Khamis, 4 Februari 2016

OLA BOLA: PERGELUTAN MAKNA DAN NIHIL


TAHUN : 2016
PENGARAH: Chiu Keng Guan
LAKON LAYAR: Chan Yoke Yeng & Tan Pik Yee
PARA PELAKON: JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Karen Ho, Bront Palare, Frankie Lee
NEGARA: Malaysia Tanah Airku

Selepas 24 Januari, hari pra-tonton Ola Bola, saya tahu saya harus menunggu dua minggu tayangannya untuk mengulas. Saya bimbang jika ulasan saya mencacatkan perasaan teruja rakyat Malaysia (terutamanya kawan-kawan sendiri) untuk pergi menonton filem ini. Begitulah dengan kebanyakan filem di Malaysia kecuali untuk filem yang benar-benar bodoh; yang tidak akan masuk dalam senarai ulasan saya. Saya tak mahu buang masa melainkan saya harus menyiapkan artikel untuk majalah Dewan Budaya. Bayangkan seksanya memenuhi syarat bahawa perlu ada filem Malaysia yang harus diulas dan pada ketika itu tidak ada filem yang bagus untuk diperkatakan. Serius, mahu menangis.

Kita maklum industri filem kita tidak bagus disebabkan lambakan filem yang juga tidak bagus dari segi cerita. Sebab seperti yang saya pernah katakan, sinematografi adalah bonus besar; dan orang sekarang fikir hanya dengan bercakap 'sinematografinya cantik' itu dikira sudah mengulas sesebuah filem. Cerita adalah tunjang utama sesebuah filem. Bagus atau tidaknya sesebuah filem itu, itulah ceritanya. Yang lainnya teknikal. Dan tahniah, dalam masa 4 hari, Ola Bola berjaya mengutip 2.4 juta untuk tayangan di seluruh Malaysia. Saya gembira mengetahuinya.

Ola Bola adalah sebuah filem yang bermaruah. Tetapi tetap punya masalah. Ia adalah sesuatu yang bermakna tetapi dalam masa yang sama, ada sesuatu yang nihil. Dari segi cerita, ia boleh dibanggakan. Tetapi dari segi plot, dan tenaga dalamannya sebagai sebuah filem, ia boleh dihujahkan.

Permulaan filem ini kemas. Video lama perlawanan bola sepak ditayangkan kepada penonton. Ia kedengaran sangat gemilang. Tiba-tiba, tayangannya terputus. Marianne mendengus. Ia sebuah semiotik yang baik. Kegemilangan bola sepak kita terputus seperti dalam tayangan lama itu. Marianne sebagai seorang rakyat Malaysia kecewa; mewakili kekecewaan rakyat Malaysia yang lainnya. Sesuatu yang menarik juga jika ingin dibawa perkiraan, mungkinkah juga adegan ini menyindir industri perfileman tanah air? Tayangan yang terputus, kekecewaan yang didengus, ia juga untuk industri filem kita. Saya mentafsirnya begitu. Ia realiti.

Marriane kemudiannya ke Sabah. Katanya, ini tugas terakhir kerana dia mahu ke luar negara. Membuat liputan tentang bola sepak Malaysia adalah sesuatu yang sia-sia. Dan dia memulakan perjalanan jati dirinya menemui Balak Eric. Dan penceritaan sejarah pasukan bola sepak Malaysia pun bermula tahun 1970-an. Terdapat banyak teguran sepanjang pasukan bola ini berlatih; main seorang diri, tidak mahu 'passing' bola kepada rakan sepasukan, main bola atau jual jersi, ego kapten pasukan, ego anak-anak buahnya, berebut nombor pada jersi, tak hargai peluang sebagai pemain sedangkan pemain simpanan menunggu bertahun-tahun untuk masuk padang, dan yang paling penting adalah tidak mahu keluar dari zon selesa. 

Masalah filem ini ialah cerita yang bermakna tetapi ada sesuatu yang nihil. Ini termasuklah ketidaktepatan degup (beat) filem. Kita faham, Ola Bola mahu menonjolkan kisah para pemain lama yang susah, ada yang buat dua tiga kerja sebelum petang dan malamnya berlatih di padang malah tidak mendapat sokongan keluarga. Ini adalah perlawanan hidup para pemain ketika di luar padang. Tetapi masa seperti ditarik-tarik. Saya perasan ada beberapa filem kita yang mempunyai masalah ketepatan degup filem apabila bermain dengan garis waktu. Antara yang paling baru ialah Love, Supermoon arahan Wan Hasliza; yang memiliki cerita yang menarik, pelakon yang hebat tetapi degupan yang lemah. Jika Love, Supermoon berdegup lemah dengan susunan tahun, Ola Bola berdegup lemah di awal garis tahun dengan konflik luar padang, dan pantas pula menghampiri ke hujungnya. Ia tidak stabil.

Kemunculan Marianne dan Eric yang tiba-tiba di kerusi penonton adalah sesuatu kejanggalan. Ia seperti gunting yang memotong gulungan filem dengan tidak semena-mena. Ia benar-benar janggal.

Lakonan Bront Palare sebagai Rahman, budak baru belajar menjadi pengulas sukan memang tidak boleh diperkatakan apa-apa. Kita tahu, Bront memang bagus. Malah Rahman menjadi suatu sudut cerita yang bagus juga untuk filem ini. Jika tidak ada pengulas sukan, sukan tidak akan bernyawa. Bayangkan menonton perlawanan bola di tivi dengan suasana sunyi. Tidak akan ada 'feel'. Ola Bola mengambil suatu sudut yang pintar melalui kewujudan watak ini.

Para pemain bola sepak negara, kebanyakannya pelakon baru. Mereka boleh dipuji untuk pembawakan watak masing-masing meskipun ada juga watak-watak yang janggal dalam sepasukan itu. Dan, dialog harus diperkuatkan lagi. Ada beberapa bahagian yang membuatkan semangat kita bergetar. Tetapi banyak bahagian yang tidak. Terutamanya, dalam adegan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan Kita'. Ia nampak canggung dan palsu. Mungkin, watak pegawai tentera yang berkata-kata itu harus digugurkan dan terus sahaja kepada nyanyian para pemain. Ia mungkin akan nampak lebih asli. Ini sebenarnya masalah utama Ola Bola. Ia harus memiliki dialog atau retorika yang benar-benar kuat kerana beban filem ini sendiri adalah beban semangat nasionalisme dan motivasi penonton. Sebab ini yang menyebabkan pergelutan makna dan nihil. 

What a comic relief! Tiga orang adik Muthu, membawakan watak mereka dengan selamba. Mereka adalah 'comic relief' yang bagus baik di luar stadium mahupun di dalam stadium. Jangan lupakan kewujudan mereka dalam filem ini.

Ola Bola menggabung beberapa kuota bahasa di Malaysia; bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa India. Tidak termasuk bahasa Inggeris sebab, meskipun ia bahasa kedua, selamanya ia tetap bahasa penjajah. Malah, dalam filem ini, cucu Eric sendiri menegur Eric supaya berbahasa Mandarin ketika berbual dengan Marianne. Dan Marianne, sebelum melepaskan rohaninya untuk tanah air orang lain, ia kembali menemukan jati dirinya di tanah air sendiri.

Oh ya. Mise-en-scene 70/80-an yang digarap dalam Ola Bola sangat memberikan suasana. Saya fikir tidak perlu lagi saya menerangkan suasananya yang bagaimana. Ia boleh dilihat dengan mata kasar. Terbaru, filem yang cuba menggarap suasana tersebut adalah Chowrasta. Tetapi Chowrasta cuai sekali untuk hal ini.

Tidak ada banyak perkara yang ingin saya perkatakan tentang Ola Bola. Meskipun tidak hadir sempurna, ia lahir bermakna. Will you believe again? Untuk industri filem, ya. Ola Bola hadir membuktikan, rakyat Malaysia tidak sebodoh lambakan filem-filem yang sedia kita maklum. Kalau tidak orang industri yang 'mengajar' masyarakat menjadi cerdik, walaupun dengan filem, siapa lagi? Selain sastera, bukankah seni juga seharusnya membijaksanakan? Sekurang-kurangnya ajarlah tentang maruah bangsa seperti yang Ola Bola lakukan.

Pergilah ke panggung dan tontonlah Ola Bola. Sokonglah filem Malaysia yang punya maruah seperti ini. Kalau tidak, kita akan tetap dibelenggu kebodohan industri sendiri. Kalau tidak sempat ke panggung, beli dvd yang asli.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan