

Saya berbual dengan teman sastera dari Jogjakarta tentang AADC2. Katanya, Rangga bukan lagi Chairil. Bahasa Chairil untuk Rangga sudah asing. Ya, kita tahu, yang menuliskan puisi dalam AADC2 ialah Aan. Tentu sekali lenggok bahasanya berbeza. Suatu hal yang elok juga difikirkan adalah perubahan psikologi Rangga sendiri. Selama mana dia di New York dengan penuh kesunyian, seperti itu kita lihat jiwa Rangga tak terisi tanpa cinta. Mungkin saja ini mengubah Chairil dalam diri Rangga kepada Aan. Berontaknya dalam sunyi yang berbeza daripada masa lalu jadi makin tipis, malah jadi lengai kerana mengejar-ngejar cinta lama. Di sini, saya fikir relevan untuk Rangga yang mengalami fasa hidup tertentu yang mengubah dirinya jadi berbeza. Asasnya sendiri digambarkan melalui Rangga dan hidupnya.

Kalau ditanya apakah filem ini memenuhi selera tonton saya? Jawapannya, secara peribadi, tidak. Tetapi ia boleh dikatakan selamat kerana tampil sederhana dengan seni dan sastera Indonesia.

Oh ya, adegan bercumbu yang ditapis untuk masuk ke panggung, ternyata merosakkan kelancaran filem ini. Kalau tak ada adegan tersebut, ia lebih baik dan tidak akan mencacatkan bahkan boleh digantikan dengan sesuatu yang lebih jauh daripada klise sebegini. Hal yang pasti, tanpa cumbu, ia tak akan dipotong tanpa cermat.


Sayidah Mu'izzah