Jumaat, 20 Mei 2016

HIGH STRUNG : FILEM SEBAGAI GURU SENI


TAHUN : 2016
PENGARAH: Michael Damian
LAKON LAYAR: Michael Damian & Janeen Damian
GUBAHAN MUZIK : Nathan Lanier
PARA PELAKON: Nicholas Galitzine, Keenan Kampa, Paul Freeman, Sonoya Mizuno
NEGARA: Amerika Syarikat

High Strung bermula pantas dengan memperkenalkan watak-watak yang akan menggerakkan cerita. Tidak ada satu watak pun yang dilengahkan tetapi bagi watak Johnnie (Nicholas Galitzine), tanpa suara dan hanya muzik dari gesekan biola, ia tersimpan sedikit misteri, yang mana bagus untuk menetapkan penonton di bangku panggung.

Selain Ruby (Keenan Kampa) sebagai heroin, penonton juga pantas diperkenalkan dengan sekumpulan penari hip hop yang menetap di tingkat bawah rumah Johnnie. Saya menunggu kalau-kalau filem ini serupa sahaja dengan siri filem Step Up yang penuh dengan aksi 'flash mob'. Memang ada. Tetapi tidak mengaburi keutamaan kedua-dua watak utama yang kemudiannya bergabung bukan sahaja melalui hati dan perasaan, tetapi dengan kesenian yang ada dalam darah masing-masing. 

Sepantas perkenalan kita dengan watak, sepantas itulah jalan cerita High Strung dibawa ke penamat. Ini menyebabkan latar belakang watak sepertinya dilukis tidak rapi. Apakah sejarah hidup Johnnie yang terlalu mengecewakannya sehingga dia melarikan diri dari England ke Amerika, punya tatu tarikh kematian datuknya di lengan kanan dan dia kelihatan begitu sunyi dan memendam. Kita ditinggalkan dengan penuh tanda tanya sehingga habis cerita. Adakah Kyle (Richard Southgate) sememangnya datang daripada golongan elitis sehingga boleh menghina Johnnie tetapi dia mahukan wang dan biasiswa, dan bermacam lagi persoalan perwatakan yang timbul sepanjang menonton.

Usah ditunggu rutin tarian seperti Step Up, kerana kalian tidak akan menemuinya. Segala-galanya sederhana seolah-olah Damian sebagai pengarah dan penulis lakon layar amat mahu melarikan filemnya daripada kerangka klise Step Up. Mungkin kita juga patut kembali kepada hal yang diperkatakan oleh Ruby pada awalnya, "See the music, hear the dance." 

High Strung menampilkan sudut seni yang tidak boleh dijual beli dengan duit, glamor dan kekayaan kerana filem ini sendiri menampilkan 'spark' pertelingkahan antara seni bawah tanah dan seni arus perdana. Sepertinya arus perdana akan cuba membeli segala-galanya selagi mungkin. Jelas sekali ditonjolkan oleh 'pertarungan' biola antara Kyle dan Johnnie di sebuah majlis amal. Hal ini turut dibawa kepada pertandingan akhir yang menjadi peleraian kepada filem ini. Dan kesimpulan filem ini sepertinya begini; Seni bukan untuk dijual beli tetapi seni adalah 'bread and butter' orang-orangnya. Jadi, ia harus disantuni dengan ilmu dan dedikasi. 

Konflik dalam High Strung adalah sederhana dan lancar tetapi dalam masa yang sama seperti ada sesuatu yang tertinggal. Pandangan tentang seni yang dilontarkan dalam High Strung juga sederhana dan tampak seimbang. Terdapat cubaan 'plot twist' tetapi dalam adegan Johnnie diberkas polis, ia sedikit tidak kemas dan tampak terlalu mudah. 

Keseluruhannya, High Strung seperti seorang guru seni yang cuba berpesan kepada para pelajarnya. Kita akan dapat mengesan perkara ini melalui dialog-dialog yang retorik. Apapun, ini bukan sebuah filem yang merugikan untuk ditonton. Saya suka tetapi tidak terlalu.

Setelah sempurna apa lagi? Ketidaksempurnaanlah yang membuatkan kita terus hidup - Kramrovsky, High Strung.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan