Khamis, 14 Januari 2016

JAGAT - SUATU KECERDIKAN WAYANG GAMBAR


FILEM: Jagat
PENGARAH: Shanjhey Kumar Perumal
LAKON LAYAR: 
PELAKON: Harvin Raj, Jibrail Rajhula, Tinesh Sathi Krishnan, Kuben Mahadevan

JAGAT memulakan kisah dengan mise-en-scene yang punya semiotik. Seorang budak lelaki bernama Apoi/Shankar berjalan dengan keadaan wajah yang tegang, langkah yang panjang-panjang dan bahasa tubuh yang tidak menyenangkan. Dia berjalan meninggalkan kuil di belakang. Meninggalkan Tuhan. Meninggalkan kebaikan. Bingkai ini terus membawa premis cerita. Malah sangat kongruen dengan judul filem ini sendiri; Jagat bermaksud jahat.  Keadaan ini diperkukuhkan pula dengan kehadiran seorang lelaki, Chicago, menghulurkan sepuntung rokok. Dan setelah 5 minit tanpa dialog, kita dibawa ke bulan-bulan yang sebelumnya. Ini sempurna.

Watak dan perwatakan dalam Jagat juga memberi pengukuhan kepada cerita. Perwatakan Apoi, seorang budak sekolah rendah, memiliki imaginasi yang menakjubkan. Kita dapat melihat hal ini daripada karangannya tentang sebatang pen yang boleh terbang. Tetapi gurunya tidak memberikan gred A kepada Apoi. Ibu Apoi mencurah air panas. Ayah Apoi mula meradang. Keseiringan bingkai ini sangat melambangkan satu sama lain; air panas dan kemarahan. Apoi sekali lagi tidak mendapat A untuk subjek lukisan sedangkan idea yang dibawa olehnya adalah idea luar kotak. Apoi tidak melihat sesuatu secara zahir tetapi melihat kepada subteks sesuatu perkara. Hal ini disebut oleh gurunya - Spoon and glass. But you draw the clink. Sudu dan gelas hadir secara zahir. Dentingan bersifat batiniah. Guru Apoi menukar gred kepada gred A. Kata gurunya suatu hari nanti Apoi akan faham. Dalam masa yang sama, kata-kata itu memberikan ruang terbuka kepada penonton untuk memahami sendiri perkara zahiriah dan batiniah dalam hal sudu dan gelas juga gred yang belum tentu membentuk seorang insan.

Jagat hanya memberikan satu garis masa dalam bentuk tipografi; few month earlier. Tetapi penonton diberitahu melalui suara corong radio bahawa zaman Jagat adalah zaman pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad dan usaha merapatkan jurang ekonomi masih dijalankan. Kaum India agak ketinggalan. Dan kemiskinan luar bandar tidak mendapat jalan penyelesaiannya (sehingga hari ini). Ada sedikit ujian rasisme dalam filem ini. Ujian yang penonton jawab sendiri-sendiri. Maniam, ayah Apoi diberikan gaji oleh tauke kilang arang, dengan jumlah yang sedikit. Hujahnya, Maniam sudah ambil gaji pendahuluan dan Maniam menegaskan bahawa dia tidak mengambilnya. Nah, adakah penonton masih dalam pemikiran bahawa kaum Cina adalah kaum penipu? Dan kaum India kaum pemutar belit? Kalau ya, anda masih rasis. Tauke kemudiannya memberikan baki gaji Maniam dan memohon maaf kerana tersalah kiraan.



Semiotik yang menarik juga apabila Mexico, apabila ayah saudara Apoi yang bekerja sebagai tukang tarik kereta terpaksa menarik kereta seorang ketua samseng. Ketua samseng itu tidak berkata apa-apa. Dia hanya meletakkan kunci dan pistol di atas keretanya dan kembali menikmati makanan. Mexico hampir meninggalkan kereta tersebut tetapi tidak jauh. Dia memilih kunci, pistol dan kereta; kunci sebagai keputusan, pistol simbol kejahatan, dan kereta adalah perjalanan hidup. Itulah keputusan Mexico. Mexico kemudiannya dikepung oleh para penjahat. Dia cuba lari tetapi terhalang oleh pagar berkunci. Ini bermakna, Mexico tidak akan dapat keluar daripada keputusan kunci-pistol-kereta itu tadi. 

Teknik yang bagus juga, apabila fragmentasi menceritakan kehidupan Apoi sekeluarga yang semakin dikasari hidup. Kata Bala, bapa saudara yang sering Apoi mesrai, "Many found the way. Only few master it." Tetapi dengan cara apa kita belajar untuk mahir dengan kehidupan? Atau daripada siapa dan dari mana kita belajar? Sekolah, tivi atau diri sendiri? Ini persoalan menarik. Jawapannya, adalah cermin, yang diberikan Bala. Diri sendiri. Usaha sendiri. Kesedaran diri. 

Ini sinikal. Seorang guru yang ego, yang dikatakan semulia Tuhan tidak dapat mengajar Apoi dengan baik walaupun hanya untuk menghafal sifir 12. Dan hal yang begini baik, diajar oleh seorang bekas penagih dadah yang kemudiannya kembali menagih. Bala mati kemudiannya kerana dadah yang dicampur kaca. Apoi berjaya menghafal sifir 12 melebihi 12 x 12 yang dihafal di hadapan cermin. Ini subteks yang cantik. Pendidikan tidak seharusnya terkongkong dalam pagar sekolah seperti sifir 12 tidak harus hanya terkongkong pada 12 x 12. Seorang guru tidak harus bodoh sombong dan mengaku tarafnya semulia Tuhan. Apoi bergelut untuk melepaskan dirinya. Dan pendidikan, sekolah, juga guru sudah mati dalam diri Apoi apabila dia berpesan kepada 'lelaki si pemberitahu' agar menyebarkan bahawa gurunya sudah meninggal dunia. Subteks ini dikuatkan lagi dengan adegan Maniam menemui Apoi dan rakan-rakannya di jirat. Jirat itu sendiri membawa simbol kematian tersebut. Apoi dituduh menghisap rokok sedang dia tidak melakukan hal itu. Maniam mengikat Apoi di pokok. Dan Maniam menjadi samar dalam diri Apoi.


Apoi mula berkawan dengan geng Mexico setelah bapa saudaranya melepaskan dia daripada ikatan di pokok. Chicago mengajar Apoi menjadi samseng. Mexico meradang dan memberi amaran agar tidak melibatkan anak saudaranya dalam kancah kejahatan mereka. Tetapi selalu kita tidak sedar, kejahatan tidak perlu diajar. Adegan ini memberi 'hint' bahawa Chicago akan berpaling tadah dan menyertai kumpulan pengedar dadah. 

Subjek yang menarik dalam filem ini ialah perempuan. Senakal apapun Apoi, ibu masih diperlukan. Kucar-kacir seperti mana pun keluarga, ibu Apoi tetap 'menghidupkan' rumah. Sehingga akhirnya, tangan menjadi kosong dan yang tinggal hanya sabar dan tabah. Bingkainya hanya ada tangan meyerah gelang untuk digadaikan bagi melepaskan Mexico daripada tahanan polis. Perempuan, meskipun tidak perlu turut sama bertumbuk dan menembak, dia jugalah yang menyelamatkan keadaan. 

Mexico cuba melepaskan diri daripada geng samsengnya. Seperti mana dia berfikir bahawa memasuki dunia gengster akan memberi kesenangan, seperti itulah dia memutuskan bahawa keluar dari dunia itu akan memberikan ketenangan. Dia sepertinya silap mentafsir hidup. Sebab dalam masa yang sama, Apoi pula harus membuat keputusan sama ada akan mengikut ajakan Chicago, atau tidak. Satu keluar, dan satu masuk. Simbolnya dalam bingkai ini adalah sepuntung rokok yang dihulur kepada Apoi pada lima minit pertama filem ini bermula. Mexico keluar dengan wajah lebam menghadap langit cerah. Apoi dengan wajah yang tiada cedera meskipun sesudah bertumbuk dengan dua orang pelajar sekolah menengah menyambut rokok dan menghadap lapangan sampah-sarap dan nyaring suara gagak.

Penonton boleh tafsirkan mengikut pengakhiran masing-masing. Apoi menyambut rokok. Tetapi belum tentu menyalakannya. Dia masih punya peluang untuk tidak terpengaruh. Untuk pengakhiran terbuka begitu, kita tahu, kita masih boleh berharap untuk peluang melihat Apoi menjadi generasi yang membentuk kebaikan dalam masyarakat. 

Malaysia memerlukan filem seperti Jagat supaya kita memiliki kecerdikan wayang gambar. Sebagai sebuah filem yang baik, sinematografi adalah bonus besar. Filem yang bagus mempunyai mise-en-scene yang lengkap dengan semiotik. Ini bermakna setiap apa yang berada dalam sebuah bingkai memiliki fungsi yang turut menceritakan kisahnya. Ia tidak dibingkaikan dengan tujuan menyemak.

Gambar: Google


Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan