Selasa, 26 Januari 2016

EDITOR: 'MEMBIJAKKAN' PENULIS ATAU MEMPERBODOHKAN DIRI SENDIRI?


SEIRING dengan ramainya orang yang mahu jadi penulis sekarang, begitu jugalah munculnya para editor yang boleh dilihat nama-namanya pada setiap halaman hak cipta buku-buku yang diterbitkan. Kecuali, ada juga penerbit yang tidak mendedah atau meletakkan nama editornya pada buku yang diterbitkan yang saya kira atas sebab tertentu, ia disengajakan. Itu pilihan rumah penerbitan masing-masing.

Saya pecahkan editor kepada empat kategori dalam tulisan saya kali ini. Dan saya akan cuba perjelaskan mengikut kaca mata saya. Setelah itu, saya akan turut menyatakan pandangan saya terhadap tugas dan tanggungjawab sebenar yang digalas oleh seseorang editor, menurut pengalaman saya yang tak seberapa.

EMPAT KATEGORI EDITOR:
  1. Editor bertauliah yakni yang mengikuti kursus atau latihan khas dan mempunyai sijil pentauliahan atau perlantikan. Kebiasaannya, mereka mahir dengan bidang kerja ini.
  2. Editor tak bertauliah yakni yang tidak mempunyai sijil pentauliahan atau perlantikan. Apabila melihat nama-nama yang tertera, ada dalam kalangan editor ini merupakan penulis buku itu sendiri, atau dalam kalangan saudara-mara, atau kawan-kawan terdekat, atau entah siapa-siapa lagi. Selalunya terjadi kepada buku-buku penerbitan persendirian. Saya fikir, mungkin sahaja mereka mahu kurangkan kos atau sebenarnya tidak mengenali mana-mana editor yang boleh dijadikan rujukan sebelum menerbitkan karya mereka. 
  3. Editor berwibawa (tauliah atau tidak). Editor yang berwibawa pada perkiraan saya adalah editor yang memegang amanah dan tanggungjawab sebaiknya. Dia tahu apa yang dia baca dan apa yang dia buat, rajin membuat rujuk silang jika perlu, membantu manuskrip atau karya penulis nampak bijak di mata pembaca. Editor berwibawa bukan hanya melihat kesalahan ejaan, tanda baca, tatabahasa, struktur ayat dan lain-lain, tetapi beliau juga memainkan peranan untuk membuatkan naskhah tersebut nampak 'bersih'.
  4. Editor tak berwibawa (tauliah atau tidak). Saya perhatikan banyak buku yang ada di pasaran sekarang seolah-olah langsung tidak disunting. Kecewa juga apabila saya mendapati ada syarikat-syarikat penerbitan besar yang sepatutnya memiliki barisan editor, yang saya kira sudah semestinya memiliki pengalaman, tetapi buku-buku yang diterbitkan mempunyai kesilapan suntingan yang sangat banyak. Ada juga yang walaupun memiliki sijil pentauliahan, beliau belum tentu menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin, malah menggunakan 'kuasa' sesuka hati untuk mengubah sesebuah karya sehingga mengganggu dan mencacatkan karya tersebut. Lantas membuatkan apa yang cuba disampaikan oleh penulis kepada khalayak terbantut. Sepatutnya, segala suntingan yang dibuat harus dibincangkan semula dengan penulis supaya tidak berlaku salah faham antara editor dengan penulis tersebut.
Beberapa kali saya temui 'editor' yang  sombong, yang berlagak, "Ya, saya pun editor." Malah, berasa diri tahu semua hal. Sedangkan ada perkara yang di luar bidang yang perlukan perhatian dan pertolongan orang lain. Saya sendiri tidak berani mengaku diri saya sebagai seorang editor kerana beban yang digalas bukan hanya akan 'membijakkan' naskhah penulis, malah mungkin saja akan memperbodohkan diri sendiri.

Kita tak mungkin tahu semua hal dalam dunia. Kiranya ada yang memang tidak tahu, itulah fungsinya berbincang dan bertanya dengan penulis itu sendiri ataupun sesiapa yang mungkin lebih mahir dalam hal-hal yang sedang kita tangani.

Sebagai pembaca, saya berasa sakit mata jika sudah melaburkan wang untuk membeli sesebuah buku tetapi akhirnya tidak mampu meneruskan bacaan atas sebab terlalu banyak kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Sebagai penerbit, saya melihat tulisan ini sebagai teguran dan peringatan kepada diri sendiri dan juga rakan-rakan lain agar terus belajar dan berusaha memperbaiki kualiti suntingan supaya dapat memberikan naskhah yang terbaik buat para pembaca.

Sebagai penulis, jangan pula kita letakkan beban dan tanggungjawab sepenuhnya kepada editor untuk menyemak dan menyunting karya kita. Karya kita adalah tanggungjawab kita. Sepatutnya, kitalah yang menjadi editor awal untuk memastikan karya kita bersih dan secara tak langsung memberi tanggapan yang baik kepada editor juga pembaca.


Hafiz Latiff

0 ulasan:

Catat Ulasan