Selasa, 9 Februari 2016

THE REVENANT: PUNCAK MISTIKAL DIRI


TAHUN : 2015
PENGARAH: Alejandro G. Inarritu
LAKON LAYAR: Alejandro G. Inarritu, Mark L. Smith
PARA PELAKON: Leonardo DiCaprio, Tom Hardy, Domhnall Gleeson, Will Poulter
NEGARA: Amerika Syarikat

Plot The Revenant, mudah. Seorang ayah yang ingin membalas dendam terhadap pembunuh anaknya. Tetapi ceritanya, adalah cerita. Adalah filem. Dan ia bukan filem yang mudah. 

Leonardo DiCaprio, membuktikan bahawa beliau memang seorang pelakon. Dengan keadaan yang tidak terurus, ternampak seperti orang gasar, tanpa pakaian yang kemas dan segak seperti beliau dalam Titanic, atau lelaki sunyi yang setia dan penuh harapan dan akhirnya kecewa dalam The Great Gatsby, juga lelaki yang berkuasa memegang mimpi-mimpi dan mengelirukan realiti dalam Inception (sekadar menyebut beberapa penampilan),  tanpa kata-kata yang berderu, Leo memang telah berlakon dengan cemerlang dalam The Revenant. Sesekali saya sendiri keliru, benarkah ini Leonardo DiCaprio yang selalu segak itu?

Watak Glass yang diperan oleh Leo adalah watak pencarian insani. Bermula dengan bisikan janji untuk Hawk, anaknya hasil perkahwinan dengan gadis orang asli puak Pawnee, dengan tanah, dengan angin, dengan api, dengan air, ia suatu kelengkapan unsur menumbuhkan manusia. Seperti pohon yang hidup, yang kering, yang luruh dedaunnya, begitu jugalah manusia. Ini elemen 'mother nature' yang dibawakan dalam The Revenant dan fungsinya baik sekali sepanjang filem. Malah ia berfungsi dalam mimpi-mimpi Glass, kerana inilah cerapan persona yang muncul atau 'voice of nature' yang diperkatakan oleh psikoanalitik C. G. Jung sebagai simbol yang tidak mudah dicerna. Kerana ia mistikal. Dan keinsanan adalah suatu mistikal dalam diri manusia. 

Minit-minit awal, selepas kehancuran perkampungan puak Pawnee, Glass membawa anaknya Hawk, yang sudah remaja menyertai kumpulan pemburu. Maka kita tahu, premis cerita ini adalah perburuan setelah kehancuran. Tetapi apakah jenisnya? Kita dapat melihat ia secara fizikal, tetapi apakah ianya terhenti pada fizikalnya sahaja. Tidak. Perburuan dalam diri Glass lebih jauh kepada perburuan rohaniah.

Meskipun Hawk memiliki darah dua keturunan, 'native people' dan 'white people', wataknya tidak mewakili kedua-duanya.  Ia bukan sebuah perwakilan seorang remaja tetapi, Glass meskipun sudah berusia, sudah menjadi lelaki dewasa, pencarian dirinya belum dia temui. Ini menarik sebab kebiasaannya kita menemukan seorang yang muda mencari kedewasaan diri. The Revenant menegaskan pencarian dalam diri kedewasaan, yang bukan hanya menemukan kematangan tetapi menemui dirinya; keinsanan, yang terlalu jarang orang temui, sekali lagi, kerana ia mistikal.

Glass, dalam perjalanan ke kubu Kiowa, dan melarikan diri daripada puak Ree, telah diserang oleh seekor beruang. Seluruh tubuhnya cedera parah sehingga dia hampir mati. Dan pada suatu tempat, dia ditinggalkan oleh kumpulan pemburunya. Hanya beberapa orang yang akan menunggu Glass untuk mati, dan mengebumikannya dengan cara yang baik. Malang sekali, selain daripada anaknya Hawk dan  Bridger, yang turut menunggunya, Fitzgerald, manusia yang keji. (As a fan of Narnia, I'm glad to see Will Poulter). 

Fitz, menunggu Glass hanya untuk wang. Disebabkan dia bertuhankan duit, maka, dia tidak ikhlas untuk sahabat pemburunya. Fitz, dengan keji dan bacul, menikam Hawk, ketika Bridger ke sungai, dalam keadaan Glass tidak berupaya langsung untuk bangun. Bridger diperdayakan oleh Fitz, bahawa Hawk hilang di hutan, dan Glass harus dikebumikan dan mereka berdua pulang ke Kiowa.

Glass, dalam kebekuan salji, dia keluar dari kubur yang digali untuknya. This is ashes from the ashes. Ia suatu keterbalikan yang sempurna. Lumrahnya, 'ashes for the ashes'. Tetapi, ini seperti Phoenix. Glass yang telah 'mati', bangkit daripada tanah. Meskipun membawa dendam terhadap Fitz, Glass akhirnya menyerahkan takdir dendamnya kepada Tuhan. Fitz memang mati. Tetapi, bagaimana? Dia mati di tangan karma Tuhan.

Kita semua adalah orang liar. Begitu yang tertera pada papan yang tergantung pada leher lelaki puak Pawnee. Ya. Kita semua orang liar. Tetapi, apakah yang menjinakkan kita? Lebih jauh daripada itu, apakah yang membijaksanakan kita? Jika tidak kita hanyalah seperti beruang yang ganas, seperti bison yang dilapah mentah, dan kuda yang dikeluarkan isi perutnya dan memanaskan tubuh dingin. 

Glass adalah orang yang paling teraniaya dalam cerita ini. Dia mewakili keperitan rasisisme manusia, dengan separuh kehidupan dan cintanya dengan 'native people' dan kehidupan asalnya dengan 'white people'. Glass adalah insan. Suatu garis halus antara sikap membeza-bezakan dalam diri manusia; sememangnya jauh dari keinsanan.

Where do you want to bring me, Glass? Ini jeritan hati saya sepanjang perjalanan Glass mencari Fitz, dendamnya. Cerita ini, meskipun suatu perjalanan, ia tidak menarik masa. Cerita ini sunyi. Ia bermain dengan baik sekali. Seperti selalunya pencarian dalam diri. Where Glass? Dan Glass menemukan dirinya. Bahawa ia harus kembalikan segala-galanya kepada Tuhan, sehingga dia sudah tidak peduli dengan kematian. Dia melepaskan dendam dan takdir lama, bersedia mendepani takdir baru; mendepani Tuhan, meskipun mungkin tidak sepenuhnya. Inilah puncak mistikal insani. Ia sukar difahami seperti simbol-simbol mimpi. Tetapi ia ada di dalam diri dan entah di mana. Dan siapakah lagi yang menemuinya?

Filem yang baik bukan hanya dekat dengan penonton. Filem yang baik juga adalah filem yang berjaya membuatkan penonton menemui dirinya. Glass, sebagai penamat filem ini, memandang ke arah kamera, memandang penonton. Ia menemukan dirinya. Penonton menemukan  dirinya. Dan, filem ini dengan bonus besar; sinematografi yang cantik (bak kata ramai orang), punya nyawa, tunjang dan nadi yang kuat; ceritanya. Sebuah adaptasi yang sempurna.


Sayidah Mu'izzah

3 ulasan:

  1. Membaca ulasan tidaklah sama dengan menontonnya secara nyata. Setidak-tidaknya saya tahu juga gambaran perjalanan dari minit pertama sehingga akhirnya (anggapan sayalah) setelah membaca apa yang Kak Eja tulis ni.

    Mungkin menjawab kepada status Kak Eja di Facebook, saya menonton filem kerana saya mahu dan bukan kerana ikut orang cakap. Cuma sesekali saya tonton kerana diajak walaupun dalam hati kata tak mahu. Kalau dikira, entah lebih jari daripada cerita (hiperbola sangat).

    Saya bukan peminat filem, tentunya tidak tegar menonton dan sahihnya malas untuk sekadar 'menonton'. Jadi, kalau orang kata saya buta filem, mungkin itulah yang paling tepat agaknya. Entahlah, tak tahu kemalasan menonton filem ini satu kesalahan atau tidak?

    BalasPadam
  2. Terpulang sebenarnya pada sesebuah filem. Pembacaan filem bagi setiap orang mungkin berbeza dan seharusnya kita meraikan. Kemalasan menonton filem bukan suatu dosa. Tetapi kemalasan membaca filem, seharusnya bukan dosa yang patut kita ulangi.

    BalasPadam
  3. Ya. Mengulangi apa-apa dosa adalah kekejian yang paling jijik. (Harap penggunaan perkataan yang paling tepatlah hendaknya.)

    BalasPadam