Isnin, 8 Februari 2016

DONGENG PASCAMERDEKA : DISTOPIA PENUH NEUROSIS


JUDUL: Dongeng Pascamerdeka
PENGARANG : Azman Hussin
GENRE : Kumpulan cerpen
RUMAH PENERBITAN : Pustaka Pemikir
TAHUN CETAKAN : 2000 (Cetakan Kedua)

Dongeng Pascamerdeka merupakan sebuah kumpulan cerpen yang memuatkan 21 buah cerpen karya Azman Hussin. 
Cerpen-cerpen dalam kumpulan cerpen Dongeng Pascamerdeka karangan penulis yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999 ini, menampilkan cerpen- cerpen yang menonjolkan watak-watak yang mengalami ketidaktentuan jiwa, pemberontak dan emosional ; ini adalah bahagian neurosis,dan sentiasa mengkritik soal masyarakat yang sakit, negara yang huru-hara dan kerajaan pemerintah; ini adalah bahagian distopia. 
Carl Gustav Jung menegaskan bahawa gangguan kejiwaan berpunca daripada gangguan kehidupan individu itu sendiri.

A neurosis is a particular kind of psychic disturbance which interferes with life, and often with the health, of the person suffering from it.
(Frieda Fordham, 1963:88)

Distopia dalam sastera sudah mula jadi popular sejak pertengahan tahun 1900 melalui karya George Orwell, 1984 dan Lois Lowry, The Giver. Tetapi, kalau mahu disenaraikan juga Jonathan Swift, telah memulakannya dengan Gulliver's Travel pada tahun 1700-an meskipun menggabungkan distopia dan utopia. Kamus Merriam-Webster’s Collegiate Dictionary pula mendefinisikan distopia sebagai “An imaginary place where people lead dehumanized and often fearful lives”.

Jadi, ‘imaginari’ dan ‘gangguan kejiwaan’ yang telah digabungkan dalam Dongeng Pascamerdeka karya-karya Azman Hussin adalah gabungan ‘distopia’ dan ‘neurosis’. Cerpen-cerpen seperti, Robot, Khayali, Soliloquy, Bukan-Bukan @ Absurd dan cerpen-cerpen lainnya sangat menonjolkan gabungan kedua-duanya. Tetapi saya hanya memilih tiga buah cerpen untuk diulas  di sini yakni Robot, Khayali dan Soliloquy.

ROBOT
Cerpen Robot mengisahkan seorang pemuda yang menghadapi dua jenis robot yang diklasifikasikan olehnya sendiri; pertama, dirinya sebagai pekerja kilang. Kedua, orang atasan dan orang-orang yang bekerja di kilang.

Dia tiada masa berfikir, hatta lima minit sekalipun, fasal hidup dan seumpamanya. Jawatan “budak kilang” menjadikan dirinya sentiasa diprogram.
(Azman Hussin, 2000: 125)
 Teori Psikoanalitik Jung menyifatkan mimpi sebagai bayang-bayang natural yang berpunca daripada reaksi paling negatif dalam diri individu terhadap seseorang atau suasana tertentu. Mimpi juga merupakan persona yang muncul dalam mimpi dalam bentuk sosok yang melambangkan seseorang individu.

A dream is an involuntary and spontaneous psychic product, a voice of nature; and is usually obscure and difficult to understand because it expresses itself in symbols and pictures…
(Frieda Fordham, 1963: 97)

Pemuda itu kemudiannya bermimpi bahawa dia melihat robot-robot dan salah satu robot itu adalah dirinya sendiri.

Kali ini dalam tidurnya dia bermimpi melihat robot-robot seperti di siaran televisyen. Salah satu robot itu menyerupai seakan-akan, wajahnya sendiri. Yang lainnya, wajah kawan-kawan sekerjanya.
(Azman Hussin, 2000:126)

Pemuda pekerja kilang dalam cerpen Robot ini telah memberi pengukuhan terhadap isi mimpinya yakni, dia adalah robot di dalam mimpi dan maknanya yang nyata adalah dia bekerja seperti robot. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti bekerja di kilang tersebut. Namun, mimpi-mimpinya yang berulang kali bahawa dia dan rakan-rakannya adalah robot masih lagi menghantui tidurnya. 
Hal ini demikian kerana gagasan tentang robot masih lagi tidak pudar atas sebab kata-katanya yang kembali ke dalam fikirannya bahawa, sampai bila-bila pun, manusia itu tetap robot walau dalam profesion apapun. Maka, gagasan itu memberi tindak balas ke dalam mimpi. Oleh hal yang demikian, pemuda itu terus hidup dalam fikiran bahawa dia adalah robot dan setiap manusia itu adalah robot. Ini adalah distopia yang terbawa-bawa ke dalam mimpi sehingga membentuk psikologi watak dalam cerpen ini.


KHAYALI
Seorang pemuda berdepan dengan penderitaan. Menerusi cerpen Khayali, Azman Hussin masih mengangkat soal kehidupan yang penuh penderitaan. Wataknya dibangunkan oleh perasaan kecewa, menderita, sakit hati dan benci yang dinyatakan secara langsung dalam cerpen ini.

Seluruh fikiran saya kini menderita. Jiwa saya memberontak, meluap-luap, sakit hati… jiwa saya dibakari api kebencian.
(Azman Hussin, 2000 : 52)

Bauran perasaan yang berkecamuk itu telah menjadikan watak seorang yang bencikan segala-galanya dalam kehidupan. Kemudian, pada suatu waktu, setelah kebencian-kebencian itu membuahkan penderitaan, pemuda tersebut mula membenci dirinya.

Fikiran saya kini terganggu teruk. Bermacam-macam idea bermain di fikiran saya…idea-idea kehidupan dan dunia ini. Saya mulai membenci segala macam perkara. Saya bencikan kesibukan. Saya bencikan kebisingan. Saya bencikan kesesakan. Saya bencikan sampah-sarap. Saya bencikan kemunafikan. Saya bencikan kepalsuan. Saya bencikan cinta. Saya bencikan segala-galanya atas mukabumi ini. Saya akhirnya mulai bencikan diri sendiri.
(Azman Hussin, 2000: 53)

Oleh sebab kecamuk perasaan itu, pemuda itu telah mengasingkan dirinya di rumah ibu bapanya di kampung.

Akhirnya, saya terpaksa pulang, membawa jasad kurus-kering lalu mulai mengasingkan diri, memasuki suatu alam khayali.
(Azman Hussin, 2000: 54)

Perasaan-perasaan yang berkecamuk itu berpunca daripada kegagalan hidupnya sebagai seorang pelajar dan seorang kekasih. Pemuda tersebut telah terkandas dalam pelajarannya sebagai seorang pelajar jurusan senibina dan dia merasakan bahawa dia tidak berguna lagi sehingga berfikiran bahawa dirinya sepeti anjing kurap.

Saya kandas dan hidup tunggang-langgang, berberantakan hancur. Mereka semua halau saya. Saya ini tak berguna lagi. Saya kini sampah. Saya kini macam anjing-anjing kurap menyelongkari tong sampah di kaki lima jalan.
(Azman Hussin, 2000: 52)

Pemuda itu juga putus cinta dengan seorang wanita yang berjanji untuk setia tetapi kemudian meninggalkannya atas sebab kegagalannya sebagai seorang pelajar seterusnya menjadikan dia seorang pemuda yang miskin.

Aku mencintai seorang gadis…kemudian dia tinggalkan aku merana sehingga aku hampir gila begini, lumrahkah? Kenapa? Duit celaka itu!
(Azman Hussin, 2000: 52)

Perasaan-perasaan yang tidak tentu arah dan kebencian yang meluap-luap yang berpunca daripada kegagalan-kegagalan pemuda itu membentuk neurosis. Jung menegaskan bahawa gangguan kejiwaan adalah berpunca daripada gangguan kehidupan individu itu sendiri.

A neurosis is a particular kind of psychic disturbance which interferes with life, and often with the health, of the person suffering from it.
(Frieda Fordham, 1963:88)

Setelah itu, pemuda tersebut mula berhalusinasi, memasuki alam khayali yang dibinanya sebagai dunia yang baru yang dianggapnya tidak wujud sebarang musibah dan kegagalan.

Saya ingin berambus dari dunia sarat kegilaan ini! saya ingin membina suatu dunia ideal, dunia u-topia. Saya ingin segera berhijrah ke dunia ideal yang bakal saya bangunkan itu.
(Azman Hussin, 2000:54)

Distopianya yang realiti telah merasuk jiwa. Rasukan ini telah membentuk psikologinya yang neurosis malah lebih jauh, dia mengidamkan utopia. Tetapi utopia tidak wujud di dunia. Pada akhir cerita, kita akan mengagak bahawa watak menuju kematian. Utopia hanyalah syurga Tuhan yang abadi.


SOLILOQUY

“Apa yang kau fikirkan malam-malam begini?”
“Diriku.”
(Azman Hussin, 2000:74)

Soliloquy bermaksud percakapan kepada diri sendiri (Hawkins, Joyce M, 2008: 383). Perbualan awal yang terbit dalam cerpen ini menunjukkan makna soliloquy itu sendiri. Namun, soliloquy yang cuba dibawa oleh Azman Hussin bukan hanya sebuah percakapan kosong. Ia membawa lambang imago yang mengandungi fikiran dan perasaannya yang dalam. Hal ini dapat dilihat pada perbualan seterusnya.

“Dirimu? Siapa dirimu?”
“Itu yang ingin kufahami, ingin kukaji.”
(Azman Hussin, 2000: 74)

Perasaan pemuda yang bercakap seorang diri ini sedang bergolak dengan soal dirinya dan dunianya. Fikiran itu bermula daripada perasaan bosannya terhadap dunianya sendiri yang dilihat sebagai menjalani rutin yang sama dan tiada variasi.

“Bangun pagi, pergi sekolah, pergi kerja. Kemudian balik, merungut dan tidur. Esoknya begitu lagi, mengulangi perkara yang serupa. Begitu maksudmu? Argh, seperti permainan yang tidak mengeluarkan peluh! Bermain dan dipermainkan. Suatu aktiviti keliru. Kita tak pasti apa kita perlukan sebenarnya dalam hidup ini…untuk apa kita semua wujud di dunia ini?”
(Azman Hussin, 2000: 74-75)

Kemudian, fikiran pemuda tersebut diganggu dengan pelbagai soalan lain seperti keadaan-keadaan dunia yang dirasakannya gila dan tidak adil juga membuatnya berasa tidak puas hati.

“Pemberontak tak bermoral. Sistem gila. Segalanya ini apa? Orang kaya makin kaya. Orang miskin bertambah papa kedana. Glamor. Hidup menggilai kebendaan. Komersialisme. Tak ada lagi yang betul. Bunuh diri. Hantu kapitalisme. Kebenaran di mana? Duit oh duit. Orang miskin memberontak pada Tuhan. Topeng Devian. Berhala-berhala moden. Hedonism. Homoseksual. Loya sekali kehidupan ini. sarat dengki, khianat, fitnah, tamak haloba, ego, lucah. Korupsi, neurosis, maki hamun, nepotisme, paranoid… argh, segala macam lagi.”
(Azman Hussin, 2000: 78)

          Setelah percakapan demi percakapan, pemuda tersebut mula menyalahi ‘teman bicaranya’ dan ‘dirinya’ juga.

“Benar! Kau benar!”
“Hei, tak ada sesiapun yang benar.”
“Kau buat aku gila! Apa maksudmu?”
“Ya, tak ada sesiapa pun yang benar seratus-peratus. Hanya Tuhan! Lain-lainnya karut-marut.”
“Jadi kau juga tersasar, dipenganangi duniawi?”
“Hei, kurang ajar! Tutup mulutmu! Atau aku belasah kamu sampai melutut.”
“Kau bingung! Tak ada harapan, memberontak tak tentu pasal.”
“Hei, diam.”
Dia bangun dan ingin menerjang seseorang. Kala itu dia hanya tinggal bersendirian.
(Azman Hussin, 2000:79-80)

           Ternyata watak dalam Soliloquy disaratkan keserabutan hidup. Dia menyebutkan secara langsung dalam dialognya; setiap satunya masalah masyarakat, negara, pak-pak menteri seterusnya masalah negara. 

      Dongeng Pascamerdeka memiliki distopianya yang tersendiri sehingga ada yang menerbitkan keinginan dalam diri watak untuk pergi ke sebuah negeri utopia. Keinginan-keinginan inilah yang dikatakan neurosis. Dan jika ditimbal-balik, Azman Hussin telah menuliskan kelaziman dalam diri manusia. Kita selalu mahukan utopia, sedangkan utopia hanya dongeng. Yang benar kita hadapi adalah distopia. Keterjalan hidup yang dikorup oleh politikus dan samseng. Dan kadang-kadang, diri sendiri.


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan