Rabu, 20 Januari 2016

MONOLOG KECIL: BAHA ZAIN DALAM TANGGUNGJAWAB KEPENGARANGAN ISLAM



JUDUL: Monolog Kecil : Tahun- tahun Gelora
PENGARANG : Sasterawan Negara Dato' Dr. Baha Zain
GENRE : Kumpulan esei
RUMAH PENERBITAN : Dewan Bahasa dan Pustaka
TAHUN CETAKAN : 2013

ENAM tahun, ‘Tahun-tahun Gelora’ ini menjentik deria kepengarangan Baha Zain untuk menulis mengenai pergolakan yang melanda tanah air baik dari segi ekonomi yang kapitalis sifatnya, luka-luka pergolakan politik, kebobrokan budaya bangsa, ancaman terhadap bahasa malah wajah tanah air sendiri di mata tanah-tanah asing. 

Bermula daripada tahun 2005, bulan Julai, Baha Zain sudah meletakkan tanggungjawabnya sebagai seorang pengarang Melayu dalam eseinya yang bertajuk Apa Ada Pada Kata-kata yang jelas meletakkan bahasa sebagai senjata sebuah bangsa malahan subteks kepada esei ini memperjelaskan bahawa beliau, sebagai seorang pengarang membawa kata-katanya dan bahasanya sebagai senjata dalam kolum tersebut. Hal ini boleh dilihat dalam petikan di bawah:

Bahasa bagaikan senjata yang menghidupkan dan boleh juga membinasakan.
(Baha Zain, 2013:5)

Monolog Kecil ini sebenarnya bukan sekadar senandika dalam diri Baha Zain semata-mata kerana Baha Zain tidak hanya meletakkan senjata bahasa pada tangannya sahaja tetapi melalui kolum inilah Baha Zain menghulurkan senjata bahasa tersebut kepada bangsanya sendiri.

Sebab itu kalau hendak membunuh sesuatu bangsa itu serang mereka habis-habisan. Kalau tidak boleh, bunuhlah bahasanya, lama-kelamaan mereka akan kehilangan wajah dan maruah lalu bertukar menjadi manusia lain.
(Baha Zain, 2013:5)

Hal ini diperkukuhkan pula dalam kata-kata akhir Baha Zain untuk esei pertama beliau:

Jadi, memang ada sesuatu dalam kata dan bahasa. Berwaspadalah.
(Baha Zain, 2013:6)

Oleh hal yang demikian, bersilatlah seorang Baha Zain dalam gerak kata dengan senjata bahasanya. Sehingga kini, pada tahun 2013, selepas dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tanggal 28 Mei 2013, Baha Zain tidak lelah dengan senjata bahasa dengan kolum Monolog Kecil dalam majalah Dewan Sastera. Esei terbaru beliau Kamus Wajah Orang Berbangsa terbitan September 2013 masih juga berbicara soal bahasa dan kata:

Tidakkah pemahaman makna kata dan istilah menjadi prasyarat bagi menjernihkan fikiran sebelum menulis atau mengeluarkan percakapan?
(Dewan Sastera September 2013:7)


TAUHID SEBAGAI PEGANGAN INSAN

Tauhid dianggap sebagai unsur penting dalam membezakan Islam dengan pegangan-pegangan lain atas sebab definisi ilmu tauhid itu sendiri. Profesor Madya Dr. Kamarul Shukri Mohd Teh menyatakan dalam bukunya Pengantar Ilmu Tauhid bahawa ilmu tauhid itu merupakan suatu perbahasan ilmu yang mampu menetapkan akidah keagamaan yang diambil daripada dalil yang diyakini bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah di samping hujah akal sebagai pembantu bagi memenuhi tuntutan fitrah manusia yang dianugerahkan Allah SWT, kekuatan akal dan idrak (Quwatun Natiqah) untuk kesempurnaan kehidupan mereka. (Kamarul Shukri Mohd Teh, 2008: 2)

Akidah keagamaan yang dimaksudkan ialah mengesakan Allah SWT sebagai Tuhan Pencipta Alam sebagaimana firman Allah SWT:

Di dalam bumi ada beberapa tanda (Allah yang menunjukkan kewujudan-Nya) yang memberi yakin (bagi orang-orang yang mentauhidkan-Nya). Dan pada diri kamu (ada dalil yang menunjukkan kewujudan Tuhan yang memerintah kamu), maka tidakkah kamu melihat akan dia
(Surah Adz- Dzaariyaat 51: 20-21)

Oleh hal yang demikian, mentauhidkan Allah swt membawa erti pembawaan akidah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dalam hujah akal dan quwatun natiqah yakni daya fikir seseorang insan.
Islam adalah agama tauhid yang syumul yakni agama yang menyeluruh yang menyentuh segala aspek kehidupan. Golongan manusia dan kepenyairan juga tidak ketinggalan dalam seruan tauhid ini. Allah telah berfirman mengenai golongan manusia yang bergelar penyair:

Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakan. Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.
(Surah As-Syu’ara: 224-227)


Penyair bekerja dengan kata-kata. Melalui kata-kata para penyair bercerita, menyampaikan nasihat, berpesan, meluahkan juga mengkritik. Melalui kata-kata jugalah penyair boleh berbohong, meluahkan sesuatu tanpa ikhlas, berpura-pura, dan membawa kesesatan. Namun, seperti firman Allah, para penyair yang bekerja dengan kata-kata tauhid yakni dengan iman dan niat beramal soleh juga atas nama Allah swt adalah para penyair yang mendapat kemenangan.

PENGARANG YANG MENGGALAS TAUHID

Sasterawan Negara Dato' Dr. Baha Zain

Baha Zain bukan sahaja seorang eseis malah seorang penyair. Penyejajaran seorang eseis dan seorang penyair adalah kata-kata dan bahasa. Hal ini samalah keadaannya jika kita berbicara mengenai seorang cerpenis ataupun novelis; atau pengarang bergenre apa sekalipun. Golongan ini bermain dengan kata-kata dan bersenjatakan bahasa.

            Esei-esei dalam Monolog Kecil oleh Baha Zain memperlihatkan kepengarangannya sebagai seorang eseis dan penyair yang menggalas tauhid. Hal ini demikian kerana Baha Zain sering meletakkan tanggungjawab seorang penulis Muslim pada konsep mentauhidkan Allah itu sendiri meskipun pada waktu beliau memetik kata-kata penulis memoir yang berjudul Grand Central Winter dari New York, Lee Stringer dalam eseinya yang keempat, Seperti Bersalaman dengan Tuhan:

…bahawa proses menulis sebagai suatu proses spiritual yang tak terbandingkan, “Like Shaking Hands with God” cakapnya, “Seperti Berjabat Tangan dengan Tuhan”
(Baha Zain, 2013:17)

Kata Baha Zain tentang kenyataan yang sama oleh Stringer dari sudut pandang seorang pengarang Islam:

Jadi kesusasteraan itu meskipun satu permainan seni, ia bukannya kerja main-main; ia seperti bersalaman dengan Tuhan: menunaikan janji dan memperoleh restu daripada-Nya; bukan sekadar mengangkat tangan berdoa, tetapi bekerja keras sepenuh kalbu.
(Baha Zain, 2013:19-20)

Setelah esei terbitan Dewan Sastera, Oktober 2005 itu, Baha Zain terus membicarakan landasan kepengarangan Islam dalam eseinya yang bertajuk Ada Apa Pada Seniman? Esei pertama pada tahun 2006 ini tidaklah sekadar menyebut perkataan ‘Tuhan’ tetapi terus memperkatakan tentang hubungan antara pengarang dan dunia juga akhirat:

Kiranya inilah yang patut kita selongkar jauh-jauh ke dalam kalbu kita; menginsafi hakikat bahawa sekalian bakat kesenian itu adalah amanah yang dilimpahkan seniman untuk secara ikhlas mengabdikan pengucapan estetiknya bagi membuka ruang yang lebih luas dalam hati sanubari pembaca terhadap kepentingan tamadun yang manusiawi dan ukhrawi.
(Baha Zain, 2013:35)

Baha Zain kemudiannya menelusuri dirinya sebagai seorang pengarang Islam dengan lebih jauh pada bulan Mei 2006 dalam eseinya yang bertajuk Menziarahi Taman yang Dilalaikan. Esei ini bermula dengan pembicaraan beliau mengenai dunia glokal dan global. Segala-galanya terlalu pantas sehingga masyarakat terlupa dan terlalai. Setelah itu, Baha Zain meniruskan pembicaraannya tentang golongan masyarakat ini kepada seniman, pemuzik, pelukis, penyair, penari dan pengarang kerana Baha Zain berada dalam golongan ini dan beliau sebenarnya menilai dirinya sendiri. Kata beliau dalam esei ini:

Seniman pun tidak seluruhnya bebas daripada ketelanjuran ini kerana membisukan bahasanya daripada memberi makna taman dan kandungannya terhadap kehidupan manusia di dunia, dan di akhirat di mana ada taman abadi jannat al-firdaus yang indah dihiasi sungai yang mengalirkan air jernih, anggur, susu dan madu.
(Baha Zain, 2013:51)

Baha Zain menegur seniman yang tidak menggunakan senjata bahasanya ke arah kesejahteraan dunia dan ukhrawi. Di sinilah jugalah kepengarangan Baha Zain sebagai seorang Islam terserlah bahawa beliau seorang pengarang yang merujuk al-Quran dalam penulisannya. Empat sungai yang mengalirkan air jernih, anggur, susu dan madu itu jelas difirmankan oleh Allah swt:

Perumpamaan taman syurga yang dijanjikan kepada orang-orang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau, dan sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai khamar (yang tidak memabukkan) yang lazat rasanya, dan sungai-sungai madu yang murni.
(Muhammad: 15)

‘Taman yang dilalaikan’ yang dimaksudkan Baha Zain adalah taman syurga yang seringkali manusia alpakan apatah lagi dalam zaman moden ini yang menuntut segala-galanya menjadi sepantas mungkin. Pada akhir esei ini, Baha Zain mengajak para seniman yakni dirinya juga, kembali mengingati ‘taman yang dilalaikan’ ini:

Seniman, marilah kita kembali menziarahi taman yang dilalaikan dan bersentuhan dengan tanah yang menghidupkan. Peganglah debu-debunya, semai sebiji benih, hirup udaranya, dan cium bau rumput dan bunga kerana apa juga yang kita lukis, nyanyi dan ucapkan, tidak mungkin tidak bersentuhan juga akhirnya dengan bumi dan tanahnya.
(Baha Zain, 2013:52)

            Penutup esei ini sangat halus tetapi terpantak terus ke hati. Baha Zain mengajak para seniman kembali mengingati ukhrawi dan kembali ke dalam diri melalui frasa ‘bersentuhan dengan tanah yang menghidupkan’. ‘Peganglah debu-debunya, semai sebiji benih, hirup udaranya dan cium bau rumput dan bunga’ membawa erti yang mendalam tentang kehidupan yang bermula dari dalam diri seorang manusia yang kerdil dan halus sekali asal kejadiannya daripada tanah, dan hiduplah sepuas-puasnya dan sebenar-benarnya seakan hidup seribu tahun lagi seperti sabda Rasulullah, tetapi ingat, segala-gala yang dipegang, disemai, dihirup dan dicium baunya itu tetap kembali kepada-Nya kerana mati itu pasti.

Hal ini samalah seperti teguran beliau terhadap seniman yang hanya menulis tentang duniawi sehingga mengabaikan ‘taman dan kandungannya’ yakni urusan ukhrawi yang perlu dijaga sebaik mungkin. Kepengarangan Islam yang ditonjolkan oleh Baha Zain sedemikian halus sifatnya. Ajakan keagaamaannya tidak menyakitkan hati, tidak dipaksa-paksa, indah metaforanya dan sepertinya hanya perlu diangguk untuk diiyakan sahaja kewibawaannya.

Hal metafora dalam penulisan esei Baha Zain turut pernah diperkatakan oleh Profesor Madya Rahman Shaari:

Dalam bidang esei, kita dapati tulisan Baharuddin Zainal dicirikan oleh corak metafora tertentu…
(Rahman Shaari, 1993: vii)



Rumi Dan Alam Maya merupakan sebuah esei yang ditulis oleh Baha Zain tentang Jalaluddin Rumi penyair sufi yang terkenal dengan puisinya, Masnawi. Baha Zain dalam esei ini menampakkan bahawa peran tauladan kepada para pengarang adalah penyair sufi ini melalui penceritaannya tentang Rumi. Rumi dalam puisinya membawa manusia menyelami hakikat kejadian diri yang dicipta oleh Tuhan Azzawajalla. Rumi juga sering memerhatikan alam dan memikirkan kejadiannya dan kebesaran Allah yang membawa diri lebih dekat dengan Tuhan pencipta dirinya. Itulah yang diceritakan oleh Baha Zain tentang Jalaluddin Rumi, seorang penyair ulul albab, dalam eseinya yang ke-20 ini.

Walau bagaimanapun, Baha Zain bukan mahu menceritakan perihal pemerhatian dan pemikiran Rumi semata-mata. Baha Zain cuba membawa isinya kepada perihal kebenaran dalam diri seseorang pengarang meskipun ada yang memperkotak-katikkan kebenaran itu malah memusuhi kebenaran tersebut. Lalu, Baha Zain perturunkan salah sebuah puisi Rumi yang menceritakan kebenaran dalam eseinya ini:

Semuanya adalah mawar, walaupun di luarnya nampak seperti duri,
itu adalah cahaya daripada Belukar Terbakar, walaupun ia nampak seperti api
(Baha Zain, 2013:92)

Puisi Rumi di atas membawa pengertian bahawa segala kebenaran itu indah meskipun luarannya tampak menyakitkan. Kebenaran nampak seperti sebuah kemusnahan sedangkan itulah cahaya sejati. Baha Zain kemudian mengajak untuk berfikir tentang kebenaran yang dimaksudkan dalam puisi tersebut dan menilai diri sebagai seorang penyair dalam memperjuangkan kebenaran:  

Dapatkah penyair kita memikul beban yang berat ini sambil berjalan menuju ke arah cahaya itu? Kalau cahaya itu yang dituju kelekatu, maka begitulah ia sampai ia akan mati dalam nikmat yang abadi.
(Baha Zain, 2013: 92)

Baha Zain membawa pemerhatian dan daya fikirannya tentang kelekatu dan kehidupan serangga itu dengan kebenaran yang selalu disembunyikan untuk perkara yang menguntungkan. Pada fikiran Baha Zain, penyair itu harus seperti kelekatu yang terus sahaja menuju ke arah cahaya meskipun akan mati kerana cahaya itu. Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt:

Yang mendengar perkataan lalu mereka menuruti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk dan dikurniakan akal.
(Az-Zumar: 18)

Baha Zain menggabungkan sifat ulul albab, yakni sifat pemikir yang ada dalam diri Rumi, dengan akal kurniaan Allah swt yang seharusnya dibawa kepada kebenaran dalam maksud esei beliau ini. Al-Mawardi pula menyitir hadis mengenai cahaya, kebenaran dan akal ini dalam kitabnya Adabud Dunya Wa Ad-Din bahawa Rasululullah saw bersabda:

Akal itu cahaya dalam hati
(Harun Yahya: vii)

Oleh hal yang demikian, hanya orang yang berakal mampu untuk berfikir tentang kebaikan atau keburukan, yang hak atau yang batil, dan berupaya menuju kebenaran.

Esei yang bertajuk Sunyi Sepi Sendiri, diterbitkan pada bulan September 2008, membawa usul untuk melihat ke dalam diri sendiri dan kebenaran masih juga berada seputar persoalan. Hal ini jelas diperlihatkan seperti berikut:

Penulis harus sesekali belajar menyendiri, melihat wajahnya sendiri, dan menjauhkan kehadirannya daripada kesibukan ramai yang hanya diperlukan oleh politikus dan demagog. Penulis perlu mempertajamkan jiwa raganya bagi menembusi dinding tebal kenyataan untuk menemukan kebenaran hakiki bagi dirinya dan bagi orang lain.
(Baha Zain, 2013: 182)

Baha Zain kemudian mengambil contoh Al-Ghazali, seorang imam yang terkenal:

Al-Ghazali memencilkan dirinya bertahun-tahun dan melakukan perjalanan yang panjang untuk mencari ilmu serta kebenaran.
(Baha Zain, 2013: 182)

Kemudian, Baha Zain menyesuaikan diri seorang insan yang kebanyakan biasa sahaja sifatnya berbanding Al-Ghazali:

Andai kita tidak berjaya memencilkan diri, untuk suatu kesendirian dan pengembaraan yang panjang, bersiar-siarlah di taman sewaktu subuh dingin atau ketika malam diterangi bulan… Kebesaran-Nya tertulis di daun-daun, di rumput berembun, bunyi ungags dan serangga serta cahaya menyelinap turun dari cakerawala.
(Baha Zain, 2013: 182-183)

Baha Zain, dalam konteks kepengarangan Islam masih bercakap soal cahaya kebenaran dalam agama Islam baik dalam eseinya yang bertajuk Sunyi Sepi Sendiri mahupun Rumi dan Alam Maya. Kedua-dua esei ini menyarankan kebenaran melalui pemerhatian dan pemikiran yang bertauhidkan Allah swt. Oleh sebab itu, jelaslah apa yang dikatakan tauhid itu yakni akidah yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah di samping hujah akal, kekuatan akal dan daya fikir (quwatun natiqah) seseorang ulul albab ataupun pemikir dalam mencari kesempurnaan hidup.

Baha Zain meneruskan eseinya tentang kebenaran dalam diri seorang pengarang pada bulan November 2008 dengan tajuk Sesudah Adam, Sastera Kita Menghadapi Dosa. Esei ini bermula dengan sejarah penciptaan Nabi Adam as, dosanya dengan Hawa kerana mendekati dan makan buah Khuldi lalu diturunkan dari syurga, membawa kepada pembunuhan pertama dalam kalangan manusia antara Habil dan Qabil. Baha Zain melihat bahawa keampunan Tuhan itu maha luas. Oleh hal yang demikian, perkara yang harus dilakukan adalah bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh:

…manusia juga harus bertaubat dan berdoa, dan menyesali perbuatan buruk supaya Tuhan memberikan jalan keluar daripada sebarang kedurjanaan. Tegasnya, kita harus menjadi makhluk beragama kerana doa merupakan salah satu kekuatan, senjata dan amalan yang disuruh oleh Tuhan.Kita tidak boleh putus asa, tetapi tawakal dan selalu optimis.
(Baha Zain, 2013: 191)

Hal memohon keampunan dan berdoa bersungguh-sungguh ini sangat bertepatan dengan firman Allah swt:

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah az-Zumar: 53).

Seterusnya, Baha Zain memberitahu tentang beberapa ideologi ataupun –isme yang terdapat di dunia ini:

Jikalau Plato lebih 2 000 tahun dahulu melihat manusia sebagai makhluk sosial yang banyak ditentukan nasibnya oleh akal, Ernst Cassirer melihat nasib manusia bergelut dengan simbol-simbol; komunis melihat nasib manusia sebagai hasil daripada sistem ekonomi di sekitarnya; dan para eksistensialis menganggap manusia terlontar ke dunia dalam keadaan simpang siur di luar kehendaknya dan tidak tahu asal-usulnya…
(Baha Zain, 2013: 191)

Baha Zain kemudian menyambung tentang kepengarangannya sebagai seorang Islam pada bahagian yang sama :

…tetapi Islam menempatkan manusia sebagai makhluk yang jelas sejarah dan matlamatnya, dan bebas memilih ke mana hendak dituju.Dengan kreativiti dan imaginasi yang besar, apa yang penulis perlukan lagi ialah pegangan falsafah yang jelas untuk mengolah kekayaan bahan daripada sejarah zaman dahulu, dan daripada peristiwa-peristiwa semasa bagi mencipta karya yang bermakna.
(Baha Zain, 2013: 191)

Dalam esei tentang ‘dosa’ sastera kita ini, Baha Zain menjelaskan dirinya sebagai seorang pengarang Islam yang meletakkan agamanya pada nombor yang utama dan falsafah ataupun ideologi atau isme yang lain pada hal yang kedua dengan syarat falsafah itu memiliki pegangan yang jelas dan tidak menyesatkan. Pada akhir esei ini, Baha Zain meletakkan harapan bahawa ‘dosa’ sastera kita akan terampun sekiranya sastera, dalam erti kata lainnya, pengarang, bangun daripada dosa-dosanya kerana Tuhan itu Maha Pengampun.

Catatan Kepada Seorang Moderator merupakan esei Baha Zain pada penghujung tahun 2009. Esei ini berkisar mengenai diri beliau sebagai seorang pengarang apabila salah seorang penulis ASAS 50 Singapura, Yazid Hussein, meminta beliau menyediakan sedikit maklumat yang menerangkan dirinya sebagai seorang pengarang untuk Festival Penulis Singapura pada penghujung Oktober tahun yang sama. Esei ini seperti satu proses muhasabah diri seorang pengarang pada hujung tahun dan menjelang tahun baharu.

Setelah mengenang-ngenang perjalanan diri sebagai seorang pengarang setelah hampir 50 tahun, pada penghujung esei ini, Baha Zain menjelaskan bahawa dalam dunia pengarang setelah tiada lagi pilihan yang dapat melepaskan beban fikiran dan perasaan, kepengarangan akan tiba pada kemanusiaan dan pengarang:

Kalau bentuk tidak memberikan banyak pilihan kepada sasterawan, dan tema ada pelbagai macam dan jenisnya dalam kehidupan sehingga memaksa pengarang yang perasa memikirkan secara sedar – pengarang tersebut akhirnya akan sampai pada suatu kenyataan hakiki, iaitu kemanusiaan dan ketuhanan. Hal ini adalah matlamat pengembaraan kesenian yang terunggul, yang tidak akan kering-kering digali sedalam dan selama mana pun.
(Baha Zain, 2013: 251)

Tanggungjawab kepengarangan Islam turut dijelaskan oleh Baha Zain pada penghujung esei ini. Baha Zain mengembalikan dirinya sebagai seorang pengarang yang berjuang atas nama Tuhannya:

Lebih penting daripada itu, penulisan adalah amanah dan tanggungjawab yang sebenarnya: memperjuangankan kebenaran Tuhan dan kebaikan untuk manusia. Inilah amanah dan tanggungjawab, baik untuk penulis muda atau penulis dewasa. Dengan tujuan tersebut penulis akan terhindar daripada menulis dengan tujuan yang salah.
(Baha Zain, 2013: 251)

Tanggungjawab kepengarangan yang ada dalam diri Baha Zain turut diperakui dalam kolum Bicara Karya oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh:

Temanya selalu baharu, terutamanya kolum Monolog Kecil Dewan Sastera. Perkara yang selalu hadir ialah makna sastera, fungsinya dan sasarannya – suatu kebenaran dan tanggungjawab.
(Dewan Sastera September 2013: 35)

Bagaimana Nama Bermain Di Tangan Takdir merupakan esei yang menyentuh soal tokoh-tokoh cendekiawan Melayu yang dianggap sebagai golongan subversif atau politik haluan kiri meninggal dunia sekali gus membawa bersama-sama mereka rahsia negara. Baha Zain membawa persoalan ketokohan yang besar tetapi namanya dipandang enteng hanya kerana menegur permasalahan yang tertentu. Maka, adilkah keadaan itu dan apakah takdir telah mempermainkan nama-nama tersebut? Hal ini sering dipersoalkan dalam falsafah barat. Jika Tuhan itu adil, kenapa berlaku juga hal-hal yang buruk? Jika Tuhan itu benar-benar wujud mengapa tidak hal-hal yang baik sahaja berlaku? Hal ini disebut sebagai The Problem of Evil dalam falsafah Barat:

In its simplest form, the problem can be stated like this:
·         If God created the world
·         And if God is all-powerful and all-loving
·         Then why is there evil and suffering in the world?
Conclusion:
·         Either God is not all-powerful

·         Or God is not all-loving
·         Or suffering is either unreal, necessary or a means to a greater good
·         Or the whole idea of an all-loving and all-powerful creator God was a mistake in the first place.
(Mel Thompson, 2013:76)

The Problem of Evil tidak berlaku dalam kepengarangan Baha Zain. Baha Zain, seperti biasa mengembalikan dirinya kepada Tuhan. Begitu juga dengan hal takdir, Baha Zain meletakkan segala kebaikan itu di sisi Tuhan:

Kalau kematian adalah takdir yang tidak dapat dielakkan, apakah tindakan salah atau betul adalah suatu takdir juga? Kalau perbuatan buruk atau kecelakaan dianggap takdir dan dengan itu tidak boleh dikritik, apakah perbuatan baik dan keberuntungan dianggap takdir juga dan tidak perlu dipuji dan diberikan ganjaran? Semua kejadian ini (buruk dan baik), adalah dalam pengetahuan serta kebijak sanaan Tuhan. Hanya Dia yang menjadikan gempa dan tsunami, dan hanya Dia menganugerahkan perasaan dan akal supaya bebas memilih “…jalan yang lurus.”
(Baha Zain, 2013: 270)

Esei ke- 61 dalam Monolog Kecil, Kebudayaan: Dimanakah Kesilapan Kita? membicarakan kebudayaan masyarakat dalam era globalisasi pada abad ke-21 yang mengalami dekadensi. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:

Demokrasi, globalisasi dan kecanggihan Internet sedang menjadikan kita seperti ‘apa-apa yang ada pada diri kita’ sekarang, bukan untuk menjadikan ‘siapa kita’ di tengah-tengah dunia antarabangsa.
(Baha Zain, 2013: 280)

Baha Zain terus mengkritik masyarakat yang kenyataannya bobrok dalam esei ini:

Betapa hodohnya logik berfikiran seperti ini yang boleh juga dikaitkan pada masalah kejahatan lain seperti rasuah, rogol, pengedaran dadah, pecah amanah, fitnah dan pencurian.
(Baha Zain, 2013: 281)

Allah swt berfirman dalam al-Quran tentang jihad melawan orang kafir dan munafik:

            Wahai nabi! Berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahanam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
(At-Taubah: 73)
Baha Zain mengerti akan tanggungjawab seorang Islam dalam menyampaikan pesan dalam penulisannya. Hal ini dapat dikesan melalui penyataan beliau:

Kalau kita tidak boleh melawan kejahatan, mengapa pula menghalalkan?
(Baha Zain, 2013: 281)

Baha Zain melihat pada daya melawan yang tiada kekuatan pada fizikalnya, hati tidak dapat tidak, usahlah pula menyokong kejahatan itu. Inilah yang sabdakan nabi sebagai jihad paling kecil, yakni jihad melalui hati.

Kata Maulana Tentang Hati, sekali lagi menampilkan esei Baha Zain tentang Jalaluddin Rumi. Eseinya kali ini menggariskan Tujuh Nasihat Maulana yang tertera pada sebidang tekstil yang diterima beliau sebagai hadiah. Antara nasihat Maulana Rumi yang dikongsikan dalam esei ini:
·         Sewaktu bermurah hati menolong orang, jadilah seperti sungai
·         Sewaktu menyembunyikan kelemahan orang, jadilah seperti malam
·         Sewaktu marah dan berang, jadilah seperti mati
·         Sewaktu besederhana dan merendah diri, jadilah seperti bumi
·         Sewaktu bertoleransi, jadilah seperti lautan
·         Sewaktu mengasihani dan beradab sopan, jadilah seperti matahari

Tekstil ini digantung pada pintu masuk studio tulis Baha Zain agar setiap kali beliau masuk ke sana. Tekstil ini menjadi peringatan untuk dirinya sendiri agar memerangi hati yang berkelubung nafsu.  Baha Zain turut melihat nasihat-nasihat Rumi yang lain untuk dijadikan panduan dalam dirinya sebagai seorang pengarang:

Salah memilih yang benar dan nyata, kata Maulana Rumi, sama seperti pemburu mengejar burung yang terbang di atas tanah, sedangkan itu hanya bayang-bayang daripada burung sebenarnya yang terbang di udara. Betapa lelah dan tercungap-cungap nafas kita. Apa yang berjaya diburu hanya bayang-bayang sahaja.
(Baha Zain, 2013: 307)
Baha Zain membanding-bandingkan keadaan masyarakat yang berpenyakit dalam era pemodenan dan pembangunan juga kancah politik yang tidak pernah tenang geloranya sebagai percubaan menangkap burung seperti yang dikatakan oleh Maulana. Masyarakat kita sedang mensia-siakan nafasnya yang sepatutnya dapat digunakan untuk pembangunan rohaniah di samping pembangunan jasmaniah.

KESIMPULAN

Baha Zain boleh dilihat sebagai pengarang yang sentiasa mengikat kepengarangannya kejap pada Islam. Beliau amat mementingkan keikhlasan dan kebenaran dalam monolognya kepada bangsa kerana pada dirinya itulah tanggungjawab utama seseorang pengarang Islam. Monolog Kecil diikat sebegitu rupa. Malah sebenarnya nadi kepengarangan Baha Zain melalui akidahnya sebagai seorang Islam dengan gabungan daya akal dan daya fikirnya yakni quwatun natiqah memang tidak pernah terlerai dari ikatan itu. Lihat sahajalah cerpennya, Malam Yang Melemparkan dalam Majalah Dewan Sastra Januari 1971 yang telah menegaskan tujuan kepengarangannya dalam membentuk masyarakat:

Seni tak akan tunduk kepada kekotoran ini dan aku tak akan menjadikan seni untuk alat ini…Seni pada tahap akhirnya akan berontak dengan sistem dan struktur di sekelilingnya. Aku tak bisa menempatkan seni di dada kiri dan kerakusan di dada kananku.
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2013: 13)

*Gambar-gambar: Google

Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan