Khamis, 28 Januari 2016

MINGGU PENULIS REMAJA: IDEOLOGI DAN TARING YANG PATAH


Minggu Penulis Remaja (MPR) adalah program Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dahulu alumni ditunjangi oleh Hizairi Othman, sebelum beliau hilang dengan keadaan yang sangat misteri sehingga sekarang. MPR menumbuh dengan sangat gah, dengan para penulis kelahirannya yang membawa kredibiliti masing-masing. Zaen Kasturi, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Hafizah Iszahanid, Ahmad Patria Abdullah, Uthaya Sankar, Allahyarham Rahimidin Zahari, (sekadar menyebut beberapa nama). Saya kecualikan dahulu nama Faisal Tehrani dengan asbab.

Kebelakangan ini, MPR dilihat melahirkan produk yang tidak berapa menjadi. Entah siapa alumninya, sepi dan sunyi. Bilakah tarikh MPR diadakan pun, siapa sahaja yang tahu? Sedar-sedar, sudah habis tempoh seminggu, setelah tiga empat bulan program selesai.

Oleh sebab itu, dalam Sesi Ngopi Bersama di Kafe Buku Oakheart, saya bertanyakan hal ini kepada Saifullizan Yahaya, salah seorang pegawai DBP, penulis dan orang yang pernah terlibat dengan MPR. Saya mengenali beliau juga melalui MPR pada tahun 2007.

Masih relevankah MPR? 

Kerana ia sudah sunyi. Tidak disebut-sebut seperti waktu dulu. Tidak lagi dipandang sebagai suatu kelompok yang hebat. Elit. Malah ada alumni yang malu untuk mengaku, mereka adalah produk MPR. Sudah berlalukah zaman MPR?

Saifullizan Yahaya menyatakan bahawa beliau menyedari keadaan ini. Beliau memetik beberapa nama yang dilihat sebagai produk 2007 yang berani; Aidil Khalid, Wan Nor Azriq. Dan, saya sendiri. Mohon maaf, kerana harus menyebut diri sendiri. Saya tahu ini 'poyo' tetapi saya hanya menyalin percakapan Saifullizan. Saya kurang faham dengan terma berani itu. Saifullizan menjelaskan bahawa keberanian membawa diri masing-masing. Aidil Khalid dengan kelantangannya. Wan Nor Azriq dengan ketajamannya. Dan saya dengan gerakan Legasi Oakheart, meskipun beliau sendiri dengan jujur bertanya sejelas apakah Legasi Oakheart dalam dunia sastera; saya dan Hafiz Latiff sudah terangkan kepada beliau, bahawa setakat ini cukuplah penulis baru datang mencari landasan untuk terbang. Kemudian terbanglah tanpa cap 'Legasi Oakheart' di dahi masing-masing. Paling penting terbang tanpa khianat.

Saifullizan memikirkan bahawa MPR masih relevan. Beliau menjawab dengan jujur tetapi agak berhati-hati kerana jelasnya MPR 'bukan kawasan rumahnya'. Beliau tidak mahu terlalu mencampuri urusan ini. Tetapi, pada saya, saya melihat pandangan Saifullizan sebagai suatu hal yang penting kerana beliau orang sastera. MPR pula juzuk sastera.

MPR memerlukan pembimbing yang bukan semata-mata punya kredibiliti dan aktif. Ini adalah refleksi juga untuk cadangan Khairil Idham dari GKLN; sebab itu saya tidak menjawab beliau di Facebook. Jawapannya sudah Saifullizan berikan untuk saya turunkan di ruang ini.

Kredibiliti dan aktif tidak cukup. Tetapi punya ideologi. Malang sekali, untuk waktu ini, kita tidak mempunyai penulis yang memiliki ideologi untuk membawa MPR ke hadapan. Dan tiada pula penulis yang memiliki fenomena yang tersendiri. 

Tidak seperti Faisal Tehrani yang memiliki ideologi yang kuat. Dalam hal ini, sila ketepikan soal Syiah atau tidak. Dan saya meskipun menjadi anak muridnya, tidak pula bertukar fahaman atau menjadi murtad. Sebagaimana saya gilakan Narnia oleh C.S. Lewis yang sarat dengan elemen Kristianiti, saya hanya menikmati kualiti sasteranya. Dan kita sedang fokus kepada hal sastera Malaysia yang sebenarnya kucar-kacir.

Suka atau tidak, kalaupun Faisal Tehrani hilang dari bingkai sastera, karya beliau masih dipuji orang. Tidak kiralah siapa beliau sekarang, dan berapa orang pula yang anti dengan beliau. Faisal Tehrani masih teguh. Dan MPR, untuk beberapa tahun, dibimbing oleh beliau termasuklah tahun saya bergraduasi, 2007. Itulah tahun terakhir Faisal Tehrani menjadi pembimbing MPR.

Tidaklah pula saya, Aidil Khalid dan Wan Nor Azriq dibentuk terus atau sipi-sipi menjadi Faisal Tehrani. Bahkan antara kami bertiga ada yang sudah tidak 'ngam' dengan guru kami ini. Tetapi pokoknya, pembimbing yang punya ideologi yang kuat, sedikit sebanyak memberi kesan.  Ini pandangan Saifullizan Yahaya. Tidak akan ada Faisal Tehrani kedua, ketiga dan seterusnya. Kita harus realistik untuk perkara ini. Kita cuma boleh mengharapkan wujudnya penulis sekuat bahkan lebih kuat daripada Faisal Tehrani.

Aktif dan kredibiliti, menang hadiah, ikut acara itu ini, berorganisasi sana-sini, tidak cukup untuk mengembalikan tenaga MPR. Kekuatan karya juga tidak dapat dibanggakan sebagaimana Faisal Tehrani membawa fenomenanya tersendiri dalam berkarya.

Pandangan saya, zaman ini, zaman penulis sibuk dengan karya sendiri, menaikkan nama sendiri atau nama kelompoknya. Kecil sekali yang mahu membantu naik bersama-sama. Bahkan kualiti karya yang memenangi hadiah sastera juga sudah boleh dipertikai ramai. Tidak mengapa kalau sastera kita ke laut dan tenggelam. Yang penting menang hadiah dalam negara sendiri.

Waima di tanah seberang, karya sastera kita tidak dipandang. Ini pengalaman saya bertanyakan rakan-rakan penulis di Indonesia. "Kami tidak fikir buku sastera Malaysia boleh dijual di sini. Sebab kami sudah ada Pramoedya, Widji Thukul, Hamka, dan Chairil." Saya tidak boleh marah dengan kenyataan ini. Bolehkah ia disangkal? Anak Malaysia sendiri memandang karya sastera Indonesia lebih tinggi berbanding kepunyaan sendiri. Dan kita mahu marah walhal kualiti yang tidak seberapa kita hidangkan? Entah hedonisme apa yang sedang membelenggu dunia sastera kita. Ia sakit. Adakah ubatnya? Sebab sekarang lambakan penulis juga memadatkan ruang kecil kita dengan 'jeopardise' masing-masing.

Berbalik kepada MPR, bagaimana kalau kita mendapatkan khidmat bimbingan luar untuk MPR? Saya serahkan persoalan ini kepada alumni MPR yang lebih berpengalaman. Tetapi, jika diikut pemerhatian saya, cubalah. Cuba 'langkah mayat' alumni MPR dahulu. 

Kalaupun Fahd Razy menyatakan sebagaimana dalam komennya di Facebook saya (Fahd Razy terbuka menyatakan ini, jadi saya fikir terbuka juga saya memberi pendapat), berikan dana kepada GKLN biar GKLN uruskan, ini adalah 'conflict of interest'. Kita mahu berikan tenaga kepada MPR atau GKLN sebenarnya? Atau ada pula persatuan lain yang mahu uruskan, isunya tetap sama. Tidakkah kita mampu belajar daripada keadaan bola sepak yang boleh ditolak ke tepi dan ke tengah? Mahu bangkitkan pasukan bola sepak atau popularkan syarikat? Ini logik yang mudah dipelajari cuma pihak pendana sahaja yang sebaliknya. Sejelasnya, jangan ulangi. Tetapi, terserahlah. Saya di ruangan ini cuma menyuarakan pendapat.

Secara jujur, ada beberapa orang sastera berbisik kepada Hafiz Latiff, tolong bangkitkan MPR. Dan, setelah melihat zine Oakheart terbit berkala dan tidak putus, ada pula yang mengusulkan agar buletin MPR diuruskan oleh kami. Dengan cadangan itu kami baru tahu bahawa MPR pernah memiliki buletin. Tapi kami memikirkan ketelusan. Kami sudah ada Legasi Oakheart. Bolehkah kami keluarkan Legasi Oakheart sebentar sementara menguruskan MPR? Kalau mahu uruskan MPR, biar MPR berdiri berdikari seperti suatu masa dulu. Kami memilih untuk diamkan permintaan itu. Tidak ada idea langsung dalam kepala kami untuk uruskan MPR kerana MPR ada acuannya sendiri sehinggalah beberapa permintaan itu datang. Dan jujur, kami tidak pula fikir bahawa kami layak dengan karya kami yang tidak seberapa meskipun orang menyedari gerakan kami.

Antara perkara yang mungkin perlu dititik berat juga adalah pemilihan peserta MPR. Pemilihan harus diperketatkan. Seperti yang saya pernah bincang dengan seorang tokoh, untuk pencalonan sasterawan negara, jika tiada yang layak untuk sesuatu tahun, kita tidak perlukan sasterawan negara pada tahun tersebut. Begitulah halnya, jika pada sesuatu tahun, tidak ada calon yang layak, MPR tidak perlu diadakan; di mana mustahil untuk tidak ada calon yang layak untuk berprogram seminggu. Pentingkan kualiti dan bukan kuantiti. Kalau lima orang sahaja yang layak, ambillah lima orang sahaja. Kalau hanya tiga orang, bimbinglah tiga orang. Mungkin akan ada sedikit kekacauan pada bahagian peruntukan kewangan. Carilah inisiatif lain untuk mengelakkan hal ini. Saya kira pihak berwajib lebih bijaksana mengendalikannya.

Kualiti lebih penting. Kalaulah masih mahu produk MPR menjadi sebahagian masa depan sastera tempatan; mereka mungkin calon sasterawan negara atau membawa sastera Malaysia ke peringkat dunia dengan tidak menafikan pula masa depan penulis bukan MPR.

Itulah, antara hal daripada banyak hal yang dibincangkan dalam Ngopi Bersama 26 Januari 2016. Masih relevankah MPR? Ada sesiapa lagi mahu jawab?


Sayidah Mu'izzah

4 ulasan:

  1. Balasan
    1. Terima kasih untuk bacaan.
      Mungkin Pok Nik ada pendapat juga. Boleh dikongsi.

      Padam
  2. Saya tidak pernah dibesarkan dengan sastera, malah saya tidak pernah tahu sastera itu bagaimana sebenarnya. Saya bina minat itu sendiri. Saya cari program yang membolehkan saya tahu tentang penulisan. Lalu saya temui MPR dan saya dapat sertainya pada tahun 2012. Itulah jejak pertama saya dalam bidang ini saya kira.

    Empat tahun sudah saya tinggalkan MPR dan sepanjang perjalanan inilah, saya mula berkenalan dengan penulis dan barulah saya tahu yang rupa-rupanya produk MPR hebat!Maka saya berazam (angan-angan sebenarnya) kalaulah saya boleh jadi seperti mereka kelak.

    Lalu sebagai insan yang tidak pernah faham perjuangan MPR sebenar dan liku-liku silam, tentunya saya amatlah tidak layak untuk memberikan sebarang pendapat tentang relevan atau tidak MPR sekarang. Cuma melihat kepada tahun-tahun selepas penyertaan saya, yang masih berlegar-legar dalam kepala saya ialah, "Agaknya memang daripada dua puluh, ada la seorang dua yang menjadi".

    Sekian perkongsian budak hingusan yang meleleh sampai kena kesat dengan baju.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih untuk bacaan.
      Setiap orang punya pendapat sendiri dan berhak memberikan pendapat (dengan adab). Terima kasih untuk pendapat Wan Hanif. Memang kita tak boleh mengharapkan semua alumni menjadi. Tetapi seperti yang dibandingkan, tahun-tahun ke atas dengan tahun-tahun ke bawah, alumni senior lebih ramai yang menjanjikan. Alumni yang baru, kita doakan, moga menjanjikan sesuatu juga.

      Padam