Isnin, 25 Januari 2016

BAJRANGI BHAIJAAN: IMEJAN KUAT MEMAKNAKAN BINGKAI


*Artikel ini telah terbit di majalah Dewan Budaya, Oktober 2015. 
Ini adalah edisi kemaskini dan tanpa suntingan editor.

TAHUN: 2015
PENGARAH: Kabir Khan
LAKON LAYAR: K.V. Vijayendra Prasad, Kabir Khan, Parveez Shaikh
PARA PELAKON: Salman Khan, Harshaali Malhotra, Kareena Kapoor, Nawazuddin Siddiqui
NEGARA: India

Sepasang gari tidak akan berfungsi jika salah satunya hilang. Sepasang gari akan mengikat kedua-dua belah tangan yang saling melengkapi. Perbezaannya hanyalah kiri dan kanan. Begitulah India dan Pakistan dalam Bajrangi Bhaijaan arahan Kabir Khan, ‘digari’ oleh Kashmir, diikat oleh dua watak yang membawa perwatakan hebat, Pawan (Salman Khan) dan Shahida atau Munni (Harshaali Malhotra).

Bingkai-bingkai awal filem ini membawa imej yang telah menjelaskan keseluruhan cerita. Puncak-puncak gunung di Kashmir diperkuatkan oleh muzik harmoni dari lagu Tu Jo Mila langsung memberi gambaran dan perasaan tentang cerita. Lima minit pertama, Shahida masih di dalam kandungan sewaktu ibunya sedang menonton perlawanan kriket antara Pakistan dan India menjelaskan darah kanak-kanak ini adalah darah orang Pakistan. Semangat tanah airnya ditiup sejak dia berada di dalam kandungan. Dan perlawanan kriket antara India dan Pakistan juga meletakkan premis cerita ini; pertembungan antara kedua-dua negara.

Penonton tidak perlu menunggu lama untuk masuk ke permasalahan cerita ini. Kejadian jatuh ke dalam gaung tetapi terselamat oleh dahan besar di tebing, tanpa suara yang mampu meminta tolong, membawa Shahida ke India yakni tujuan sebenar isi keseluruhan filem ini.

Sekali lagi, penonton tidak perlu menunggu terlalu lama untuk diperkenalkan kepada Bajrangi Bhaijaan atau Pawan (Salman Khan), Rasika (Kareena Kapoor) dan keluarganya. Malah, menerusi lagu Tujahiye, perwatakan budiman seorang Pawan digambarkan dengan sangat harmoni. Pawan tidak marah apabila orang melanggarnya di kuil ketika dia sedang berdoa, sanggup makan sehingga sepuluh keping capati yang dimasak oleh ibu Rasika demi menjaga hati ibu tersebut, tidak kisah jika dia harus menolak beca sedangkan dia seorang penumpang. Imej-imej ini tanpa dialog, mampu memberi kesan yang kuat tentang perwatakan Pawan. Oleh itu, Tuhan telah melorongkan Shahida, seorang manusia fitrah kepada Pawan, lelaki dewasa yang tulus, meski kedua-duanya berbeza agama dan kepercayaan. Kebaikan hati sentiasa menjadi tunjang utama pembawa keamanan dan keselamatan. ‘Dahan besar’ di India bagi Shahida ialah ‘Pawan’; suatu kongruen yang menarik dan cantik dengan insiden Shahida jatuh ke cenuram.

Cinta antara lelaki dan perempuan digarap tipis antara Pawan dan Rasika. Tetapi cinta itu masih punya fungsi yang maksima dalam menggerakkan cerita. Pawan harus ke Pakistan untuk menghantar Shahida, tetapi tetap harus pulang ke India kerana cinta dan kehidupannya ada pada Rasika. Walau bagaimanapun, cinta yang dalam di tanah sendiri tidak pula harus mengajar manusia untuk mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan sifat adil. Shahida, dari negara jiran harus dibawa pulang ke tanah air sendiri. Hal ini dijalin dengan begitu indah. Kasih sayang yang dalam terhadap tanah air tidak pernah menghalalkan ketidakadilan untuk tanah sebelah. Bahkan perbezaan warna kulit, agama, kepercayaan, darjat sehingga kepada sekecil-kecil hal seperti makanan, tidak harus ditolak dengan kekerasan hati kerana bahagian keras itu tidak akan membenarkan apa-apa untuk dirai.

Pencahayaan di padang pasir sempadan Pakistan dan India adalah pencahayaan yang bagus dan telus. Pencahayaan dalam filem bukan hanya mampu memberi suatu kecantikan bingkai. Ia punya tenaga dalaman tersendiri. Dalam hal pencahayaan yang bagus dan telus sebegini, ia bukan sahaja memberi bingkai-bingkai yang cantik bahkan memiliki kekuatan dalaman yang memberi kesan emosi dan kejujuran hati. Ya, kejujuran memang suatu kegilaan ketika menghadapi sesuatu yang sebenarnya lebih mudah untuk kita menipu. Tetapi seperti kata Carl Jung, ‘tunjukkan aku manusia yang waras, aku akan ubatinya untuk kamu’. Sudah alang-alang manusia sememangnya punya kegilaan, jadilah si gila yang miliki jiwa besar; dan ya, jiwa yang besar seperti Pawan selalu payah untuk dimengertikan.

Harus juga untuk diperkatakan tentang bingkai yang sempurna sewaktu pertemuan antara Shahida dan ibunya, yang berlaku dengan berlatarbelakangkan pertemuan antara dua gunung, sementara Pawan jatuh ke tebing sungai dan ditembak oleh anggota polis. Di tengah-tengah pertemuan itu, Pawan ‘jatuh’ dalam pengorbanannya sendiri. Ternyata begitu cantik semiotik gunung dan tebing, yang telah ‘bekerja’ untuk filem ini. Imejan itu tidak hanya diletakkan sekadar keindahan alam semula jadi tetapi memiliki fungsi yang kuat sebagai mise - en – scene dan penyampaian emosi cerita ini. Imejan teropong oleh tentera di sempadan juga berfungsi membawa mesej yang kuat. Pergerakan 'teropong' dari bawah cerun menghala ke atas menggambarkan kebangkitan rakyat menentang keputusan-keputusan bodoh ahli politik.

Penamat bagi Bajrangi Bhaijaan juga amat indah. Penonton boleh mempersoalkan tentang suara Shahida yang muncul tiba-tiba. Tetapi, suara itu membawa mesej bahawa, kedua-dua negara harus bersuara bagi kehidupan yang harmoni. Shahida, jika dia tidak bersuara, Pawan tidak akan mendengar dan berlari ke arahnya. Shahida dan Pawan berlari ke arah satu sama lain dan berpelukan akhirnya. Seandainya Shahida tidak bersuara, hanya dia yang akan berlari ke arah Pawan dan memeluk lelaki itu. Keharmonian tidak akan terjadi jika hanya bertepuk sebelah tangan. Oleh hal yang demikian, kedua-duanya, Shahida dan Pawan, yang mewakili India dan Pakistan harus sama-sama saling ‘mendapatkan dan berpeluk’ untuk sebuah keamanan. Imej pegun dalam bingkai-bingkai akhir juga membawa mesej yang kuat bahawa seharusnya keamanan haruslah sepegun itu. Ia harus kekal selama-lamanya. Dunia hanya memerlukan manusia fitrah seperti Shahida dan tulus seperti Pawan untuk kepegunan sebegitu.

Filem yang bagus mempunyai banyak kekaguman dan kekuatan yang boleh diselongkar dan diperkatakan. Ia bukan hanya memberi keterharuan dalam diri penonton. Bajrangi Bhaijaan adalah antara filem tersebut. 

* Sedikit trivia, Harshaali Maholtra menangis dengan sesungguhnya apabila Salman Khan dipukul. Kanak-kanak ini percaya bahawa ia adalah kejadian sebenar. Adegan Munni melompat keriangan ketika Pawan memukul polis tidak dirakam secara serentak atas sebab hal ini. Harshaali menangis juga ketika adegan rusuhan di hadapan kedutaan Pakistan. Tidak ada yang boleh 'usik' Salman Khan di hadapan gadis kecil ini.
Ia mengingatkan saya tentang perkongsian guru filem saya, Encik Al-Jafree Mohd Yusop, bahawa ketika E.T the Extra-Terrestrial (1982) dalam penggambaran, Drew Barrymore yang ketika itu masih kecil, percaya bahawa E.T adalah makhluk asing yang sebenar.

Sayidah Mu'izzah

0 ulasan:

Catat Ulasan