Ahad, 14 Februari 2016

FILOSOFI KOPI: AHLI FIKIR HIDUP


JUDUL : Filosofi Kopi
PENGARANG : Dee Lestari
GENRE : Kumpulan Cerpen dan Prosa
RUMAH PENERBITAN: Bentang Pustaka
TAHUN CETAKAN : 2015
NEGARA : Indonesia

Saya belum berkesempatan untuk menonton Filosofi Kopi. Tetapi, mujur juga ada buku untuk dihadam. Keseluruhannya, secara kasar, ini adalah buku tentang pencarian diri. Ia menarik untuk direnung-renungkan. Seperti biasa, saya akan memilih tiga buah karya dalam sesebuah kumpulan karya. Jadi, untuk Kumpulan Cerita Dan Prosa Satu Dekade ini, saya memilih Filosofi Kopi (1996) tentunya, Mencari Herman (2004) dan Rico De Coro (1995). Mungkin saya perlu menyusun begini; 1995, 1996, 2004. Dan, susunan ini mungkin juga mampu mewakili buku ini, dan semacam apakah pencarian diri, yang tentunya dekat dengan diri saya sebagai pembaca.

RICO DE CORO (1995)

Ia tentang Rico de Coro, seekor kecoak (lipas) yang jatuh cinta pada seorang gadis bernama Sarah. Tetapi ia disedarkan oleh Hunter, bapanya bahawa mereka adalah lipas yang kotor, hitam dan busuk. Jauh sekali tall, dark and handsome'. Taraf tidak akan sama dengan manusia. Ini ngeri, bagaimana melihat lipas yang merayap-rayap, memang inginkan kamu menjadi kekasihnya. Kemudian konspirasi diatur untuk membunuh David, abang Sarah yang selalu jahat dengan bangsa lipas, dengan menggunakan seekor serangga mutasi. Tetapi Rico de Coro akhirnya mati. Masuk ke mimpi Sarah sebagai seorang putera, dan melepaskan dunia.

Suatu hal yang menarik, jika kita bandingkan Rico de Coro dengan kisah-kisah percintaan dua darjat, seperti beberapa buah cinta yang lainnya, Romeo dan Juliet oleh Shakespeare (UK), Victoria oleh Knut Hamsun (Norway), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh HAMKA (Indonesia), Uda dan Dara oleh Usman Awang (Malaysia), Dee ternyata melanggar kovensi percintaan. Ia cinta seekor lipas kepada manusia.  Bahkan dalam Rico de Coro, Sarah tidak tahu bahawa, yang mencintainya adalah seekor lipas walaupun tiba di penamat cerita; setelah ia berubah menjadi putera. 

Rico de Coro, pada pembacaan saya adalah suatu kesedaran bahawa, kita harus menerima diri apa adanya, dan menjalani kehidupan sesederhananya. Memikirkan hal yang besar itu bagus, tetapi apakah hal yang besar, yang difikir-fikir itu wajar? Seperti berubah daripada seekor lipas menjadi manusia, tetapi hanyalah dalam mimpi? Dan matinya tetap sebagai seekor Rico, yang sepatutnya menjadi raja lipas, tetapi memilih hal yang di luar tanggunjawab dan takdir yang tetap.

Semustahil apakah sesuatu itu untuk kita kejar? Seperti kita mengejar bayang-bayang, menyentuhnya di permukaan legap, tetap yang kita sentuh bukan benarnya bayang-bayang. Ia tetap suatu permukaan yang legap.

FILOSOFI KOPI (1996)

Ya. Tajuk cerpen ini menjuduli buku. Sesudah Rico yang tidak mengenal diri, Filosofi Kopi pula adalah kisah seorang jejaka yang mengenal dirinya, tetapi kemudian dia makin kabur tentang diri sendiri. Setelah itu, dia memahami dirinya. Mengenal dan memahami adalah dua perkara yang berbeza bukan? Ini memang menarik. Malah mungkin dekat sekali dengan diri pembaca, walau siapapun dia.

Ben, bos merangkap barista di kafe Filosofi Kopi. Dia  gemar berfalsafah dengan segala macam jenis kopi. Orang-orang datang mendengarkan falsafahnya seperti mendengar nujum-nujum zodiak, malah ada yang terlalu percaya. Sehingga suatu hari, seorang lelaki menawarkan cek yang mahal, dan mencabar bahawa kopi di kafe Ben hanya biasa-biasa, dan Ben harus mencipta formula kopi yang luar biasa. Ben berjaya, dengan kopinya, Ben's Perfecto. Kali, kedua, Ben dicabar oleh seorang lelaki, bahawa Kopi Tiwus Pak Seno lebih sedap berbanding Ben's Perfecto. Filosofi Kopi sudah semacam pusat kultus sebelumnya, menjadi lesu setelah Ben terpaksa mengakui bahawa Kopi Tiwus Pak Seno jelas lebih sedap. Ben memberi cek mahal yang diberi oleh lelaki pertama yang mencabarnya kepada Pak Seno. Pak Seno dan isterinya, tidak tahu bahawa mendapat sekeping cek mahal adalah mendapatkan kekayaan, malah menyimpannya di bawah lipatan baju. 

Ben sebenarnya belajar untuk mengerti bahawa hidup ini bukanlah perlawanan dengan sesiapapun melainkan diri sendiri. Tak ada yang sempurna dalam hidup. Yang ada hanya kesyukuran dan perjuangan untuk bahagia. Kedengaran seperti utopia bukan? Memang tidak ada utopia. Tetapi syukur dan perjuangan itu, benarnya ada. Ben kenal dirinya sebagai seorang barista yang filsuf akan hal kopi. Tapi ternyata dia lebih memahami kopi berbanding dirinya sendiri. Akhirnya dia sedar, dirinya tidak akan boleh dibeli dengan sebarang harga dunia, sama sekali tidak seperti kopi.

MENCARI HERMAN (2004)

Saya kira, Dee cuba main sembunyi-sembunyi dalam judul ini. Saya percaya, Mencari Herman ini bukanlah mencari seorang lelaki bernama Herman. Tetapi ia mungkin harus dibaca ' Mencari Her Man'. Sebab, Hera, seorang gadis mencari Herman seusianya 13 tahun. Ini usia normal seorang gadis mengalami fasa baligh, dan mula menghadapi tarikan normal kepada jantina berlawanan. Tetapi Hera bertemu dengan lelaki-lelaki yang salah sebermula dia masuk kampus. Dan orang yang selalu mengambil berat tentangnya ialah 'aku'. Cerpen ini menggunakan sudut pandang pertama. Hera akhirnya sedar bahawa Aku yang sentiasa ada dengannya. Tetapi malang, Aku sudah berkahwin. Penamatnya, Hera mati kemalangan kerana mengejar seorang lelaki yang bernama Herman, apabila buat pertama kalinya dia mendengar nama itu, setelah bertahun-tahun mencari.

Cerpen ini dimulakan dengan pepatah "Bila engkau ingin satu, maka jangan ambil dua. Karena satu menggenapkan, dua melenyapkan." Saya menconteng-conteng dan pusing-pusing mencari formulanya. Jika satu menggenapkan, kita mudah faham, satu kita dan satu kekasih, jadi dua, ia memang genap. Dan kenapakah satu kita, dan dua kekasih pula melenyapkan? 

Apabila difikir-fikir balik, ia samalah seperti "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." Sekali lagi, mungkin Dee mahu meletakkan erti syukur bahawa hidup tidak harus sesukar mencari Herman. Yang perlu hanyalah mencari Her Man. Seperti Hera yang berkejaran ke sana-sini, mencari Herman, sedangkan sejak usia 13 tahun dia sudah bertemu Her Man. Dia sudah ada satu Her Man di depan mata, tapi masih sibuk mencari yang kedua kerana dia sendiri tidak peka dengan kehadiran itu. Akhirnya, Hera tidak mendapatkan apa-apa. Padahal dia sudah digenapkan sejak awal lagi.

Setelah Rico de Coro, harus mengenal diri, Filosofi Kopi pula harus memahami, dan Mencari Herman kemudiannya melengkapi, ia adalah fasa-fasa hidup sesederhananya untuk disyukuri. Malah cerpen dan prosa yang lain juga ada yang mengajarkan peluang kedua, kesempatan yang tipis, pilihan yang tidak disedari, dan bermacam lagi erti hidup secukupnya yang sedia adanya.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan